"Tropical breeds for tropical region, arid breeds for arid region, temperate breeds for temperate region, and polar breeds for polar regions"

Thursday, February 23, 2012

KEMBUNG BUKAN PENYAKIT UTAMA KAMBING

Salam tuan tuan,

Biasanya para penternak kambing ni lepas kambing sebelah petang, bilamana kawasan ragut dah kering, bebas embun pasal nak mengelakkan kembung dan macam macam penyakit. Masa aku berkursus kambing dulu, memang dinasihatkan lepas kambing belah petang.

Tapi biasalah aku, anti establishment, sceptical, selalu mempersoalkan dan suka buat eksperimen (aku memang tak boleh masuk askar, sah sah asyik kena pelempang dengan encik sarjan, udahnya asyik menjawab…..)

Lagi satu sebab yang buatkan aku nak cuba lepas sebelah pagi, kat kawasan aku ni bila sampai musim hujan, dia suka turun belah petang. Hujan sikit sikit kambing aku tak kisah, dia makan elok je. Kena hujan lebat sangat macam dalam sinetron indonesia tu, tu dia kambing aku memecut balik, aku risau plak tak cukup makan.   Maka aku pun cuba cuba lepas kambing sebelah pagi, antara 9.30am hingga 10.00am.

Tuan tuan, tempat aku ni bawah sawit, banyak kawasan yang lembap, berpaya, basah, lecak. Kalau musim hujan, memang berair betul kawasan aku. Secara teorinya, situasi sebegini membahayakan kesihatan kambing. Udah la bawah sawit, lembap, hujan lagi, lepas kambing sebelah pagi plak tu… memang mula mula aku lepas kambing sebelah pagi, terasa sungguh cuaknya… maunya idak semua orang cakap bahaya lepas kambing pagi pagi ni… kembunglah, cacinglah, purulah dan macam macam lagi penyakit…

Kambing aku ni plak, memang cukup suka pucuk ubi liar dan daun pisang liar. Macam tak cukup mulut diorang ni makan. Yang aku perhatikan, kambing aku kurang suka rumput rumput termasuklah napier atau guinea. Diorang ni lagi suka dedaun daripada rumput.

Biasanya kalau aku halau diorang ke tempat yang banyak napier, banyak yang buat buat tak nampak rumput tu, malah ada yang merempit laju menonong je. Kadang kadang geram betul aku dengan kambing ni, eksen tak mahu makan napier yang cantik cantik menggoda. Penat aje halau ke situ… kambing punya kambing….

Tuan tuan, orang kata banyak sangat pucuk ubi bahaya boleh buat kembung… rumput basah sangat pun bahaya boleh buat kembung…. Tak elok lepas kambing bilamana hujan baru selesai nanti kambing kembung….

Pengalaman aku...

Kambing aku makan sepuas puasnya pucuk ubi liar dalam keadaan hujan lebat pada waktu pagi….

Takdak sekor pun kembung….

Realitinya kambing aku mati kembung seekor dua setiap tahun kerana terlebih dedak. Takdak seekor pun kembung kerana terlebih makan rumput basah basah…

Memang kembung bukan penyakit utama kambing, terutamanya bagi kambing jenis lepas. Kita tak perlu risau. Tapi bagi mereka yang bagi dedak pada kambing dewasa memang kena hati hati. Kambing dewasa yang terlebih dedak memang mudah kena kembung bilamana wujud situasi penukaran makanan.(Perhatikan ayat aku betul betul tuan..)

Anak kambing yang terlebih dedak tak kembung?

Pengalaman aku… takdak anak kambing yang mati kembung pasal terlebih dedak.Perut diorang ni lain macam sikit tak sama dengan yang dewasa.

Kalau kambing dah kembung apa ubatnya?

Senang je tuan tuan tak payah ubat mahal mahal. Kita guna sodium/natrium bikarbonat 100%. Garam bentuk tepung warna putih untuk menaikkan kek. Banyak jual kat kedai runcit, memang murah. Ambil satu sudu teh (sikit je guna) + air 100ml. Bagi minum kat kambing yang kembung tu.

Memang murah dan berkesan. Kejap je dah keluar kentutnya.

Tapi nak kena tahu lah, kena pandai bezakan kambing yang kembung atau tidak. Kembung ni bukan la tu juga dia jadi. Ambik masa nak menampakkan simptom kembung. Kalau ada perubahan dari rumput ke dedak biasanya akan jadi.

Kalau kambing dah tumbang tercungap cungap?

Jangan guna sodium bikarbonat, terus guna trokar. (masa awal awal bela kambing dulu, memang aku pernah guna teknik ni, tapi sekarang tidak lagi… pasal aku dah boleh kenalpasti kambing tu kembung ke tidak di peringkat awal)

So tuan tuan jangan risau pasal kambing kembung kalau kita tahu maklumat yang sebenarnya. Ada lagi rahsia pasal kembung yang belum aku paparkan yang tak banyak orang tahu, terhad kepada pembiak yang mahir. Kalau nak tahu, daftarlah menjadi ahli persatuan pembiak kambing malaysia, kita boleh berjumpa nanti, kita boleh cerita lebih panjang…


Salam.

Karnival di RTC

Baru baru ni aku ke karnival RTC (Rural Transformation Centre) di Gopeng, Perak. Aku pergi sebelah petang pasal pagi aku sibuk ngan kambing kambing aku. 18 Feb aku pi, aku kena patah balik pasal hujan lebat sangat, traffic jam, kereta bersusun berkiloooooometer panjang. Rupanya PM merasmikan hari itu, aku tak perasanlah plak.

Esoknya aku pi balik, belah petang sebab pagi memang kena menghadap maharaja kambing dulu. Orang memang ramai betul, yang jual makanan dan minuman semua hilang anak mata, ganti dengan rm, rm, rm, macam mesin slot kat genting sana nun. Haha memang syoklah sapa sapa yang buka gerai makan kat situ, seluar semua nak terlondeh nampak 'spender' pasal poket penuh sangat dengan ringgit malaysia dan syiling malaysia.

Makanan yang paling best kat situ ialah kambing golek. HS Nada yang buat. Aku heran gak, pasal setahu aku HS Nada ni lebih menjurus kepada lembu lembu dan produk daging lembu. Tak perasan plak aku bila dia start main kambing nih. Tak kisahlah janji kambing golek dia sedap.

RTC ni dulunya Terminal Agribisnes Negara. Dulunya lagi Terminal Makanan Negara (TeMaN). Asyik tukar nama je, pening rakyat macam aku nih. Kalau tak silap aku, kos pembangunan TeMaN ni sekitar 200 juta. Idea kementerian Pertanian (FAMA kot?). Memang untung besau kontraktor pembinaan yang dapat projek TeMaN nih.

Tujuan? Ntah, aku pun tak tahu. Yang aku tahu kawasan tu kosong, sepi. Pemborong pemborong sayur, ikan, daging tak mahu masuk situ. Sunyi sungguh. Memang hampir mencapai status gajah putih. La ni, banyak pejabat kerajaan terpaksa ditempatkan kat situ bagi menarik minat lebih ramai rakyat termasuklah yang terbaru ni agensi agensi di bawah Kementerian Luar Bandar. Pasal tu nama terbaru dia RTC (Rural Transformation Centre).

Karnival itu hari aku tengok booth agensi agensi Kementerian Pertanian belah belah hujung, macam terpinggir je. Projek mega TeMaN Kementerian Pertanian yang tak jadi jadi dah diambilalih Kementerian Luar Bandar, itulah yang aku dok hitung hitung.

Serahkan kepada mereka yang lebih cekap kot? Yelah takkan nak biarkan jadi gajah putih. Karang jadi macam Pusat Fidlot Nasional, makin hilanglah kepercayaan rakyat bawahan macam aku ni. Yang aku nampak, kontraktor yang bina projek mega mega nilah yang untung besar, yang gelak sakan bila tengok akaun banknya makin membukit.

Kita petani dan penternak apa yang dapat ye? Dok telan air liur je, bila nak telan yang sedap sikit?

Kat TV, suratkhabar bukan main peruntukan yang diwarwarkan. Pak menteri umum dana sana sini. Tapi yang dapat jerung besar, pulak tu salah guna peruntukan. Ikan bilis kecik macam aku ni terlopong tengok kerakusan jerung jerung nih. Hahaha..

Cuba bayangkan, N** dapat soft loan 20 tahun. Bunga 2% je setahun. Grace period 3 tahun, takde cagaran. Siap bagi kawasan lagi… Mak aihh….

Kita renung pinjaman yang disediakan untuk penternak kecik macam aku ni.. tempoh pinjaman 5 tahun, Bunga 4-5% setahun, grace period kalau luluslah setahun je.. Sebulan terlepas bayar, telepon dah berdering…

Setahu aku polisi kementerian kewangan ni memberikan pinjaman pada 2% + BLR. Maknanya N** dapat pinjaman di bawah kadar kos. Terma terma pinjaman kepada N** ni betul betul soft, betul betul fleksibel, tak menyerupai pinjaman, serupa hulur duit suruh enjoy je..

Terlopong… terlopong ikan bilis… 

Wednesday, February 15, 2012

AKU SUKA LADANG KECIK!


Apa khabar tuan tuan pengunjung blog aku nih? Semoga sihat dan Body Mass Index (BMI) anda sentiasa berada di tahap yang optimum hehe! (Tak susah nak BMI kita cemerlang tuan tuan, ikut aje belakang kambing masa lepas tuh, mana dia pergi kita pun pergi, aku gerenti BMI kita sentiasa cemerlang dan gemilang!)

Tuan tuan,

Aku sebenarnya lagi suka berkawan dengan pembiak kambing yang kecik kecik nih, yang modalnya tak seberapa, kandang tak lawa, yang lebih banyak jerih payahnya dari senang lenangnya, pasal aku dulu pun macam tu.

Inspirasi aku, semangat aku  datang daripada pembiak yang kecik kecik ni, yang sanggup ikat perut, yang sanggup meredah hujan lebat dan berpanas bersama sama kambing, dan yang istiqamah/teguh meneruskan usaha walaupun dipandang sinis/diketawakan oleh orang sekeliling, walau pun dugaan silih berganti. Kekentalan semangat rakan rakan pembiak yang kecik ni lah yang sentiasa menaikkan semangat aku walau pun banyak kali juga aku rasa putus asa.

Aku terkenang masa dulu, makan nasi berlaukkan kangkung/pucuk paku/pucuk ubi/jantung pisang/terung belanda ngan sambal belacan hari hari. (kawasan sekitar ladang aku memang kaya dengan ulam liar nih, rembat je, memang tak bertuan). Nak berjimat punya pasal, nak bagi kambing makan sedap sedap berulamkan dedak sampaikan tuan punya kambing makan pun macam kambing hahaha.. agaknya kalau rumput nyonya tu boleh dibuat ulam, aku dah sebat buat lauk!

Memang BMI aku sangat cemerlang masa awal awal menceburkan diri dalam dunia pembiakan kambing nih. (Sekarang BMI dah lari, kuli aje yang buat semua kerja, dulu pinggang aku 28/29 sekarang 33, cipet betul…)

Masa mula mula aku biakkan kambing ni tahun 2005, aku ada 13 ekor ibu/induk je dalam tahun tu. Mula mula 5 ekor ibu kampung (semuanya sakit sakit masa tu akibat kecacingan serius, aku tak perasan plak, yelah beli kambing dah gelap maghrib), kemudian aku tambah sebulan seekor ibu. Takdak duit masa tu, pinjaman agrobank belum dapat lagi.

Tapi dalam tahun pertama juga, 3 anak betina kampung yang lahir kat kandang aku dah jadi ibu juga. Maknanya tahun pertama aku ada 16 ekor ibu/induk/bibit. Anak dapat 26 ekor. Kadar mati 35%, biasalah tu pasal langsung tak ada ilmu pembiakan kambing masa tu. Ingatkan kalau dah pandai tangkap kambing, pandai inject kambing, dah kenal ubat ubat, dah kenal dedak dedak, dah kira terer pasal kambing…hahahaha… memang sangap aku masa tuh…

Lepas dari tu, aku takde dah beli kambing betina buat induk tuan tuan. Aku biakkan je dari apa yang ada. Itu yang aku makan sayur hari hari tu, jadi vegetarian sekejap. Iyelah aku start sikit sangat. Aku tak rekemen bakal bakal pembiak sepenuh masa buat macam aku nih, elok start 50 ekor induk. Lagi baik 100 induk. Tapi tulah, modal tinggilah pula kan?

Bila dapat pinjaman agrobank rm30,000 tahun 2006, aku ambil 10,000 buat beli boer. Masa tu dah ada berita berita yang sampai kat telinga aku, kata hati hati ngan kambing boer ni ada banyak masalah. Tapi biasalahkan aku baru menternak, jadi memang terpesona dengan saiz kambing boer ni, kena plak kat suratkhabar dan tv tengah rancak promosi kambing boer. Aku pun buat keputusan untuk test biak kambing boer nih.  

Tapi aku ambil langkah berjaga jaga, aku tak beli boer yang baru masuk dari australia, aku beli boer local breeding (lahir kat malaysia, dibesarkan kat malaysia, kemudian beranak lagi kat malaysia gak). So aku beli 9 ekor, 2 pejantan dan 7 betina dari sebuah ladang pembiakan boer milik kerajaan. Kat ladang kerajaan nih, boer betina lepas aje bawah sawit, diorang tanam rumput guinea celah pokok pokok sawit tu, manakala yang jantan diasingkan. Jadi aku punya andaian, kalau aku beli boer kat situ, lagi selamat, kurang risiko kat aku. Yelah, local breeding, dah biasa lepas bawah sawit plak tu.(andaian yang bakal bertukar jadi mimpi ngeri…)

Seminggu lepas sampai pejantan 55kg yang aku beli dengan harga 1500 tak boleh kencing, mati.

Pejantan kedua 33kg, sebagai spare, rupanya tak mahu kahwin kahwin, gagal menjalankan tanggungjawab. Memang jadi spare,…… spare tyre…

7 ekor betina boer, beli harga rm900 seekor, menggemuk dengan sangat sempurna di tempat aku walaupun tanpa dedak hinggakan semua pelawat kandang aku kata boer betina aku sarat mengandung walhal baru je beranak semalam. Memang jadi bulat, cantik berkilat kilat, berat 55 – 60kg, tapi gagal membiak seperti yang aku harapkan. Lepas 2 tahun lebih bela boer hasilnya tidak memberangsangkan. Tak berkembang pun.

Kambing kampung 5 ekor yang aku beli rm300 seekor (sakit sakit plak tu) dah jadi berganda. Mendatangkan hasil untuk menampung pakej menyelamat boer yang tak jadi jadi.

(Konsultan pertama – ko ni awi, kambing boer tu kan ambil masa nak adapt dengan cuaca kita?)
Jawapan aku – amendenya, aku beli semua local breeding, generasi ke 3 dan ke atas.

(Konsultan kedua – boer jangan lepas bawah sawit, parasit banyak, elok makan tanggung).
Jawapan aku – aku beli boer yang dah biasa lepas bawah sawit, aku bagi boer boer ni dewormer tiap 3 bulan, lagipun bulat bulat boer aku ni cukup makan, australia dan south africa tempat asal boer ni takde plak buat makan tanggung, apasal sampai tempat kita nak makan tanggung?

(Konsultan ketiga – boer kena bagi suntikan dan suplemen vitamin/mineral tambahan).
Jawapan aku – ni bertambah banyak input, duit, tenaga, masa….

(Konsultan keempat – boer bila beranak dua, asingkan salah satu bagi minum botol susu, baru cukup susu maknya, takdelah kes bantut)
Jawapan aku – mak aihh lagi bertambah input, duit, tenaga, masa…..

(Konsultan kelima – boer kena tengok bila nak beranak, bantu/jadi bidan bila nampak lain macam)
Jawapan aku – aku tak pernah jadi bidan untuk kambing kampung, dah dekat 800 kelahiran, rilek je dia beranak.

(Konsultan keenam – boer jangan bagi gemuk sangat, susah mengandung dan beranak).
Jawapan aku – boer aku walau pun bulat bulat, tapi tak obes. Memang fit, cergas pasal bila lepas, jauh tu berjalan dalam 3 – 10km setiap hari.

(Konsultan ketujuh – tendang keluar semua boer ni, kita tengok macam mana?)
Jawapan aku – ya betul, nasihat yang sangat baik! (walaupun sayang tengok boer boer ni kerana gemuk bulat berkilat)


Akhirnya aku jual kesemua boer yang aku ada, tinggallah kambing yang berdarah kacukan kampung. Yang bestnya tu, lepas jual semua boer,kadar kelahiran terus meningkat semakin baik. Bertambah bagus produktiviti ladang aku. Rupanya kambing boer selama ini menjatuhkan KPI (Key Performance Index) ladang aku.

Importer/trader boer dan mereka yang pro boer mesti sakit hati bila baca statement aku nih. Tapi yang aku cerita ni pengalaman aku sendiri, dan pengalaman rakan rakan pembiak yang lain. Banyak yang tumbang sebaik sahaja diorang buat keputusan untuk membiakkan baka import bersaiz besar nih, bukan boer sahaja, jamnapari pun. Atau lain lain baka bersaiz besar untuk dijadikan kambing pedaging.

Lantaklah korang menggelegak berasap pun tapi tunjukkan rekod pembiakan anda sekiranya mahu menyanggah/menafikan/membangkang statement saya ni. Jangan tunjuk rekod berat je, tunjukkan rekod kelahiran dan kematian.

(Kalau tuan tuan nak tahu, agensi kerajaan yang menyelidik kesesuaian boer kat tempat kita nih yang aku namakan XXXXX dan XXXX rupa rupanya berpandukan prestasi kenaikan berat badan sahaja semasa buat keputusan samada kambing boer ni sesuai ke tidak kat malaysia nih…… aduhaiii…… ada yang simpan rekod lahir/mati tapi setakat raw data, tiada analisis selanjutnya……..)

Tetapi kalau boer/jamna/etc dikacukkan dengan darah tempatan/kampung/pribumi lain pula ceritanya. Wujud hybrid vigor (kesegaran kacukan). Ni memang best. Walau pun tak sepantas pembiakan kambing kacang dan tak secepat kenaikan berat baka boer, tapi kita ada keseimbangan yang menepati objektif pembiakan kambing pedaging kita. (yang aku boldkan tu nak kena baca slow slow, kena fahamkan betul betul tuan).

Jadi untuk meningkatkan kemungkinan kejayaan kita dalam pembiakan kambing pedaging ni, aku galakkan kacukan/crosses/campuran. Cari pejantan boer/jamna/nubian yang beratnya sederhana 50-60kg (tak perlu fullblood) kemudian kahwinkan dengan betina kampung. Semua pembiak kambing pedaging yang masih bertahan hingga sekarang (veteran) semuanya buat macam ni – ni short term solution yang berkesan.

Kepada pembiak baru, aku faham sangat sangat kalau korang tak mahu dengar cakap aku. Sebab aku dulu pun macam tu, memang terpesona dengan kehebatan infrastruktur kandang, memang terpana dengan saiz kambing, lagi besar lagi syok tengok. Cenderung kepada ladang ladang komersil ni. Tapi bila aku dah terhantuk (nasib baik tak pengsan), barulah aku sedar di mana realiti, di mana kunci kejayaan seorang pembiak kambing pedaging.

Darah kita adalah penyelamat kita tuan tuan, darah kita pasti dan pasti tidak akan menghampakan kita, yakinlah pada kehebatan darah sendiri!

Salam.



  



 

   



Tuesday, February 14, 2012

TAHI KUDA SEBAGAI AROMATERAPI?


Fuhh… semenjak aku bela kuda nan seekor ni, rasa macam masuk spa hari hari. Dia punya harum semerbak, bukak aje pintu rumah, terus meluru mengisi paru paru aku nih. Memang baik punya aromaterapi tuan tuan, aku syorkan tuan tuan bela jugak barang seekor dua. Kalah sifat aromaterapi daripada taik 300 ekor kambing. Tu baru seekor kuda punya taik, kalau sepuluh ekor kuda?

Yaa memang sihat kita bila bela kuda nih, aroma taiknya melancarkan pernafasan, mengejutkan paru paru yang lesu, memberi satu kelainan perasaan yang menggetarkan jiwa. Sangat baik untuk perokok tegar yang mengalami bronkitis. Sewajarnya tahi kuda diangkat menjadi suatu alternatif aromaterapi yang berpotensi.

Banyak juga ilham yang datang selepas mengalami aromaterapi taik kuda….

Aku hari hari free aromaterapi kuikuikui………

Monday, February 13, 2012

AKU SEDANG MENCARI MAHAGURU!

AKU SEDANG MENCARI MAHAGURU!

Ya betul tu, aku sedang mencari seorang master breeder yang sama sistem dan kepercayaan dengan aku. Aku nak melanjutkan pelajaran dalam ilmu pembiakan kambing ni ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi aku seorang master breeder yang aku tengah tercari cari ni mempunyai ciri ciri berikut :

1)    Tak buat trading, tapi fokus pada pembiakan samada pedaging atau baka (tapi lebih baik pedaginglah pasal aku pun fokus pedaging). Pembiakan adalah jalan yang paling mencabar bagi seorang penternak. Dan golongan pembiaklah yang sebenarnya menyahut cabaran meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara tetapi selalu dipinggirkan, dimanipulasi, ditindas dan dibunuh oleh geng importer/trader yang bersekongkol dengan kayu reput dalam agensi kerajaan. Kolaborasi diorang ni yang sentiasa melilau mencari keuntungan segeralah yang berterusan menghasilkan polisi penternakan yang membawa bencana demi bencana kepada industri kita nih, bukannya membina, ATAU selalu buat projek besar besar yang gah tapi tak memberi manfaat kepada kebanyakan penternak, yang akhirnya menjadi gajah putih. Betul kan tuan tuan?    

2)    Modal awal biasa biasa, rm300,000 ke bawah, bukan juta juta. (Lagi sengkek initial investment, lagi aku respek). Modal juta juta bukan menjamin kejayaan, lagi senang lingkup ada. Dah bersepah sepah kandang kambing juta juta ni gagal/bankrap dalam malaysia kita ni. Lagi pun aku mana mampu nak ikut yang modal juta juta nih, aku bukannya jutawan. Hutang pun keliling pinggang ni tapi takde la terdesak sangat sampai nak pinjam along.Mintak mintaklah dijauhkan drpd along nih fuh! Fuh! Fuh! Lagi satu, aku dah tak heran dengan infra yang hebat hebat pasal semuanya tu hanya untuk mengkagumkan mata yang memandang, tapi menelan belanja yang sangat besar, ntah bila nak pulang modal tuh.


3)    Berdiri dengan kaki sendiri, takde tongkat tongkat. Maksud aku takde bantuan/dana kerajaan, takde soft loan, tak mengharapkan kontrak drpd mana mana agensi kerajaan. Jadi dia bersifat independent, tidak takut buat keputusan yang mencabar status quo. Berani berhadapan dengan gerombolan jerung jerung yang telah banyak membaham rakan pembiak aku.

4)    Sama kepercayaan dengan aku : pro darah tempatan. Percaya dengan kehebatan dan keunikan darah yang mengalir dalam tubuh sendiri.


5)    Sama sistem dengan aku : semi intensif (separuh lepas). Aku kurang percaya dengan sistem intensif untuk pembiakan. Tinggi sangat input. Banyak ladang pembiak yang tumbang sebab input tinggi sangat.

6)    Lebih lama operasi dari aku. Aku dah masuk tahun ketujuh. Biarlah bakal mahaguru aku tu betul betul otai, lebih 10 tahun pengalaman sebagai pembiak. Lagi lama lagi bagus. Lebih 10 tahun sebagai importer/trader? Sorry,tak mahulah. Banyak nasihat yang salah dari betul. Bila aku tanya yang kompleks sikit, tercengang cengang atau pun mereka reka jawapan yang berpusing pusing. Bagi aku lah kan, yang patut buat kursus kepada bakal bakal penternak ialah golongan pembiak/breeder yang telah beroperasi lebih dari 10 tahun. Baru betul betul class! Barulah jadi harimau mengajar anak memburu, bukannya ketam mengajar anak berjalan. Ni yang aku tengok, banyak yang buka tempat kursus ni baru 2-4 tahun dalam bidang ternakan, pulak tu bukannya pembiak tapi lebih kepada penggemuk/trader/importer. Kadar kelahiran pun tak reti kira/tak pernah ambil tahu dah diiktiraf  sebagai tempat kursus. Ketam betul……

7)    Lebih banyak kambing dari aku : >300 ekor.  

