"Tropical breeds for tropical region, arid breeds for arid region, temperate breeds for temperate region, and polar breeds for polar regions"

Sunday, April 20, 2014

DONGENG NEGERI NAPIER BERDENGUNG

Dongeng. Yang tak berapa dongeng.

Kisah di sebuah negeri bunian yang panas lembap cuacanya, dimana rumput napier tumbuh pantas dan memiliki dry matter 10%. Negeri Napier Berdengung.

Adapun Negeri Napier Berdengung berdepan sebuah cabaran unik lagi genting dimana hasil mahsul ternakan tidak cukup untuk memenuhi keperluan para penduduk negeri. Utamanya untuk upacara upacara keagamaan penduduk majoriti yang memiliki kepercayaan monoteisme atau Satu Tuhan.

Justeru kerajaan Negeri Napier Berdengung menubuhkan sebuah pejabat khas untuk mengawal selia isu isu ternakan dan mengkoordinasikan usaha usaha memakmurkan para penternak dan ternakan di negeri tersebut. Dinamakan pejabat ini Pejabat MelipatGandakan Ternakan.

Adapun sebenarnya suatu ketika dahulu, situasi sara diri bab daging maging ini tidaklah segenting sekarang kerana dulu dulunya projek projek pawah ternakan di Negeri Napier Berdengung adalah berteraskan darah tempatan yang mudah membiak, dan kurangnya unsur unsur seleweng. Tetapi kerana pendekatan dasar pandang ke sebuah negeri panas kering di hujung dunia yang bernama Autaliar yang penduduknya Anti Tuhan , situasi Negeri Napier Berdengung bertambah buruk.

Dan keadaan menjadi jadi buruknya apabila seorang lelaki berjaya sampai ke pangkat puncak dalam Pejabat Melipatgandakan Ternakan Negeri Napier Berdengung.

Lelaki ini pada awal kemunculannya, telah mengisytiharkan dengan penuh bergaya lagi penuh keyakinan - sesungguhnya sampai bila bila pun Negeri Napier Berdengung tidak akan dapat mencapai sasaran sara diri.

Sampai bila bila..

Tercengang cengang para pembiak dan penternak tempatan Negeri Napier Berdengung mendengar 'kehebatan' wawasan lelaki yang bakal menentukan halatuju hal ehwal ternakan dan periuk nasi mereka. Tergeleng geleng kepala mereka menyaksikan tiada kesungguhan dan keyakinan oleh pelaksana dasar, sedangkan lelaki ini sepatutnya senada seirama dengan melodi pembuat Dasar Sekuriti Makanan Negeri Napier Berdengung.

Lelaki yang sama juga, pada kemudian hari, telah bertempik sekuat kuatnya - adalah lebih baik semua peserta, baik baru dan lama, industri ternakan Negeri Napier Berdengung, menjadi pengimport ternakan. Lebih afdhal lebih mudah lebih menguntungkan berbanding menjadi penternak dan pembiak yang berjerih payah berjurai jurai peluhnya mengeluarkan makanan.

Sekali lagi tercengang cengang semua pembiak dan penternak ruminan Negeri Napier Berdengung mendengar dongeng lelaki ini. Tergosok gosok mata mereka semua yang terus terusan berkelip kelip lantaran ketidakpercayaan terhadap agenda pelaksana dasar yang jelas berlawanan dengan agenda pembuat dasar..

Dan lelaki yang sama juga, setelah membenarkan kuasa para pengimport pengimport ternakan dari Autaliar menjadi besar dan semakin besar melebihi para penternak tempatan Negeri Napier Berdengung ; membenarkan salah seorang pengimport ini menjadi raksasa yang terlalu besar sehinggakan tidak mampu lagi dikawal. Lelaki ini membenarkan kewujudan satu pengimport yang jelas diketahui menganut kepercayaan Politeisme atau Banyak Tuhan, menjadi kuasa monopoli dalam pasaran. Dan sang pengimport ini bebas memanipulasi harga untuk kepentingannya.

Dan lelaki yang sama juga, seringkali mengelak permintaan para pembiak tempatan Negeri Napier Berdengung untuk berdialog dengannya. Tetapi lelaki ini cepat dalam menunaikan hajat para pengimport untuk sesi minum teh bersamanya. Lelaki ini, tidak gemar bekerjasama dengan para pembiak dan penternak yang ingin menyahut cabaran meningkatkan pengeluaran ternakan dalam Negeri Napier Berdengung, sebaliknya tuntas bekerjasama dengan para pengimport yang mahu mencipta kebergantungan kepada negeri negeri Anti Tuhan dan Banyak Tuhan.

Makanya wujud situasi sangat genting dan tersimpul simpul dalam ekosistem ternakan Negeri Napier Berdengung sekarang ini ; bekalan ternakan yang tidak cukup cukup dan harga ternakan yang menindas rakyat. Inilah harga yang perlu dibayar oleh semua penternak, pembiak, dan rakyat dalam Negeri Napier Berdengung diatas..

'kebijaksanaan' seorang lelaki.

Yang diharapkan menjadi nakhoda yang mampu membawa kapal dan anak kapalnya ke sebuah pulau yang indah penuh dengan makanan, tetapi rupanya karam tenggelam dalam lautan yang gersang tanpa makanan.

Inilah dongeng yang tak berapa dongeng Negeri Napier Berdengung.


Sekian...

Tenggelamnya kapal visi dan maruah Negeri Napier Berdengung... 

1 comment: