"Tropical breeds for tropical region, arid breeds for arid region, temperate breeds for temperate region, and polar breeds for polar regions"

Thursday, February 27, 2014

DUIT ORANG

Masa aku belajar kewangan kat U dulu, aku telah didoktrinkan dengan amalan pembiayaan menggunakan wang orang lain. Prof kewangan kata adalah baik sekiranya sumber pembiayaan modal bisnes kita datangnya daripada duit orang lain. Tak kisahlah samada dalam bentuk ekuiti (saham), atau hutang (pinjaman, bon, dan yang sewaktu dengannya).

Sampai sekarang aku tak tahu reasoning atau logik atau alasan sebenar amalan sebegitu, tetapi begitulah amalan dunia korporat. Lagipun bunyi macam baik je doktrin tu. Macam masuk akal. So agaknya oklah tu.

Kemudian, prof kewangan kata elok mana mana bisnes ada hutang. Ada 'debt gearing' yang sesuai nisbahnya. Tak elok kalau semua punca pembiayaan datang daripada ekuiti atau saham aje. Katanya memang nampak syok kalau punca pembiayaan tak payah bayar balik, macam saham, tapi katanya pembiayaan sebegini tidak optimal. Elok ada hutang juga.

Aku pun tak tahu logiknya, tapi bunyi macam baik aje. Dan aku pikir semua syarikat korporat memang struktur modalnya macam itu. Sebahagian saham, sebahagian hutang.

Ada juga kenalan perniagaan yang mencadangkan sumber pembiayaan sebegitu. Tapi ada juga yang kata jangan buat pinjaman, guna modal sendiri ajo. Well,bagi aku, kalau nak cepat expansion, kena guna duit orang lain. Kalau nak slow and steady, takpelah tunggu modal sendiri terkumpul.

Sebenarnya, aku bukan business minded. Aku takde minda usahawan. Aku pening bab kewangan. Pinar kepala tengok nombor nombor kunci kira kira dan penyata untung rugi dan anggaran aliran tunai.

Aku bukan usahawan ternak. Aku pembiak. Ya aku kena akui menatang ni walaupun ini menampakkan kebodohan atau kekurangmampuan aku.

Aku tahu membiak. Aku tak tahu meniaga. So jangan tanya aku bab bab keusahawanan atau jangan jemput aku suruh bagi ceramah keusahawanan. I am the wrong person. Karang patut jadi termotivasi peserta lepas ceramah, tapi takut takut kalau aku yang bagi ceramah, habih semua peserta hilang motivasi tak nak jadi usahawan. parah parah....


oklah. itu saja buat masa ini. jumpa lagi!

Wednesday, February 26, 2014

AKU KENA BESARKAN

Bukan perut aku. Bukan otot pektoral aku.

Tapi operasi kambing. 

Setiap hari ada pelawat dan pelanggan yang datang ke ladang. Permintaan terhadap kambing keluaran ladang melonjak. Dari purata 20 ekor per bulan kini jadi 40 - 50 ekor per bulan. Dan akan meningkat pada masa depan.  Operasi pembiakan sedia ada tidak dapat menampung permintaan pasaran. Jadi kena buat expansion. 

Kandang dan kambing. Tapi kambinglah yang utamanya. 

Modal diperlukan untuk expansion ialah dalam $50,000 - $150,000.

Aku takde duitttttt!!!!!

So kena buat pinjaman. Maybe Agrobank. Maybe PPK. Kedua duanya ada pernah suruh aku datang bincang untuk buat pinjaman bagi tujuan pengembangan. Tapi kan....

Kenapa aku rasa macam slim aje peluang nak dapat pinjaman?

Kedua dua entiti aku fikir dah masak dah serik dengan kegagalan demi kegagalan projek ternakan. Jadi aku rasa diorang pun pikir aku ni tergolong dalam kumpulan high risk atau highly likely to default. Hmmm... well, aku dah berjaya jelaskan pinjaman agrobank yang dulu, dan aku tiada sejarah pinjaman dengan PPK.

Banyak yang gagal dulu adalah projek projek baru, yang belum cukup skil membiak, tapi ada political connection. Jadi puak puak ni ada butang 'political pressure' ke atas pegawai pegawai bank dan PPK untuk luluskan pinjaman projek. Aku takde link politik. Aku takde butang politik yang boleh ditekan.

Aku cuma ada butang seluar dan baju. 

Dan aku tahu, walau ada skil dan pengalaman, walau dapat anugerah,walau pun operasi semasa menguntungkan - semua itu  tak mencerahkan peluang untuk dapat pinjaman. Kena ada connection, baru kuat sikit proposal aku.

Hmm.....

Ada idea?


Tuesday, February 25, 2014

DANA PELADANG KEBANGSAAN

Biar betul apa yang aku dengar ni.
__________________________________

PPK unit kampung ayer hitam lantik aku sebagai ketua peladang muda tanpa pengetahuan aku, semenjak aku dapat anugerah usahawan ruminan perak 2013. Aku pikir aku nak letak jawatan, dan menolak sebarang pencalonan akan datang.

Pening ahh... banyak sangat benda dalam kepala aku ni. Tak nak lah menambahkan lagi kepeningan ke dalam kepala aku yang dah sedia pening ni.

Anyway, dalam mesyuarat agung unit PPK aku yang baru berlangsung, aku dapat gambaran lebih jelas mengenai penubuhan sebuah dana baru yang digerakkan oleh NAFAS.

Dana Peladang Kebangsaan. DPK.

Khas untuk para peladang, penternak dan nelayan. Tapi kalau dah jadi ahli PPK, walau bukan petani, takdak masalah rasanya nak daftar jadi pelabur. Berdasarkan penerangan awal, DPK ni ada gaya ASB.

Minimum $100. Senang nak masuk, senang nak keluar. Tak macam saham PPK sekarang yang senang nak masuk tapi susah nak keluar.

Sekarang baca betul betul.

Para promoter DPK dari NAFAS sekarang rancak bagitau ahli PPK, sesungguhnya dividen tahunan dari simpanan dalam DPK adalah 10%.

Dijamin, untuk 5 tahun pertama.

Jamin. Lima... tahun. 10%..

Mak aihh biar betul apa yang aku dengar ni. Awat lumayan semacam? Sungguh ka ni?

Ntah la, aku bila sampai bab pelaburan dijamin jamin ni aku berhati hati sikit. Aku memang faham yang apa jenis pelaburan semuanya berisiko, dan pulangan tidak dijamin. Dan semakin tinggi pulangan pelaburan, semakin tinggi risikonya.

Yang sahih dijamin pulangan pelaburannya, dan pasti tinggi pulangannya - adalah sedekah yang berterusan. Haaa yang ni ye aku yakin tanpa keraguan.
Ok. DPK setahu aku ada fungsi utama. Bank untuk peladang. Nak memudahkan sumber pembiayaan kepada para peladang. Tak nak bergantung kepada Agrobank yang banyak kerenah.

So DPK sebenarnya adalah usaha pengumpulan dana secara besar besaran. Massive funding exercise. Tujuannya nak kumpul berapa juta yek? Aku dah lupa. Tapi tak silap aku, NAFAS target lebih 20 juta. Baru sesuai dengan taraf Bank Peladang.

Hmmm... nak beri pinjaman kepada ahli ahli. So seperti biasa, aktiviti beri pinjaman ni pasti akan ada isu non performing loans atau NPL. Adalah risiko ye tak. Besar juga.

Pelik juga aku datang dari mana kekuatan dan stamina NAFAS isytihar pulangan menarik DPK. 10% dividen dengan jaminan 5 tahun. Musykil sungguh aku.

Tapi takpelah, apa apa pun, aku tak nampak DPK ni ada gaya skim cepat kaya. Probably DPK ni tergolong dalam kategori "safe investment vehicle". Rasa rasa aku lah.

WARNING : Aku bukan penasihat pelaburan bertauliah.

hmmm.... aku rasa aku nak daftar jadi pelabur. Tapi sebelum daftar, kena tanya banyak banyak dulu pasal DPK ni. Ok. Kalau ada maklumat baru, aku akan inform.

Salam pembiak!



Monday, February 24, 2014

RENEW PERMIT PEKERJA

Aku buat sendiri permit pekerja asing. Sampai masa dah nak renew. Aku tulis kat sini sebagai ingatan untuk aku, kerana setiap tahun aku akan lupa apa prosedur prosedurnya.

Elok sebulan sebelum tamat tempoh permit atau pas lanjutan kerja sementara (PLKS), kita dah start buat. Pastikan sentiasa bawa sijil pendaftaran perniagaan dan salinannya, cop syarikat, pasport pekerja dan salinannya.

Kehulu kehilir memang ye. Dokumen hanya mengurangkan amaun kehulu kehilir justeru belanja petrol. Tapi tetap ada aktiviti kehulu kehilir.

Pergi Fomema Ipoh kata nak renew. Dia akan bagi borang untuk buat medical check up. Kita akan pilih klinik mana berdasarkan senarai yang diberikan. Bayar $180 untuk setiap pekerja lelaki, $190 untuk setiap pekerja perempuan. Dah bayar (style money order di pejabat pos tesco sebelah aeon jusco), Fomema akan keluar surat arahan medical check up.

Ada blood test, ada x ray. Tak yah bayar apa apa kat klinik. Doktor akan claim dengan Fomema. (Sapa yang control Fomema ni? Amalan monopoli ni terang terangan).

Result medical akan keluar beberapa hari kemudian. Online. Check dengan website fomema. Kalau lulus, pergi pejabat imigresen negeri di ipoh. Pejabat imigresen daerah takde kaitan, tiada kuasa.

Sebelum pergi imigresen ipoh, ni dia checklist dokumen yang kena ada. Tak lengkap atau salah isi, bye bye bye mudik kehulu kehilir lagi seperti biasa. Sebaik baiknya tepon pejabat imigresen ipoh sebelum datang, nak pastikan dokumen yang perlu ada. Tapi kan, aku puas tepon imigresen ipoh, susah bebenor nak berangkat.

Ok. Pertama. Surat memohon sambungan permit daripada majikan. Imigresen boleh bantu dengan format sedia ada.

Borang senarai pekerja yang nak disambung permit. Dapatkan di imigresen.

Bank draft atas nama Pengarah Imigresen Negeri Perak. Jumlah berdasarkan bilangan pekerja dan jenis sektor. Macam aku sektor pertanian. Setiap pekerja bayarannya macam ini - levi $410, pas $60, proses $10, visa $15 (berdasarkan kerakyatan - lain negara lain bayarannya tapi indonesia $15 je). So amaun $495 untuk setiap pekerja. Total amount dalam bank draft ialah $990 (darab 2 sebab aku ada dua pekerja).

Now, bank draft hanya boleh dibuat dimana akaun simpanan atau akan semasa dibuat. Bank Islam depan pejabat imigresen ipoh aje, tapi aku tak boleh buat bank draft sebab takde akaun. So aku berkejar ke CIMB cawangan Silibin. Buat bank draft kat situ. Personal name. Tak boleh guna nama syarikat. Guna cash. Belakang bank draft, baru tulis nama syarikat dan nombor handphone untuk memudahkan kerja imigresen.

Ok. Itu bank draft. Satu bahagian. Bahagian kedua ialah bon sekuriti. $250 bagi setiap pekerja. Buat dengan bank juga.

Tetapi aku taknak buat dengan bank. Aku terus buat bersekali dengan insuran. Senang kerja. Buat kat kaunter kecik depan pejabat imigresen ipoh. Kaunter tu koperasi imigresen punya. Dia boleh buat bon sekuriti + insuran kesihatan. Syarikat insurannya ialah MAA Takaful. Amaun setiap pekerja ialah $286. Aku ada dua, so $572.

Kena pergi pagi pagi. Sekuriti bon dan insuran ambik masa nak didaftar dan dicetak polisi. Bank draft takpe buat sehari sebelum pergi pejabat imigresen. Buat kat CIMB Langkap pun boleh.

Pejabat imigresen negeri di Ipoh ramai orang. Ramai. Memang kena pergi awal. Pergi pagi petang baru siap.

Kalau semua dokumen dah ada - surat permohonan daripada majikan, borang senarai pekerja asing yang nak disambung permit, bank draft, sekuriti bon + insuran, salinan daftar perniagaan, dan salinan pasport (PASSPORT ORI KENA BAWA WAJIB TUNJUK KAT PEGAWAI IMIGRESEN) - ok boleh dapat kelulusan sambungan permit.

Imigresen akan tampal sticker baru di passport pekerja.

Total duit untuk renew permit tahunan setiap pekerja = $180 + $495 + $286 = $961.

$961.... setiap tahun untuk setiap pekerja. Ini majikan buat sendiri, dan permit atas nama aku sendiri. Kalau buat dengan agen, bayaran ialah $1800 ke $2000.

Dan aku tanggung separuh bayaran renew permit. Biasanya majikan tak tanggung.

Menggajikan pekerja asing jadi semakin mahal sekarang. Oooiiii....

Tapi takde pilihan. Betul tak?

(alwigoatfarm adalah pembekal kambing muda, pembekal kambing aqiqah / kambing akikah, dan pembekal kambing qurban / kambing korban. Sebarang pertanyaan boleh hubungi no telefon yang tertera di atas)



Saturday, February 22, 2014

TERJAH

Semalam hari Sabtu. Ladang aku menerima lima pelawat. Empat daripadanya adalah pelawat terjah. Hanya satu yang melawat berdasarkan appointment.

Dan daripada empat yang terjah ni, tiga adalah pelawat tempatan, dan definisi aku bagi pelawat tempatan ialah radius 50km dari ladang. Satu lagi pelawat terjah adalah luar radius. Lebih 300km jauhnya.

Semua pelawat terjah tak perasan aku ada web presence. Hanya pelawat by appointment yang tahu aku ada blog dan facebook.

Sekali lagi aku mohon para pelawat sekalian seboleh bolehnya buat appointment dengan aku dulu, untuk mengelakkan kehampaan.

tapi tu lah, para pelawat tempatan ni memang daripada dulu main terjah aje, padahal no tepon dah ada. aiii kelam kabut aku dibuatnya.

nak buek camno jang?

itu ladang takde papan tanda. kalau ada papan tanda, lagi haru biru dibuatnya.


Salam!

PAGAR : APA PERSPEKTIF KITA?

Aku tengah baca kehidupan zaman kolonis di Amerika. Ratusan tahun dahulu. Beza budaya penduduk pribumi Amerika - Red Indian, dengan budaya pendatang - imigran dari England.

Kolonis bercucuk tanam dan menternak (binatang domestik atau binatang ditundukkan - bukannya binatang buruan). Mereka bawa ternakan daripada England, dan cuba dibiakkan di Amerika. Lembu, kambing, babi, ayam belanda, dan lain lain.

Dan bagi para kolonis, bila mereka bercucuk tanam, tanaman mesti dipagar untuk mengelak dimakan ternakan.

Hmmm... tanaman dipagar... bukannya ternakan dipagar.

Penduduk pribumi Red Indian pula banyak memburu (hunter gatherer - tiada binatang domestik atau tiada binatang ditundukkan), dan ada suku kaum yang bercucuk tanam. Jagung dan keladi. Dan kawasan tanaman keladi atau jagung ini boleh mencecah puluhan malah ratusan ekar bagi setiap perkampungan.

Apa yang Red Indian buat ialah mereka tak pagar tanaman mereka. Tetapi memberi anak anak mereka busur dan anak panah, kemudian disuruh memburu apa sahaja binatang yang cuba mengacau tanaman puak mereka.

Hmmm... tiada pagar... latihan memburu kepada anak anak.

well, samada puak pastoralis (kolonis) atau pemburu (red indian), kedua duanya berkongsi satu pandangan - ternakan atau binatang tak perlu dipagar.
Binatang yang nak dijadikan makanan harus ada elemen kebebasan. Harus dibenarkan merayau.

Sifat semulajadinya. Fitrah.

Baik bagi binatang yang telah ditundukkan, mahupun binatang buruan yang tidak pernah ditundukkan.


Perspektif kita macam mana?

Tuesday, February 18, 2014

$800 UNTUK 40 EKOR?

Kelmarin pekerja aku buat laporan ada orang offer dia $800 sebagai duit rokok. Dengan syarat.... lepaskan 40 ekor kambing kepada dia senyap senyap tanpa bagitahu aku.

..................

Hantu raya punya manusia! Rasa nak cekik cekik aje leher mamat yang offer ni.

Sebenarnya kali ni dah masuk kali keempat para pekerja aku terima tawaran sebegini. Tiap tiap tahun ada aje offer berniat jahat macam ni.

Alhamdulillah pekerja aku masih waras, dan masih setia.

Harapnya dengan gaji dan jadual kerja yang reasonable, dan extra monetary incentive, dan keturunan yang sama - jawa kediri, dan sama sama lalui susah senang bertahun tahun - aku harap semuanya ok.

Well, aku tahu tiada jaminan. Aku tahu aku tiada kawalan ke atas perkara perkara sebegini. Kerana itu aku kerap berdoa agar semuanya selamat.

Semoga pekerja aku dapat bertahan.

Salam.



Tuesday, February 11, 2014

LAGI PASAL BREEDLOT

Don Jenal kata lagi baik bagi kambing bagi makan foraj dulu diikuti dedak. Sememangnya kehadiran foraj dalam perut ruminan melambatkan pencernaan dedak. Jadi kecekapan penghadaman lebih baik.

Tapi sikit je. Tak signifikan sehingga memerlukan kita golongan penternak beriman sepenuhnya kepada kefahaman 'foraj dulu, baru dedak'.

Yang lebih penting ialah jadual kita atau kehendak kita sebagai penternak. Dahulukan yang itu. Bagi aku adalah maha penting kambing kambing sistem breedlot aku ni tidak sampai kepada rumah Bedah Tong Gas di hujung kampung sebaik sahaja pintu kandang dibuka. Adalah maha penting juga kambing kambing breedlot ni tidak sampai kepada kebun betik AhSeng seluar pendek singlet pagoda yang terletak bersebelahan ladang aku. Adalah maha penting juga kambing kambing breedlot ni cuma berlegar legar tak hilang dari pandangan mata aku, sebab AhFat hilux hitam ada bela 15 ekor anjing kat kebun dia yang berdekatan kubur cina, dan kubur cina dekat je ngan ladang aku.

Maha penting - jarak meragut kambing kambing breedlot aku tidak jauh.

Sebab itu aku bagi dedak dulu. Bagi kambing kambing ni kekenyangan sampai jadi couch potato. Malas nak pergi jauh jauh.

Kalau aku bagi dedak kemudian daripada meragut - alamatnya kambing aku hilang ntah ke mana. Dan... nope, aku tak nak jadi macam tu.

Ok dah nampak reason aku.

Kemudiannya cerita pasal breedlot yang dikategorikan sebagai high input - adalah berbaloi, berdasarkan keadaan tertentu.

Antara banyak banyak teknik atau sistem pembiakan kambing pedaging, aku nampak yang breedlot adalah sistem high input, dan yang paling banyak output berbanding sistem sistem high input yang lain.

Dan pastikan apa sahaja input tambahan kepada operasi pembiakan kita, mendatangkan jumlah output yang maksimal, atau pun optimal. Jangan pula output kita tak seberapa bila naikkan input. Atau jangan pula output tu masuk kategori hukum pulangan berkurangan bila kita naikkan input.

Tengok contoh pemberian botol susu kepada anak kambing. Bagi aku ini adalah kerja kerja atau input yang outputnya masuk dalam hukum pulangan berkurangan. Bayangkan kos pengeluaran seekor anak kambing yang dibesarkan secara natural adalah $90-$120. Kalau bagi botol susu, kos pengeluaran melonjak jadi $200 - $250 per ekor. Tetapi harga jualan sama je. Haaa ..... nampak tak?

Kenapa nak buat benda yang hanya mengurangkan untung? Dan kenapa nak buat benda yang banyak curi masa?

So bagi operasi pembiakan pedaging, pemberian botol susu adalah input yang tidak berbaloi. Tidak sepatutnya menjadi pilihan. Kalau operasi susu, mungkin lain pula ceritanya.

Breedlot pula, adalah input yang memberikan impak output yang tinggi. Aaa... high impact project. Jarak kelahiran lebih pendek, kambing pantas membiak kambing pantas membesar. Darjah keuntungan tinggi, dan memudahkan atau melapangkan masa kita. Berbaloilah walau pun input tinggi. (Tapi sistem breedlot ada kelemahan juga - rujuk post sebelum).

Apa pun pastikan sepasti pastinya - bila kita naikkan input, output mesti besar mesti maksimum dan.... seboleh bolehnya lebih memudahkan kerja kita.

Begitulah sifat operasi pembiakan pedaging yang cekap.


Salam pembiak! 

Sunday, February 9, 2014

BREEDLOT!!!

Ada cara yang lebih malas, lebih mudah, lebih untung dalam biakkan kambing pedaging. Ada tapi nya..
____________

Dulu ada orang UM buat kajian Phd kat ladang aku. Kajiannya memaksa aku asingkan sebahagian kecil betina untuk dibuat program biak secara breedlot. Berbeza dengan majoriti betina yang dibiakkan secara gembala - 100 peratus foraj.

Kajiannya dah habis. Jadi yang ada sekarang adalah saki baki eksperimen. Remnants. Dulu aku ingat nak jual habih semua betina yang dijadikan subjek eksperimen ni - pasal dikategorikan sebagai high input. Metod aku ialah low input.

Tapi pikir punya pikir, aku teruskan aje program breedlot. Tengok apa jadi.

Breedlot ni kalau ikut style aku - kambing diberi dedak belah pagi. Petang lepas meragut suka hati, samada dalam kawasan berpagar, atau pergi keluar. Tiada elemen gembala. Tiada elemen cut and carry. Tetapi ada elemen pemberian makanan. Jadi kambing masih masuk master - servant relationship, dikira ditundukkan, dan akan perform, fabulously, untuk kita.

Jumlah dedak - berat hidup 30kg ke bawah, sukatan 500gm dedak bijirin. Berat 30-60kg, sukatannya 1000gm dedak bijirin. Realitinya? Aku bagi 900gm seekor setiap hari. Cincai. Takde beza bezakan kambing kecik kambing besar.

So dalam eksperimen breedlot style aku, dedak bijirin dah bertukar fungsi. Bukan lagi suplemen, tapi jadi makanan utama. Foraj adalah sampingan, tapi kambing diberi kebebasan untuk pilih apa foraj yang ada. Luas kawasan yang diperlukan cuma 1-2 ekar (900gm dedak per ekor per hari).

Tuan puan boleh nampak dimana breedlot membolehkan kambing breeder ada access kepada matahari, exercise, udara luar kandang, dan foraj. Beza dengan intensif (feedlot) dimana kambing kurang cahaya matahari, kurang udara, kurang exercise, dan tiada pilihan foraj.

Breedlot juga membolehkan input buruh dikurangkan dengan sangat drastik. Tak payah guna pekerja. Cuma bagi dedak ( tak sampai 10 minit punya kerja). Lepas tu buka pintu kandang. Suka hati kambing tu lah turun naik kandang. Kambing tak akan pergi jauh meragut, selagi sukatan dedak (bijirin!!) melebihi 500gm per ekor per hari.

Air minum pastikan senantiasa ada. Kambing makan dedak memang kuat minum air. Baik guna nipple drinker. Jimat masa.

Oh! Eksperimen breedlot aku juga nampaknya menurunkan input ubat. Tak yah guna dewormer, jarang sangat sangat guna antibiotik, atau ubat ubat lain.

Ok. Kita masuk cerita prestasi. Bab paling penting. Input dah tinggi, output macam mana pula? Untung ke tak untung? Setakat mana darjah keuntungannya?

Bahasa mudah aku, dari sudut bisnes, bukan falsafah - untung lagi cemerlang dari gembala. Awesome!

Breedlot memastikan kambing dapat cukup tenaga untuk pembiakan, dan pembesaran pantas. Jarak kelahiran lebih pendek (sekiranya pejantan senantiasa ada), dan kadar kenaikan berat badan anak anak kambing sangat memberangsangkan.

Kadar kematian adalah sangat sangat rendah (sebenarnya takde pun sepanjang eksperimen bermula, habis, dan sampai sekarang. Dah bertahun tahun). Jadi semua anak kambing yang dilahirkan adalah available for sale, and.... massively profitable.

Kos 1 unit. Jualan 8 unit. Untung 7 unit. Maknanya profit margin 700 peratus. Kan kan kan? Aku tak pandai kira, tapi itulah yang aku nampak. Darjah keuntungan lebih besar daripada sistem semi intensif mahupun sistem intensif.

Tetapi tetapi tetapi,,,,

Breedlot adalah sesuai kepada pembiak yang kuat sikit kapasiti kapitalnya. Ada modal untuk tampung opex yang tinggi sementara menunggu hasil tuaian.

Breedlot, dari segi nilai strategik, adalah berisiko tinggi sebab mengharap kepada dedak bijirin. Kalau terputus dedak, dan senario itu tidak mustahil, memandangkan Malaysia bukan pengeluar bijirin tetapi sangat bergantung kepada import - kambing terus musnah prestasi. Hancur lebur. Jadi long term sustainability tu dikira rendah untuk operasi breedlot.

Breedlot adalah sesuai untuk kambing prestasi tinggi. Ibu, bukannya dara. Dan ibu yang jenis beranak kembar dan keatas tiap tiap kali beranak. Kalau kambing beranak sekor sekor dibuat breedlot - tak rugi, tapi untung kecik. Sakit hati kita dibuatnya. Dan lebih baik wujud suatu teknologi contohnya pembaca genetik yang boleh meramalkan prestasi kekembaran dengan lebih tepat, untuk program breedlot lebih berjaya.

So setakat ini, itulah analisis aku berkaitan kekuatan dan kelemahan breedlot.

Verdict - alternatif jangka pendek yang viable lagi untung.

Jangka panjang? Gembala sebagaimana sunnah para anbiya' adalah yang paling tinggi survivability dan sustainability. Still the king. Unquestionable.

Breedlot : Kambing macam ni untung besar. Beranak sulung dua ekor. Lepas tu dua, tiga, tiga ekor anaknya. 

Yang macam ni pening dibuat breedot. Mula mula beranak satu, lepas tu satu, satu, baru baru ni je dua. Aaaaaa sakit hati.....






Thursday, February 6, 2014

BILA MR H DATANG

Bersama isterinya.

Mr H dah ada bisnes. Stabil. Menjana untung yang konsisten. Tapi banyak berurusan dengan manusia. VIP, artis, dan orang orang glamour, dan juga orang yang tak berapa glamour tapi nak rasa glamour.

Penat berurusan dengan manusia ni. Terlalu penat. Dan pening.

Mr H dan isterinya sedang berfikir untuk terjun ke alam perkambingan. Mulakan interaksi dengan binatang, dan tamatkan interaksi dengan manusia manusia yang banyak kerenah.

Aku pikir aku tahu apa yang Mr H nak.

10 pagi berada di beranda rumah. Pegang suratkhabar. Mungkin juga secawan kopi yang sedang panas berasap. Aromanya membawa kepuasan yang sukar didefinisikan. Sambil perhatikan kambing kambing leka meragut. Sambil angin berhembus lembut membelai pancaindera.

Aaaaahhh..... contentment. Kepuasan.

Ok ok ok. Mungkin tidak. Ini apa yang aku buat. Selalu buat. Mr H mungkin ada idea lain. Mungkin belai belai anak kambing. Mungkin kejar kejar anak kambing.

Apa pun, Mr H datang melawat aku bukan dengan dada yang kosong, bukan datang dengan impian indah indah semata mata. Dia datang dengan persediaan dan strategi.

Umurnya tua dua tahun je dari aku. Isterinya sebaya dengan aku. Anak empat. Dengan umur dan komitmen yang ada, memang dia tak boleh main main. Aku boleh describe Mr H sebagai antara pelawat dan bakal penternak yang paling 'prepared'. Soalan soalannya 'strategic level' bukannya 'technical level'. Siap buat sendiri unjuran aliran ternakan, dan aliran tunai.

Well, aku sendiri tak bersedia sepertimana dia. Main terjun aje. kosong habih buta habih. Jangan ikut aku. Baik buat macam Mr H ni. So bila kita punya 'level of preparation' tinggi macam yang Mr H buat, kemungkinan kejayaan tu lebih tinggilah.

By the way, ada satu benda aku nak share berdasarkan observasi aku. Salah satu culture shock yang akan dialami oleh penternak baru ialah jumlah tenaga fizikal yang diperlukan (dan jumlah peluh yang dikeluarkan) ketika mula mula menternak kambing. Ianya tinggi.

Terutamanya bagi mereka yang nak amalkan sistem intensif atau makan tanggung. Cut and carry. Aku rekemen sapa sapa yang nak start, bela bawah 30 ekor dulu selama tiga bulan. Tengok macam mana. Nak kurangkan physical shock. Tengok boleh sustain tak disiplin cari rumput.

Biasanya ramai penternak akan alami 'discipline breakdown' bila kambing lebih 30 ekor, atau lebih 3 bulan. Untuk kelangsungan - samada kita rekrut pekerja, atau kita buat gembala, atau kita mula bagi dedak.

Option gembala yang paling low cost low input.

Bela kambing ni 'physical work'. Kekuatan dan stamina tubuh adalah atribut penting yang mesti dimiliki sang penternak. Willpower untuk maintain discipline juga kena tinggi. Ini semua akan meningkatkan kemungkinan kejayaan dalam bidang ini.

Dari segi nisbah pekerja : kambing yang optima, aku perhatikan :

Kalau buat sistem intensif (makan tanggung) dimana foraj adalah 100% - 1 pekerja untuk 100 kambing. Kalau 1 pekerja kena cari foraj untuk lebih 100 ekor, akan ada penurunan kualiti kambing.

Kalau buat sistem intensif dimana foraj dan suplemen (dedak) digunakan - 1 pekerja boleh jaga 300 ekor kambing.

Kalau buat sistem gembala - 1 pekerja boleh jaga 300 ekor kambing. Ribu ribu? Ada yang claim 1 gembala dengan tongkat boleh jaga ribu ribu kambing? Kat Malaysia ni tak sesuai, banyak pokok, kambing cepat hilang. Kalau kat Assie atau padang pasir atau savannah atau padang luas seluas mata memandang - haaa takpe ribu ribu ekor.

Aku cadangkan kita kat Malaysia ni ikut jalan kualiti berbanding kuantiti. Tak boleh ikut stail omputih. Diorang ada kelebihan tanah yang sangat sesuai untuk penternakan, jadi boleh fokus pada kuantiti. Kita tanah kecik, jadi fokus pada kualiti. Kadar pembiakan kambing kita pantas. So walau pun kecik tanah kita, tapi produktiviti dah ada. Cuma kena exploit dan upgrade pada kualiti.

alahhh lebih kurang macam strategi Porsche la. Jangan ikut macam car maker yang target mass market.

Mass production kambing - negara negara zon cuaca 'arid' dan 'temperate' diorang monopoli. So kita kena buat 'niche'. Ada 'differentiation'. Kualiti - daging kambing yang lebih sedap.

ok ok ok. Lari tajuk dah ni. Aku nak cerita pasal Mr H, macam mana pula samapai cerita porsche plak ni?

Anyway, aku dah takde masa nak tulis lebih panjang. Aku ucapkan terima kasih banyak banyak kepada Mr H dan isteri yang datang melawat. Penat penat bawa buah tangan. KFC. Belanja aku lagi lepas tu makan tomyam plak. Thanks man! Thanks a lot!

*My concern to Mr H, is the 'initial physical shock' you are going to encounter. I am sorry I did not say this during our meet. But since you said you will recruit somebody, that alleviate my concern.

God Bless You!

Salam pembiak!















Wednesday, February 5, 2014

SELAMATKAN KANGKUNG!

Tiada kaitan dengan Menteri Perdana.

Bini aku buat laporan yang pasar basah tempat dia beli lauk mentah hari hari semakin penuh dengan sayur kangkung. Kangkung sana sini. Semua gerai sayur ada jual kangkung dalam kuantiti yang besar.

Baik, dalam masa yang terdesak (termasuk saat kos sara hidup melambung), produk pribumi adalah hero penyelamat. Macam kangkung. Macam kambing kampung.

Mereka mudah membiak, mereka pantas membiak, kos pengeluaran mereka rendah, boleh mampu beli oleh semua lapisan masyarakat.

Kerana kangkung dan kembing kampung memiliki ciri ciri penyelamat umat manusia zon tropika, maka aku sangat sangat berharap, nilai mereka diperhatikan oleh pihak pemerintah.

Kita semua kena perhatikan dan belajar apa yang membolehkan kangkung dan kambing kampung pantas membiak dalam cuaca tropika kita. Dan kita mesti berusaha menyimpan benih benih dan maklumat genetik mereka sebaik baiknya.

Adakah kita memiliki bank genetik untuk tumbuhan dan binatang pribumi tropika? Adakah kita memiliki pusat kajian genetik khusus? Adakah kita memiliki pusat simpanan jangka panjang (puluhan dan ratusan tahun ke depan) untuk benih benih makanan pribumi?

Aku rasa macam takde aje.

Orang luar yang kelam kabut dok simpan benih benih makanan pribumi kita. Orang luar yang dok sibuk kaji sana kaji sini maklumat genetik makanan pribumi kita. Orang luar.... yang nampak nilai tinggi makanan pribumi kita.

Kita sendiri... masih dalam ketidakpercayaan akan kemampuan dan kehebatan darah tempatan.

Dang! We are twisted! We are screwed!

Aku pikir kangkung dan kambing kampung (dan produk pribumi yang lain lain) akan jadi 'pivotal' dalam usaha memenuhi bekalan makanan untuk anak cucu kita pada masa hadapan.

Maklumat genetik yang mereka bawa dalam badan mereka, bagaimana mereka memiliki ketahanan tinggi terhadap penyakit, bagaimana mereka memiliki kemampuan membiak yang menakjubkan, bagaimana mereka boleh beradaptasi dengan perubahan cuaca semenjak ribuan tahun - semua ini akan jadi maklumat penyelamat umat manusia masa hadapan.

Selamatkan kangkung! Selamatkan kambing kampung!

Selamatkan darah tempatan!