"Tropical breeds for tropical region, arid breeds for arid region, temperate breeds for temperate region, and polar breeds for polar regions"

Monday, May 27, 2013

F-1 F-2 F-3 F-4

Window of Ozil.

Aku buat low input husbandry, dan aku segan. Segan betul bila orang datang melawat ladang aku. Sebabnya takde apa nak tunjuk yang luarbiasa sikit. Ladang aku low tech (takde tech pun), rumput tak tanam, mesin chopper pun takdak, makanan pun takde ramuan sendiri - main beli dah siap aje, EM pun tak guna.

Sistem pun tunggang langgang, hygiene jangan ceritalah - hanya kepada hardcore breeder. Pelawat biasa jangan datang. Bahaya kepada kesihatan. Sistem aku tak guna botol susu kepada anak kambing, takde jadual cucuk mencucuk dan deworming - bila perlu baru guna. Aku tak bergantung sangat kepada ubat baik chemical mahu pun herba. Aku lebih bergantung kepada disiplin mengembala.

My farm is very spartan, very basic, nothing to show off.

Absolutely not impressive.

Dan aku menggunakan baka kacukan tempatan di mana induk asal aku ialah baka kampung dan berat cuma 20-25kg. La ni majoriti induk berat 30-40kg kg hasil cross dengan pejantan cross berat 50-60kg. Aku takdak baka baka eksotik atau fullblood. Takdak baka besar besar yang mampu menjadikan pelawat ooh aah. Aku menggunakan baka biasa biasa, yang sering dipandang low class, yang absolutely zero chance nak menang pertandingan kambing.

Again, nothing impressive.

Akan tetapi tuan puan, aku dah melihat bagaimana hebatnya transformasi yang berlaku apabila kita benar benar mengikut jalan yang telah dibentangkan kepada kita oleh para anbiya'. Aku merasai sendiri betapa meriahnya kandang yang penuh dengan anak anak kambing apabila kita istiqamah mengembala kambing kita sebagaimana sunnah para nabi. Aku menyaksikan bagaimana ladang aku bertukar daripada tenggelam timbul hampir saja lemas kepada menguntungkan apabila aku iktikad tanpa ragu ragu dengan jalan para rasul yang pasti membawa kemenangan.

Tuan puan, aku pernah cerita sebelum ini di mana ternakan kita mesti masuk master-servant relationship, baru ternakan kita tunduk kepada kita, baru dia akan perform untuk kita.

Dua kaedah yang digunakan untuk memastikan kambing kita tunduk kepada kita ialah gembala bertongkat yang pasti jadi low input husbandry, atau pemberian makanan (sistem intensif) yang selalunya jadi high input husbandry.

Dua dua kaedah akan mendatangkan hasil, akan ada output yang tinggi, tetapi aku akan pilih gembala bertongkat kerana ianya memastikan kita memiliki kebebasan (freedom) - menghilangkan kebergantungan kita terhadap orang lain (pembekal makanan, orang tengah, subsidi kerajaan contohnya).

Tuan puan aku pernah cerita juga, betapa banyak lagi potensi untuk penambaikan operasi pembiakan yang belum diteroka. Bagi sesiapa yang buat low input husbandry, memang wujud fleksibiliti tinggi dalam bereksperimen kerana mereka memiliki less cost pressure berbanding mereka yang mengamalkan high input husbandry.

Sekarang aku nak cerita eksperimen aku dengan Ozil. Aku pernah cerita pasal dia sebelum ini. Boleh rujuk post Lazy Fat Ozil.

Dulu aku pernah cuba biakkan boer. Darah boer pureblood. Bukan fullblood tapi dekatlah dengan status fullblood. Sipi sipi. Oleh kerana aku tak puas hati - they don't fit my low input husbandry requirement, separuh mati, yang lain habih semua aku jual melainkan seekor. Seekor. Yang asalnya aku reject bila baru sampai sebab ada hernia, tapi remarkably perform better than her boer group. Yeah, I keep just one. Dan dianya menjadi moyang kepada Ozil. Keturunannya adalah satu satunya boer bloodline pekat yang aku ada.

Now read this closely, very close, unforgivingly close.

Eksperimen aku dengan Ozil ialah mencairkan kepekatan darah boernya. Moyangnya si Oprah pekat betul darah boernya, tapi bila sampai si Ozil, dah makin cair. Susu pekat condensed milk jadi susu cair evaporated milk, lebih kurang macam itu lah perumpamaannya.

Orang lain sibuk F1, F2, F3, F4, makin pekatkan darah boer... aku terbalik pula F -1, F -2, F -3... makin cairkan darah boer.

Hasilnya ialah Ozil, yang beratnya 53kg ketika umurnya 7.7 bulan.

That is very close, real close, or on par with fullblood performance. Fullblood harga pejantan at least >$3000, ada yang cecah belas belas ribu, puluh puluh ribu pun ada - berat semua atas 90kg.

Aku punya? Cross, dah tentulah murah. Pejantan 60kg aje, mak dan nenek Ozil 50kg je.

Kesimpulan eksperimen mudah aku ialah makin cair darah boer makin baik prestasi dari segi saiz dan kenaikan berat. Ini memang mengundang banyak ketidakpercayaan daripada pakar pakar pembiakbakaan. They are going to disagree with me.

Well, aku rasa diorang akan menang. Argument aku sebenarnya lemah. Pasal eksperimen aku satu keturunan aje. Yep, I know for sure it is not convincing enough, and does not lend enough credibility. Lagi pun baru awal eksperimen.

Nevertheless observation aku memang menarik, kerana aku boleh mencapai fullblood performance hanya dengan menggunakan baka baka biasa. Yeah it is certainly eye opening, thought provoking and certainly challenging the establishment.

Ozil telah membuka sebuah tingkap ke masa hadapan.

Memperlihatkan potensi yang boleh dicapai dengan darah tempatan.

Menghakis dinding ketidakyakinan terhadap darah suci yang mengalir dalam tubuh kita sendiri.

Menguatkan keyakinan kepada mereka yang mengibarkan bendera darah tempatan.


Yakinlah dengan kehebatan darah yang mengalir dalam tubuh kita!

Sunday, May 26, 2013

DUDE, MY MANHOOD SHRINKS!!


"Don't only practice your art,
Force your way into its secret,
For it and knowledge,
Can raise men to the divine"

Ludwig Van Beethoven

Antara yang memeningkan kepala seorang pembiak kambing ialah bila wujudnya situasi banyaknya kambing jantan. Kalau kita bela kecil kecilan bawah 30 ekor takde pening sangat. Tapi kalau cecah 60 - 70 ekor serabut jadinya tengok jantan jantan kecik ni sibuk mengawan. Dok kejar betina hulu hilir langsung tak jadi makan kambing. Kita yang dok gembala pun kelam kabut kambing jadi berterabur angkara jantan jantan kecik ni.

Kita nak pejantan kita yang kahwin dengan betina betina ni. Kita tak nak jantan jantan semberono kahwin dengan induk induk kita. Kita nak keturunan yang bagus sebab itu mating kita kawal - yang elit jadi pejantan atau bapak kambing atau bandot, yang biasa biasa dan tak berapa bagus kita jadikan stok sembelih.

Untuk tujuan itu biasanya kita guna dua cara - asingkan jantan jantan daripada kumpulan betina di mana tiada peluang untuk mating ; atau pun kita kembiri/kasi/mandulkan/castration (potong telur), sebaik baiknya guna burdizzo.

Selain controlled mating, pengasingan jantan dan pengkasian jantan membenarkan kita mendapat kenaikan berat badan yang jauh lebih baik. Tugas mengawan ni sebenarnya banyak menggunakan tenaga. Pejantan memang lambat naik berat berbanding yang tidak dijadikan pejantan. Jadi sebaik baiknya untuk mendapatkan untung yang lebih besar kita asingkan atau kasi jantan jantan ni.

Now, antara dua cara itu, mana yang lebih baik ? Kontroversi sket ni, probably naxz@telaga emas agrofarm tak setuju ngan aku.

Let's see.

Actually dua dua cara ada baik buruknya. Physical separation atau castration ada merit dan demerit masing masing.

Yang pertamanya physical separation. Asingkan terus jantan jantan daripada betina. Macam yang aku buat. Kena ada petak khas atau kandang lain dari kandang breeder. Bila shift meragut betina dah habis, jantan punya shift pula untuk keluar meragut. Ada juga yang asingkan jantan jantan dalam petak khas, terus buat intensif untuk penggemukan, makan tanggung hari hari. Physical separation lah ni.

Demeritnya ialah kos tinggi dan leceh kerja banyak sikit tapi berbaloi bila kambing dah banyak.

Now this is important - aku percaya kambing jantan yang tidak dikasi atau tidak dimandulkan memiliki prestasi kenaikan berat badan yang lebih pantas berbanding jantan dikasi. Aaaa aku tahu ni nampak contrary sebab aku tahu banyak juga penternak yang percaya jantan dikasi lebih cepat naik berat.

Mmm.. dari segi fisiologi mamalia, testosteron atau hormon kejantanan adalah komponen sangat penting dalam penentuan kapasiti sel otot. Lagi banyak testosteron dirembeskan, makin mudah, makin cepat dan makin panjang sel otot mengembang - maknanya makin cepat naik berat badan.

Testosteron juga membantu feed conversion ratio. Makin tinggi tahap testosteron dalam darah, makin cekap FCR kambing. Ini menerangkan kenapa bila kuantiti makanan yang diberi sama per ekor per hari - yang jantan tetap cepat naik berat berbanding betina.

Keep in mind, bila kita seleksi bakal pejantan, sememangnya salah satu kriteria utamanya ialah kadar kenaikan beratnya. Tanpa dikasi memang cepat naik beratnya, betul tak?. Selagi kita tak benarkan mengawanlah. Maknanya semua pejantan kita memang penuh dengan testosteron, fully charged with it.

Bagi aku dari segi kecepatan naik berat badan, kita boleh bagi tiga kumpulan. Kumpulan pertama di mana jantan tidak dimandulkan - ni paling pantas naik berat. Kumpulan kedua di mana jantan dimandulkan - ni duduk tengah tengah. Tak secepat naik berat macam kumpulan pertama, tapi lebih cepatlah dari betina. Kumpulan ketiga ialah betina - yang paling perlahan naik berat badan.

Ok kita masuk cara kedua dimana jantan jantan dikasikan. Castrated. Guna burdizzo. Advantage paling besar ialah kos murah. Tak yah buat kandang khas, boleh lepaskan sama sama betina. Tak payah guna shift macam yang aku buat. Jimat masa. Semua sekali jantan betina boleh lepas meragut. Sesuai sangatlah ni untuk operasi kecil.

Burdizzo tu sebijik baru berapa kan? Ratus ratus aje. Tanyalah bro naxz kita. Aku dah lupa. Cumanya bagi pembiak kambing yang besar sikit operasinya di mana ada banyak penghasilan jantan jantan, dan ada ruang dan sumber - elok kita asingkan tanpa buat castration. Kita boleh dapat kenaikan berat yang lebih pantas, dan keuntungan yang lebih tinggi.

Aku tak pasti apa pandangan rakan rakan pembiak veteran, sebab aku tak pernah tanya pengalaman diorang bab ni. Ini adalah pandangan peribadi aku berdasarkan pengalaman sendiri dan kefahaman aku berkenaan biologi. I can be wrong. Jadi tuan puan elok buat research baik baik. Kalau ada persanggahan bolehlah kongsi dengan aku.


Salam hormat!

Thursday, May 23, 2013

PIAWAI PEJANTAN UNTUK SKIM PAWAH


Terlalu rendah.

Awal awal lagi dah buat kesimpulan. Sekiranya kita meneliti skim pawah baik PINTAF mahu pun TRUST - spesifikasi pejantan yang nak dibekalkan kepada penternak untuk tujuan pembiakan adalah terlalu rendah.

I will even describe it to the point of ridiculously, absurdly, scandalously low.

Pejantan yang nak dibekalkan kepada kita sekurang kurangnya boer kacukan berat 35kg pada umur 18 bulan... Tersenyum lebar macam Joker cerita Batman geng pembekal yang dapat kontrak kambing pawah ini.

Frankly, pada spec sebegini, kita hanya downgrade genetik kambing kita. Patutnya kita upgrade genetik makin baik, ini terbalik pula. Parah parah..

Spec yang betulnya ialah koman koman 60kg pada umur 18 bulan. Aaa.. barulah ada kelas. Ye ye aku tau ada fullblood yang 60kg umur 7-8 bulan tapi realiti tempatan bagi pembiakan kambing pedaging - kita hanya perlukan darah cross. Itu dah cukup baik, kena pada tempatnya, seimbang berdasarkan peruntukan yang dikeluarkan. $1700 dapat berat 60kg. Oklah tu.

Jangan kata kat aku susah sangat nak dapatkan pejantan boer 60kg umur 18 bulan kat australia. "Australia kan negara pengeluar boer yang amat mahsyur lagi besar lagi kualiti seantero dunia, takkan takde weii..". Bukannya mission impossible ni.

Itu hal kualiti. Satu lagi halnya yang kita penternak dok heran,kenapa ada antara kita dapat pejantan boer yang terlajak umur, atau yang tanggal habih gigi, atau yang dah andropause dan beratnya cuma 30kg? Ini sahih slaughter protocol, macam mana pula boleh upgrade dapat tiket first class terbang masuk Malaysia sebagai breeder protocol?

Sape punya kerja ni ye? Sapa yang main silap mata ni ha?

By the way, kalau aku diberi pilihan pejantan boer import atau kelahiran tempatan - of course aku akan pilih kelahiran tempatan. Bukan sahaja pejantan, tapi betina boer pun kelahiran tempatan. Adalah lebih baik dan kurang risiko biakkan boer kelahiran tempatan. Makanya supply baka boer untuk skim pawah ni elok sangatlah dari pembiakan tempatan. Takde lah pening tertonggeng pakcik makcik kampung yang terpilih dapat bantuan kambing pawah.

MACAM MANA PUN, AKU TETAP PERCAYA PADA DARAH PRIBUMI SEBAGAI ASAS KEJAYAAN USAHA PEMBIAKAN.

Samada darah pribumi tulen ataupun kacukan, janji ada genetik tempatan. Aku tetap berpegang pada kepercayaan ini. Biarlah orang lain mahu percaya atau tidak, tapi aku tetap tidak berganjak daripada keyakinan aku kepada darah yang mengalir dalam tubuh kita anak anak tempatan.

So, aku harap sangat piawai pejantan untuk skim pawah yang akan datang harap diketatkan. Berat kurang kurang 60kg masa umur 18 bulan. Nak ketat lagi, jenis yang twinning atau kembar.

Bila kita buat macam ni, baru jadi genetic upgrade kepada kambing kambing pembiak di Malaysia. Barulah boleh nampak hasilnya.

Yaa pejantan berkualiti sangat penting dalam usaha pembiakan. We must never compromise on that.

Salam hormat!







Wednesday, May 22, 2013

BILA PINTAF JADI ONLINE


Bagi pembiak kambing yang baru baru, ada dua skim bantuan kambing yang tuan puan boleh apply kepada jpv. Yang pertama ialah skim PINTAF di mana dananya adalah dari kerajaan negeri. Yang kedua ialah skim TRUST di mana dananya adalah dari kerajaan persekutuan - buat masa ini skim TRUST sedang digantung kerana ketiadaan dana - puncanya aku tak boleh cerita publicly kat sini. Privately boleh la.

Ok. Skim PINTAF dan TRUST adalah berkaedahkan pawah di mana kita akan bayar balik dengan anak kambing berumur 6 bulan ataupun cash money. PINTAF biasa kita dapat 10 kambing betina + 1 pejantan manakala TRUST kita dapat 20-25 betina + 1 pejantan.

Dua dua skim kita boleh mohon, dan kita boleh dapat serentak. Cumanya jangan lupa TRUST sedang on hold bermula 2012.

Sekarang aku cerita PINTAF kat perak. Negeri lain aku tak pasti tapi lebih kuranglah kot. Kerajaan negeri perak peruntukkan 1 juta untuk skim PINTAF ni. So lebih kurang 1000 ekor kambing dibekalkan kepada penternak perak. Ada 10 daerah, dan setiap daerah hanya diperuntukkan 10 penternak. Makanya allocation terhad tapi permohonan terlalu banyak.

Jpv keluarkan syarat kepada pembekal kambing seperti dibawah. Tuan puan teliti dengan cermat cermat betul betul .

Betina boer kacukan F3 F4 pada harga $970. Berat 25kg-35kg dan umur pada 12-18 bulan.

Pejantan boer kacukan pada harga $1700. Berat mesti lebih 35kg pada umur 18 bulan.

Jpv akan beli kambing 1000 ekor untuk diagihkan kepada penternak seluruh perak pada harga sebegini. Cuma kambing betina kita perlu bayar balik samada dengan anak atau tunai. Kambing pejantan kita TAK perlu bayar.

Dah teliti betul? Orait. Jangan lupa ye. Makanya kalau tuan puan terima kambing tidak menurut spesifikasi ini, tuan puan boleh tolak. Aku tak akan cerita isu isu panas sensasi luarbiasa yang menyelubungi skim ini. No no no, kerana fokus aku kali ini adalah penambahbaikannya ye..

Bermula 2013, skim PINTAF jadi online. Dulu dulu manual. Tahun ini adalah tahun pertama online. Semua permohonan akan dibuat secara online pada bulan januari. Keputusan sapa dapat sapa tak dapat, masing masing boleh semak sendiri pada bulan jun.

Bila online ni, senang banyak kepada pentadbir kerana ada database dan mudah mengesan pola permohonan yang agak aneh. Tak cukup syarat atau terlebih syarat, atau permohonan bertindih. Contohnya jpv mudah dapat kesan 8 permohonan pada alamat yang sama tapi menggunakan nama berbeza. Penternak ni suruh semua suku sakat sedara mara tok nenek dia apply sekaligus. Mungkin nak meninggikan kemungkinan lulus permohonan. Pehh.. ada juga orang macam ni.

And then, kaedah penilaian kelayakan penternak berbeza dengan kaedah sebelum ini. Dulu penternak daerah A akan dinilai oleh pegawai daerah A juga. Sekarang penternak daerah A akan dikunjungi dan dinilai pegawai jpv daerah C. Aaaa... baguslah ni, kuranglah kemungkinan nepotisme kronisme favoritisme.

Baik baik, ada dua benda yang aku sangat suka bila jpv buat macam ni, jadikan PINTAF online. Yang pertama menambah kecekapan. Yang kedua proses menjadi semakin telus, semakin transparent.

Tahniah aku ucapkan kepada jpv kerana mula mengambil langkah ini. Aku excited dengan perubahan ini kerana semakin cerah peluang bantuan sampai kepada tangan yang sepatutnya.

Dalam masa yang sama, aku sangat berharap jpv dapat mengetatkan seketat ketatnya pawaian kualiti kambing yang dibekalkan. Dapatkan kambing kelahiran tempatan, takpelah boer pun. Lebih baik beli daripada golongan pembiak - dah tentu kambing membiak, bukannya importer yang selalunya hentam keromo bawak masuk kambing slaughter protocol. Haa kalau buat macam ni, pasti dapat meninggikan kemungkinan kejayaan program pembiakan - which is the primary objective of PINTAF.

Ok, probably apa yang aku tulis ni fall on deaf ears - atau lebih tepat turn to blind eye, tapi takpe, aku nak ucapkan syabas kepada jpv kerana menjadikan PINTAF online. Semoga jpv menjadi semakin telus, semakin cekap, dan semakin disegani.

Syabas JPV! 

Monday, May 20, 2013

PONDOK TANJUNG : THE REVIEW


Beberapa hari yang sudah, aku pi projek boer nasional di pondok tanjung. Isal ngan don jenal yang sibuk dok ajak aku ni, oklah ni, lagipun memang dah lama dijemput project manager pondok tanjung beberapa bulan yang sudah. So rombongan kitorang ada isal, don jenal, dan beberapa rakan penternak lagi. Facebook gang. Muda muda semuanya. Aku yang paling tua aiii...

Yang melayan kedatangan kitorang hari tu ialah saudara Yusof Ishak, project manager pondok tanjung. Lepas ni aku panggil tuan Usop. Sempoi, very humble person, very hands on, memang ada background agriculture (aquaculture), dan berjiwa muda (dok guna Golf R - I love that hot hatch!).

Kalau tuan Usop guna Golf R turbo stratified injection rear wheel drive buat masuk ladang, aku pun ada jugak hot hatch aku - four wheel drive naturally aspirated Kubota L1500DT convertible - ekor belakang boleh convert dari plow jadi bucket hehehehe....

Orait,orait, let's get serious.

Post aku pasal pondok tanjung sebelum ini adalah berdasarkan cerita sebelah pihak - SBBC. Ada juga input dari jpv, penduduk setempat, suratkhabar, vets, dan penternak2 lain. Maknanya aku tak dapat complete picture berkenaan projek mega size ni.

Bila aku pi pondok tanjung, tengok sendiri, dan di'presentation'kan oleh tuan Usop - sekarang aku dapat gambaran sebenar. Aaaa... sekarang kita tau, mana satu cerita yang betul, mana satu yang palsu.

Ok, aku repeat sekejap background pondok tanjung. Banyak penternak kambing yang baru baru memang tak tahu benda ni. Ringkas aje lah. Mana lalu nak cerita panjang panjang.

Projek Boer Nasional ni adalah salah satu projek pertanian impak besar dalam Northern Corridor Economic Region : NCER (Perlis, Kedah, Penang, Perak). Badan yang menyelia ialah Northern Corridor Implementation Authority : NCIA.

Kaedah yang mahu digunakan ialah nukleus (jpv - betul betul sebelah pondok tanjung je)--- multipliers --- commercials. Samalah macam Mardi dok buat ni, ARB (nukleus) --- multipliers (250 ekor) --- commercials (50 ekor).

Now, tanah yang digunakan ialah tanah jpv 2000 ekar. Sebelum ni hutan dara. Dan sememangnya ia adalah kawasan berpaya - paya air tawar terbesar di semenanjung. Tanahnya lembik dan berbukit bukau - undulating terrain. Maknanya kalau nak harvest rumput besar besaran guna traktor, memang mencabar betul ni. Kejap kejap terbenam dan mudah traktor terbalik.

Sasaran NCIA ialah 10,000 ekor boer di pondok tanjung ni. Modal yang diperuntukkan ialah 50 juta. Yeah you heard that right. 50 juta weii... bukan 15 juta bukan 20 juta. Federally funded - direct from EPU. Dan SBBC dilantik oleh NCIA untuk menguruskan program pengganda ni. Ok dari 50 juta tu, SBBC diperuntukkan 29 juta manakala NCIA 21 juta. NCIA buat infra ladang, manakala SBBC kena buat kandang, beli kambing buat induk, dan jalankan skim pengganda.

50 juta tu bukan bagi sekali berdebuk, tapi berperingkat, dan belum lagilah diperabihkan. Tapi aku rasa dalam 30 juta telah dibelanjakan.

Bila projek juta juta ni almaklumlah orang orang politik ni mulalah gatal tangan, sibuk nak cubit sana cubit sini. Bila orang politik campurtangan, tuan puan boleh tahu ending dia macam mana - sebijik NFC 250 juta tu. Iye... ada isu kondo juga. Aku pun hairanlah, geng geng politik ni minat betul jadikan kondo sebagai investment. Memang betullah tu boleh bela lembu kambing dalam kondominium hehehe..

So SBBC sebenarnya tiada kepakaran membiakkan kambing. Nak beli kambing berkualiti pun tak lepas. Baik yang dibeli local birth (kelahiran tempatan) mahupun yang diimport. Boer local birth yang dibeli cuma 400 ekor, lagi 4000 import. Haaa pelik gak ni ye, aku rasa banyak aje boer kelahiran tempatan dalam malaysia ni.

Bila kita nak bela baka asing ni, elok sangatlah beli kelahiran tempatan. Kurang banyaklah risiko kematian besar besaran. Banyak sangat dah pengalaman kawan kawan kita ni yang demam terkejut bila cuba biakkan kambing import yang baru jejakkan kaki ke tanah malaysia ni.

Breeding failure rate memang abnormally high bagi kambing yang merentas zon cuaca. Transport stress je dah berderet deret mati, belum lagi usaha nak membiakkan. Takpalah mahal sikit pun boer kelahiran tempatan, dia dah 'ngam sikit' dengan cuaca kita ni, takdaklah pening sangat kita dibuatnya. (kalau ikut aku, bela aje local cross, lagi senang, terus perform; buat semi intensif untuk take advantage kawasan bukit bukau - no need for tractors then).

Itu satu. Bila masuk bab kematian kambing ni, aku rasa nak cerita pun ngeri. Betul betul macam nazi punya death camp masa perang dunia ke2. Atau pun pol pot kat cambodia. Masa episod kematian besar besaran ni (3000 ekor bawak masuk, 1800 mati dalam masa yang singkat) - kambing mati memang terbiar aje atas kandang bawah kandang. Terbiar. Ter...biar... Menakutkan sungguh la.

Bila dah jadi macam tu, bila nampak sangat incompetency SBBC, maka NCIA takeover by force. Sebab tu dok tengah legal wrangling ni. Contractual dispute. Masa NCIA take over, boer yang tinggal 1200 ekor. Terpaksa dipindahkan ke sebuah kandang di kedah kerana nak buat massive cleansing exercise di pondok tanjung.

Dah selesai pembersihan, kambing di kedah dipindahkan balik. Adalah 700 ekor. Pejantan 3 ekor. Pehh.. jadilah. So NCIA buat kandang baru di pondok tanjung untuk menempatkan yang baki ni. La ni tinggal 300 ibu, dan 300 anak. Maknanya 600 ekor lah.

Ok, tuan usop kita sebelum dia rescue pondok tanjung - director pertanian yang menyelia seluruh projek pertanian di bawah NCIA. La ni dia vice president NCIA. Elok elok cover semua projek sebelum ni, sekarang dia fokus satu aje - projek boer nasional pondok tanjung. Baguslah, pasal a lot is at stake here.

Tapikan, aku dapat bayangkan betapa peningnya berada dalam kasut tuan usop kita ni. Campurtangan politik dah tentu kena berhadapan, negative publicity lagi (very negative pula tu), restricted funding, legal wrangling, kambing punya hal lagi. And I know he spent, and still spending a lot of time trying to put out the fires, the long trail of fires created by SBBC. Serabut kepala dibuatnya.

Anyway aku respek tuan usop. Sungguh. Sebabnya dalam keadaan 'tangan dia terikat' - dia masih mampu melakukan transformasi terhadap usaha pembiakan boer di pondok tanjung. Buat masa ini, dengan 300 ibu boer dan 300 anak - I think he's doing ok. It's a normal breeding indicator for a boer operation. Bukan senang nak capai ni, aku tau dia kena tidur kat ladang tinggal anak bini, kena naik kandang malam malam tengok kambing.

Aku tau seteruk mana negative publicity which is surrounding pondok tanjung. Dan aku juga tahu betapa ramainya rakan pembiak yang sangat meragui kemampuan tuan usop kita dalam mengemudikan turnaround plan pondok tanjung.

Well give him some time. Sok nanti dah selesai dispute dengan SBBC, he will be much faster. Aku percaya dengan kemampuan dia. Yeah because I love underdog situation, where everything seems to be going against us, where everyone belittle us. And I think yusof ishak is the type who thrives on that kind of situation.

I see change, I see hope, I see light.

I see...

A new Pondok Tanjung.

*Keep up the good work, tuan usop. N thanks for being a loyal reader of my blog.

*Kepada geng pembiak muda yang ada sekali dalam rombongan, aku jemput hangpa semua jadi ahli persatuan pembiak kambing malaysia. Thanks everybody!










Wednesday, May 15, 2013

GOVERNMENT FARM VS COMMERCIAL FARM


Sebelum aku masuk cerita sebenarnya, aku nak sentuh pasal suatu post sebelum ini.

Dalam post "WE ARE BEING WATCHED", aku ada tulis pasal agensi agensi yang sedang memantau aktiviti kita. Tak lama lepas aku publish post tu (rasanya tak sampai seminggu), memang diorang datang buat site visit ke ladang. State dan federal level. That is quick. Cepat dan cekap betul. Terkejut aku dengan keefisyienan diorang ni. Mungkin kebetulan, mungkin juga tidak.

Tapi ini membuatkan aku terfikir, blog dan media sosial boleh dijadikan landasan sesuai untuk menyuarakan permasalahan penternak. Ok, probably not sebab aktiviti berpersatuan lebih baik dan berkesan dalam menjana perubahan. Cumanya blog dan media sosial yang lain boleh membantu kita menguatkan suara kita dan mempercepatkan kemasukan jemaah baru. Recruiting is made easier. Yeah its a really useful influence gathering tool for any body hoping to enact changes.

Ok, masuk pula cerita untuk post kali ini : Ladang Gomen VS Ladang Komersial.

Aku tak akan sentuh pelbagai aspek perbezaan. Satu je aku nak cerita. Orait. Ada satu ladang gomen ni. Dah lama wujud. Luas. Cantik, indah lagi mendamaikan. Fasiliti mengkagumkan. Kalau kambing sakit sakit, tak risau pasal banyak vet kat situ. Marketing pun takdak masalah pasal dah lama wujud dan tersohor seantero malaysia. Berbaris baris penternak menunggu nak beli baka dari ladang gomen ni.

Kambing yang dibela ada dua jenis, menjurus kepada pembiakan. Boer ada, saanen ada. Maknanya revenue ada dua stream - daging dan susu.

Now, get this - ladang gomen ni untuk tahun sudah ada 200 ibu kambing (boer + saanen). Jualan tahun sudah nilainya $70,000.

Ladang aku pula untuk tahun sudah ada 100 ibu kambing. Jualan hampir $100,000. Dan ini adalah jualan majoriti pedaging (harga biasa biasa). Tak campur jualan susu kambing.

100 induk vs 200 induk - and yet this 100 only breeders can significantly outperform the 200 breeders in generating revenues.

Resources aku langsung tak mampu menandingi resources ladang gomen ni. Tapi bila sampai bab kecekapan, aku percaya ladang komersial macam ladang kita adalah lebih cekap daripada ladang gomen.

Tuan puan pembiak kambing, aku dah banyak kali tekankan dari awal blog aku lagi, betapa kritikalnya kadar kelahiran sebagai petunjuk primer kejayaan sesebuah operasi pembiakan pedaging. Kidding rate is absolutely critical - takdak kompromi atau toleransi. Saiz dan kadar kenaikan berat badan sepatutnya jatuh nombor dua.

Bila aku jejak aje kaki kat ladang gomen ni, aku terus scan cari mana anak anak kambing. Berbeza dengan kebanyakan penternak baru yang sibuk bertanyakan berat pejantan dan betina yang ada dalam kandang, dan terpana dengan saiz kambing. Sebabnya aku tahu, sebagai seorang pembiak, kehadiran anak kambing DAN nisbah anak kambing kepada ibu kambing dalam ladang adalah petunjuk kepada setinggi mana kecekapan pembiakan.

Dan bilamana aku melihat situasi anak kambing dan nisbahnya kepada ibu di ladang gomen ini, aku tahu kenapa revenue mereka rendah. Bilangan anak kambing yang dihasilkan terlalu sedikit, tidak padan dengan jumlah ibu kambing yang ada. Bila anak sikit, jualan pun sikitlah. Kita sebagai pembiak bergantung kepada jualan anak kambing sebagai punca utama pendapatan.

Tuan puan pembiak kambing, setiap tahun aku akan jumpa penternak baru yang keras kepala, yang bermati matian percaya saiz dan kenaikan berat badan adalah faktor utama kejayaan operasi pembiakan. Banyak sumber atau punca nasihat geng sebegini adalah dari pihak importer. Aku penat berperang ideologi ngan diorang ni, last last tengok aje lah. Biasanya tahun kedua dan tahun ketiga kita nampaklah geng geng ni menggelabah. Kelam kabut bila hasil tak nampak nampak.

Satu lagi ye, pakar ekonomi ternakan ruminan pun ada masalah 'ideologi' ni. Sebenarnya banyak orang jpv sendiri susah nak percaya bila aku cerita aku dah lapan tahun buat pembiakan 100 peratus tanpa trading atau importing. Boleh ke survive? Ada profit ke?

Well, sepertimana yang aku ceritakan, bila kita jadikan kadar kelahiran sebagai KPI, most likely kita akan berjaya. Jangan berpaksikan saiz dan kenaikan berat badan sepertimana yang dah terpahat dalam pemikiran sekian banyak orang jpv, importer, dan penternak baru.

Tuan puan, aku berharap contoh di atas yang merupakan salah satu dari sekian banyak contoh yang dah aku ceritakan dalam blog ini dapat dijadikan panduan kita semua.

Mana satu kita nak pilih? 200 ekor ibu kambing dengan revenue $70,000 setahun (more work, less profit) ATAU 100 ekor ibu kambing dengan revenue $100,000 setahun (less work, more profit)?

Which one?

*Sebenarnya revenue aku patut $110,000 ke $120,000 untuk tahun sudah, tapi aku ni management tunggang langgang, tak cukup cekap. Kalau aku cabinet minister, dah lama kena pecat ni, tak dapat capai target KPI kihkih..

*Dan kalau aku implement Standard Operating Procedure tahap BoDen, aku yakin KPI seterusnya profitability ladang aku akan terus melonjak walaupun cuma 100 induk, insya allah. Err.. tapi tulah, banyak betul kerja kena buat, hmmm...

*Revenue ladang aku tahun sudah yang aku cerita di atas hanyalah jualan kambing hidup. Pure livestock sales. Tak masuk side income yang lain. Kalau tuan puan buat khidmat sembelih, lapah,masak;jual dedak, ubat dan suplemen;baja kompos;susu;atau apa apa sajelah – dah tentu lebih tinggi.

Tuesday, May 14, 2013

THE VERY AWKWARD RETREAT


Pada 16hb April 2013 (bulan sudahlah), aku dijemput pergi bengkel ke 3 program ladang pengganda ARB. Buat kat BoDen, N9. Penganjurnya ARB, projek khas pembiakan lembu kambing di bawah MardiTech.

Program ni kira macam retreat. Mesyuarat yang santai santai gitu. Seperti biasa, semua meeting kat BoDen sahih buat dalam kandang kambing. Kandang beranak plak tu. Meeting sambil menikmati angin bukit dan pekikan anak kambing. Kelas weh!

Ketua pengarah MARDI, Dato Shukor pun ada. Begitu juga saf utama kepimpinan Mardi. Dan peserta bengkel ialah ladang ladang besar lembu dan kambing yang telah dilantik sebagai ladang pengganda.

Retreat ni sebenarnya janggal untuk aku. Aku rasa kekok betul bila dijemput ke program ni. Pasalnya aku adalah satu satunya ladang yang paling kecik dalam banyak banyak peserta. Aku ni baru ada 100 ekor induk kambing, dikira sebagai semi komersial. Sedangkan ladang lain semuanya bertaraf komersial, lebih 500 ekor, dan capex juta juta. Aku datang pun ngan kereta kecik, yang lain datang dengan camry, hilux, fortuner dan yang sewaktu dengannya. Jauh beza ngan aku ni hehehe.

Anyway ARB telah melantik 2 ladang kambing sebagai ladang pengganda untuk 2013. Ladang aku, dan satu lagi kat melaka. Haji Zeid punya, Wawasan Manis Sdn Bhd. Dia ada lebih 500 ekor kambing dan dah 12 tahun dalam industri, siap eksport kambing lagi. Kambing dia pun ada menang masa Maha punya show baru ni. Dia ni ajk persatuan pembiak kambing malaysia. Kepada mana mana penternak kambing, kita boleh banyak belajar dari BoDen dan Wawasan Manis.

Setakat ini ada 6 atau 7 ladang pengganda (multiplier farm) sedia ada untuk kambing di seluruh malaysia. Sori aku tak ingat bilangan sebetulnya. Dan semuanya big scale dan ada yang government funded. Tapi.... lets be frank here, aku rasa dalam banyak banyak ladang pengganda sedia ada, aku rasa BoDen aje yang sustainable. The rest is... still struggling.

Bilamana ARB melantik alwigoatfarm dan wawasan manis sebagai ladang pengganda yang baru, aku merasakan ARB sedang membentuk halatuju baru. They now are looking for experienced breeders to form the bulk of the next multiplier. Thats a major shift in direction. (memandai mandai aje aku ni weh! aku bukannya duduk dalam Mardi dan ARB).

Tapi aku rasa betullah kot. Kalau takde perubahan halatuju, kenapa pula ARB lantik aku sebagai pengganda? Aku memang jauh berbeza dengan yang lain lain tu. Terang benderang aku buat kambing kacukan, bukannya exotic fullblood. Semua ladang pengganda sedia ada memang bela boer, atau jamna. Dan aku cuma ada 100 induk, dikira semi komersial. Ladang komersial mesti ada 250 ekor induk, dan jumlah kambing mencapai 500 ekor.

Aku memang lain daripada yang lain. Betul betul pelik. Odd. Awkward. Terasa sangat janggal bila berada dalam geng multiplier ni. Dan aku adalah yang termuda dalam grup tu. Again this is odd.

Tapi walau pun terasa janggal, geng geng dato ngan pengarah ni takdak masalah. They are very welcoming. They welcome we warmly.

Oh, kemasukan aku dan wawasan manis sdn bhd menjadikan jumlah ladang pengganda menjadi 8 buah, atau 9 buah. Dan aku percaya ARB sedang mencari beberapa buah ladang lagi. Nak jadikan 13 atau 14 di seluruh malaysia. Tapi nak kena jadi ahli persatuan pembiak kambing malaysia dulu, dan memiliki rekod ternakan.

Selection sekarang berdasarkan merit, berdasarkan pengalaman membiak. Bukan lagi kerana political connection, atau bukan lagi kerana rajin melobi sana sini.

Multiplier ni pula kena cari lagi ladang anak bawah dia. Kena bangunkan lima ladang satelit. Pulak dah, satu koje lagi ni. Err.. bab ni memang payah sikit bagi aku. Nak jadi mentor bukan senang weii.. apa apa silap semua kata mentor punya pasal.

Aku rasa aku belum bersedia nak jadi mentor. BoDen ngan Wawasan Manis takpe memang dah ada kredibiliti dan fasiliti. Aku apa yang ada... letrik pun takdak kat ladang aku ni haa..

Hmmm... i need some serious investment.. again..

Oklah, taknak pikir dulu bab funding funding ni. Dari dulu asyik pikir aje. Tiap tiap dua tahun kena perah kepala. Sampai berpintal pintal kering langsung otaknya, dah tak payah jemur jemur. Penat oiii..

Ada sedikit gambar semasa retreat.

 Kiri sekali Hj Zainal BoDen. Tengah yang dekat tiang tu Dato Shukor, Ketua Pengarah Mardi. Nak pencen lagi dua tiga bulan. Dr Johari, ketua ARB sebelah KP tu. Meeting kat BoDen memang buat macam ni, tengah tengah kandang, walau pun high level meeting. Best oo...

Mardi dan ladang ladang pengganda kambing dan lembu ARB bergambar bersama. Aku sendiri lupa nak masuk dalam gambar, sibuk ambil gambar orang lain. Barisan belakang no 5 dari kiri adalah hj zeid dari wawasan manis - aku dan dia adalah multiplier terbaru. Both of us are uniquely different from the rest.


Food..glorious food. Kalau tuan puan diajak pergi BoDen - pergi jangan tak pergi. Puan Fatimah punya menu memang tahap VIP. 


Beriani gam, beriani yang dimasak dalam kambing. Fabulously fantastic!!


This is seriously awkward. Tuan puan tengok tu, ladang pengganda kambing boer. Boer. Now ARB tahu sejelas jelasnya metod operasi pembiakan aku, sebab tu pemilihan aku sebagai ladang pengganda adalah.... gambaran mulanya perubahan polisi dan halatuju Mardi. Ataupun pertambahan halatuju. We will see in the future..

So oklah tuan puan sekalian. Itu saja kali ini. Salam hormat!




Monday, May 13, 2013

WARMING UP AGAIN


Hello everybody!

I'm not dead yet. Ada sesetengah pihak beranggapan aku dah tutup operasi setelah lama tak update blog. Pasalnya ada yang tepon aku nak beli kambing sekandang murah murah. Well sir.. I am wounded, but I am not crippled. Operasi pembiakan masih berjalan seperti biasa, alhamdulillah.

Estimated loss akibat beberapa siri kejadian adalah dalam rm15,000. Tu lebih kurang 1.5 bulan punya livestock revenue. Probably aku tak dapat six figure livestock sales untuk tahun ini. Probably. Tapi berdasarkan rekod jualan, tahun ini lebih pickup daripada tahun sudah. So we will see by the end of this year.

Aku sebenarnya takdak mood nak tulis. Idea banyak, petrol penuh setangki masalahnya enjin tak mahu start. Aku tengok laptop pun tak lalu. Dan dah lama sangat rasanya tak pegi cc untuk surf internet dan bukak email. Sekali bukak tu dia berlonggok longgok emel. Pening tengok.

Sorry guys, kali ni takdak ilmu dan pengalaman perkambingan aku nak kongsi. Aku cuma nak warm up enjin aku. Jadi aku tulis aje apa yang terlintas dalam kepala aku. Takdak sebarang plan dan strategi untuk posting kali ini.

Oh, aku nak ucapkan terima kasih kepada mereka mereka yang prihatin, memberi sokongan, dan memberi galakan untuk aku terus berblogging. Banyak juga avid reader blog aku ni. Tak sangka juga dengan tahap kesetiaan yang dipamerkan oleh tuan tuan pembaca sekalian. Ada banyak pembaca yang bagitau kat aku diorang dah habiskan baca satu blog aku, dari mula sampailah yang terkini. Thank you guys for being such fiercely loyal readers.

Thanks again for your incredible support!

Salam hormat.




Friday, April 19, 2013

UJIAN DEMI UJIAN


Maha Suci Tuhan yang memberi nikmat, dan menariknya bila bila masa.

Turbulent. Chaotic.

Minggu dukacita buat aku.

Ladang aku diserang secara kasar dan secara halus.

Barangsiapa yang mengambil apa yang bukan haknya, baik secara paksa mahu pun diam diam, ketahuilah itu hanyalah kesenangan yang sementara.

Barangsiapa yang berdamping dengan syaitan demi memenuhi hasad di hati, ketahuilah itu semua hanyalah tipu daya syaitan yang akhirnya membinasakan diri. Sesungguhnya Allah adalah sebaik baik pelindung dan sekaya kaya pemberi nikmat.

Aku tahu aku kena bersyukur melalui ujian ini, kerana aku tahu wujud ramai rakan pembiak seangkatan yang mengalami ujian lebih getir dan lebih pahit. Apa yang dialami mereka menjadi salah satu sumber kekuatan dan kesabaran buat aku.

Buat rakan pembiak yang memberi sokongan, terima kasih banyak banyak di atas sokongan tuan tuan.

Dan di sebalik berita buruk yang datang bertimpa timpa, datang juga berita baik bertalu talu. Jadi aku akan fokus kepada apa yang baik, tak mahu mengenang apa yang pahit.

Semoga Tuhan memberi kekuatan kepada kita yang mahu mengikut jalan para anbiya'.

Salam hormat.

Friday, April 5, 2013

WE ARE BEING WATCHED



Ketika mula mula aku dapat tahu yang blog aku sedang dipantau oleh agensi agensi tertentu, aku jadi saspen. Bukannya satu agensi tapi beberapa agensi. Maknanya mungkin blog aku dah terlebih cili. So aku cut down kuantiti cili, aku tone down inflammatory remarks, dan aku tarik balik beberapa posting.

Kalau aku bukan ahli persatuan pembiak, sememangnya aku akan berterusan mengunyah dan menghamburkan cili cili. Sahih aku jadikan cili api macam makan chewing gum. Tetapi aku dah jadi ahli persatuan, dan ini membuatkan aku cool down.

Ye blog aku ni dah kurang sambal. Tak best la pula. Macam makan keropok lekor takde sos. Atau KFC cheezy wedges tapi cheese nya takde.

Mmm tapikan.. ada juga baiknya bila agensi agensi ni dok baca blog aku ni, dan blog blog yang disambungkan dengan blog aku. Maknanya apa yang kita tulis sampailah kat meja diorang ni. Tak yah susah susah buat surat atau emel rasmi, nak jumpa pegawai tu pegawai ni, atau ditendang macam bola ke sana sini. Haa senang punya cerita, takde lalu orang tengah, so cerita kita tak ditapis tapis.

Barulah orang atasan jabatan kerajaan ni dapat gambaran sebenar situasi di bawah. Real life informationLive feed. Direct telecast from breeders to regulators.

Tuan tuan pembiak, masa aku pi meeting dengan agensi agensi ni, aku perasan satu benda - wujud jurang maklumat yang sangat luas antara pegawai bawahan dengan pegawai atasan. Pegawai pegawai bawahan tengah pening dok cerita bubur dah hangus hangit dalam industri - kena tukar polisi, tetapi pegawai atasan kata elok je industri, nasi beriani kambing harum mewangi, mana ada bubur hangit hangit ni.

Berapa tan punya makeup dah dibubuh oleh orang tengah? Atau pegawai atasan tertidur lena atas kerusi empuk dalam bilik hawa dingin ketika laporan prestasi dibentangkan?

180 darjah terbalik dia punya cerita. Unbelievable. It doesn't make sense.

Tak boleh jadi, tak boleh jadi. Kita kena sampaikan cerita sebenar, kita tak akan biar kebenaran dipijak pijak disembunyikan. Dah terlalu lama kebenaran diselindung ditimbus. Dah sampai masanya kita keluarkan kebenaran dan pamerkan ia. Makanya blog blog dan facebook group yang kita dok buat ni adalah suatu wadah yang berkesan untuk kita sampaikan cerita sebenar industri kepada jabatan kerajaan, walaupun mereka rasa tak selesa duduk, punggung dicucuk cucuk dengan tulisan tajam kita.

Tuan puan pembiak kambing, sebagaimana ada jabatan kerajaan yang tak suka kita punya blog dan facebook group - ada juga jabatan kerajaan yang excited dengan kemunculan pembiak kambing jenis baru, yang berbeza dengan generasi sebelum ini. Jabatan kerajaan ini suka memerhatikan apa yang kita tulis, apa yang kita bincangkan, dan menilai dengan teliti pandangan kita semua. Ye, ada. Mereka sedang perhati kita, dan memberi sokongan senyap senyap kepada kita.

Jadi aku menggalakkan tuan puan pembiak kambing ambil kesempatan ini, tatkala kita sedang dipantau mereka; kita buat blog atau join facebook group; atau tulis pandangan, pengalaman, cadangan kita. Sampaikan hasrat dan cerita sebenar kita kepada mereka ini.

Sape sape pembiak kambing yang nak buat blog, boleh link dengan blog blog sedia ada ni, yang jadi ahli persatuan pembiak. Jangan link pula dengan blog blog yang dah expired lama dulu atau blog yang bukan pembiak kambing.

Kalau nak masuk facebook group, boleh join yang isal keratong agro buat tu. Aku tak reti pula facebook ni, jadi aku stick dengan blogging je. Aku tahu yang facebook group tu pun dah ada agensi agensi kerajaan dok perhati. Ada suka, ada tak suka. Ada yang melatah melenting, ada yang kagum menyokong.

Pedulikan, janji cerita kita didengar, atau dibaca.

Kebenaran mesti disampaikan.

Salam!

*Alangkah baiknya kalau para pegawai atasan ni dapat mencontohi khalifah umar abdul aziz. Menyamar jadi orang biasa pegi ladang ladang kecik, baru boleh dapatkan feedback terbaik, baru boleh jadi pemimpin luar biasa, baru boleh mengubah industri. Toksahlah asyik datang ladang besar besar, siap bawak entourage segala jenis pengiring dan pegawai.

Datang sorang sorang, jangan perkenalkan diri sebagai pegawai besar, dan dengarlah luahan hati tulus ikhlas seorang pembiak kecil. Tanyalah panjang lebar harapan dan cadangan mereka.

Pernah ke ladang tuan puan kita semua yang kecik kecik ni menerima lawatan sebegitu?

Thursday, April 4, 2013

AGM 2013 PERSATUAN PEMBIAK, PART ONE


*Pandangan alwigoatfarm tidak mencerminkan pandangan rasmi persatuan pembiak. Alwigoatfarm hanyalah ahli biasa yang busybody, overopiniated dan mengalami masalah terlebih  caffeine.

Salam hormat rakan rakan pembiak sekalian.

Sabtu sudah baru berlangsung AGM ke 2 persatuan pembiak kambing malaysia. Terima kasih diucapkan kepada ahli ahli sedia ada dan yang baru mendaftar. Terima kasih kerana memberi sokongan dan menunjukkan minat bekerjasama.

Ok. Terus masuk apa yang aku nak sampaikan. Aku nampak ada antara ahli ahli yang masih keliru tentang tujuan dan pencapaian persatuan pembiak. Masa meeting itu hari, aku tak fikir tuan pengerusi sempat memberitahu sepenuhnya apa yang telah dilakukan oleh persatuan.

Jadi aku nak minta maaf terlebih dahulu kerana tidak update pergerakan persatuan kepada ahli ahli semua. Aku minta maaf banyak banyak. Bukan apa tuan tuan, kalau aku cerita pasal persatuan, takut aku terbabas cerita benda lain. Emosional sikit bab bab ni.

Baiklah. Persatuan pembiak ialah gabungan pembiak kambing seluruh malaysia. Kita ni baru sangat dan belum dikenali. Ada pun persatuan pembiak bukanlah ilham jpv atau kementerian pertanian sepertimana persatuan penternak ruminan negeri atau majlis ternakan negara (lebih kepada lembu). Kita independent, bukannya jpv yang tubuhkan kita, dan kita tak guna fasiliti jpv buat mesyuarat. Di samping itu kita mengkhusus kambing sahaja (dan bebiri), justeru objektif kita lebih 'kuat', takdelah tenggelam dek geng lembu.

Itu satu. Keduanya matlamat primer kita ialah mencipta iklim yang kondusif kepada usaha pembiakan kambing - polisi. Jadi kita akan senantiasa berusaha mempengaruhi policymakers agar mengeluarkan polisi polisi penternakan yang menggalakkan usaha pembiakan tempatan. Bukannya polisi yang samar samar dan jelas menyebelahi para pengimport tertentu.

Nak kena bagi jelas sikit kat ahli ahli - kita bukan meminta minta dana atau subsidi atau peruntukan atau kontrak dari agensi kerajaan termasuk jpv. Dalam mana mana meeting kita dengan agensi kerajaan, kita sangat jelas dengan pendirian kita - kita tidak meminta peruntukan. Macam tak best kan?

But that actually works for our cause. Impressively. Kalau kita sibuk dok mintak itu ini tiap tiap kali meeting, sahih agensi agensi kerajaan ni lari dan mengelak nak berjumpa kita.

Ok. Persatuan pembiak bukanlah jenis yang 'public' dan 'political' - kita tak deal dengan menteri menteri dan sekutunya. Kita target meja meja penasihat kepada pak menteri. Jadi kita banyak bergerak di belakang tabir. Tu yang nampak macam senyap aje, tapi sebenarnya kita buat kerja. Press statement sekali sekala adalah kita buat, tapi secara peribadinya aku rasa tak keluar suratkhabar pun takpe.

Tuan tuan, tuan pengerusi dah bagitau kat aku, kita tak boleh menampakkan yang persatuan pembiak adalah influential kerana nanti ada entiti entiti tertentu yang tak senang duduk dan cuba melambat lambatkan usaha kita.

Aduh laa, payah aku nak cerita. Aku tahu ada antara rakan rakan pembiak yang tertanya tanya apa yang kita dah buat semenjak penubuhan kita. Jadi ada antara tuan tuan pembiak yang hesitant, teragak agak, tak yakin nak join kita. Mmm... macam mana aku nak cerita ni ye? Ok. Ketahuilah yang persatuan pembiak kambing malaysia adalah on friendly terms dengan EPU dan Pemandu. Mereka ni adalah central agencies yang buat recommendation kepada Treasury bila dan berapa banyak nak allocate funding kepada kementerian dan agensi agensi kerajaan.

Ramai yang tak perasan ni tapi mana mana pembiak yang dah season boleh perasan apa yang mula terjadi dalam industri. Ada subtle change, ramai yang tak perasan. Ok ok aku tak boleh cerita lebih. Privately boleh tapi publicly tak boleh. Karang aku kena jentik lagi dengan tuan pengerusi.

Apa apa pun tuan puan pembiak sekalian, persatuan pembiak is gaining traction. Our foothold is getting firmer, and our allies is numbering up. Central agencies are sympathetic to our cause, and some ministry has iniated joint effort with us.

Yes. I feel persatuan pembiak is getting stronger.

Dan sesungguhnya, tuan puan pembiak kambing yang menjadi ahli persatuan pembiak, ketahuilah bahawa anda lah rakan sekutu persatuan yang terbaik dan terkuat. Tanpa sokongan dan kerjasama dan keyakinan ahli ahli, persatuan tidak akan memiliki kekuatan. You are what makes us strong.

Terima kasih sekali lagi kepada ahli ahli persatuan yang menghadiri AGM persatuan pembiak kambing malaysia tempoh hari.

"We don't wait for change, we make change happens". TQ everybody!

*Minta maaf ahli ahli sekalian, aku tak boleh cerita lebih lebih, aku tak boleh emosional macam dulu dulu. Blog aku ni dalam perhatian agensi agensi kerajaan. Rajin pula diorang ni baca padahal apa yang aku tulis bukan tuju kat depa ni. Blog aku ni adalah untuk pembiak kambing aje, yang mana bukan geng pembiak kambing atau yang tak berkenaan tu toksahlah baca. Buat pening kepala, buat sakit hati hangpa aje weh!