8)    Menyimpan rekod ternakan yang teratur dan wujud analisis daripada data/rekod tersebut. Kalau ada varians, sisihan piawai, keluk, atau apa apa statistic tool lagi bagus. Dapatlah lagi banyak maklumat yang berguna atau pola pola unik yang mencerminkan situasi industri tempatan. Itu yang aku nak belajar. Aku dah bosan berkiblatkan hasil penyelidikan dari luar.

Kalau tuan tuan nak tahu, aku ada hantar laporan prestasi pembiakan ladang aku ke ladang ladang lain, dengan harapan dapat bertukar maklumat, menambahkan ilmu dan meningkatkan prestasi . Ada ladang besar, ada ladang kecik. Daripada berpuluh yang aku hantar, setakat ni cuma ada satu ladang je yang berani menunjukkan laporan prestasinya kat aku. Nama ladang ni BODEN kat bahau, N9. Pembiak boer +-1200 ekor. Terima kasih aku ucapkan kepada pemilik BODEN kerana sudi bertukar maklumat ladang dengan aku. Aku galakkan penternak kambing untuk ke sana kerana pemilik BODEN iaitu Tn Hj Zainal dan Puan Fatimah memiliki rekod ternakan yang komprehensif walaupun pakai microsoft excel je cam aku gak. Diorang ni juga very knowledgeable breeder. Tak rugi ke sana.

Yang lain lain macam mana yek? Lama jugak aku menunggu response diorang nih.

Kepada ladang yang selalu berkokok/cakap besar, tapi takde simpan rekod pembiakan (banyak yang camni tuan tuan, itulah realitinya), di mata saya anda telah hilang kredibiliti. Hahaha.. teruskanlah kokokan anda selagi masih larat.. 

Dan aku ambil kesempatan ni untuk bagitahu kepada semua pelajar sekolah/ kolej/universiti pertanian, kalau sekolah korang tak menyimpan, menganalisis dan mengajar rekod rekod pembiakan (bukan rekod berat aje), maka korang semua wajib berdemo untuk merombak kurikulum korang. Aku tekankan di sini, rekod ladang adalah batu asas untuk memajukan industri. Tanpa rekod, semua usaha akan jadi debu. Kita akan sentiasa di takuk lama.       
  
9)    Kadar pembiakan (kadar kelahiran tolak kadar kematian) secara konsisten berada pada paras 1.8 atau lebih per tahun selama 4 tahun sekurang kurangnya.

Apasal 4 tahun pula? Haaa.. kalau tuan tuan nak tahu, 4 tahun kita biak kambing dalam kawasan tanah yang sama, bila kadar pembiakan baik, tiada kematian besar besaran berlaku, maknanya kambing/sistem kita ngam dengan tempat tu, sesuai, boleh teruskan usaha pembiakan kat situ. 4 tahun adalah tempoh kritikal untuk pastikan kesesuaian tanah dan sumber di situ dengan baka kambing/ sistem kita. Selepas 4 tahun kambing rilek je, normal membiak maka teruskanlah. Ini tip untuk pembiak, bukannya trader. Kalau trader, boleh belasah je apa jenis tempat pun.

Sebab tu, kalau master breeder tu dapat maintain kadar pembiakan yang tinggi buat sekurang2nya 4 tahun, aku consider dia berkelayakanlah. Kalau lebih 2.0 setahun atau >200% per tahun untuk lebih 4 tahun lagi otailah.

So kalau tuan tuan ada kenal sapa sapa yang menepati syarat tersebut, harap dapat bantu aku untuk berkenalan dengan master breeder tersebut. Jasa tuan akan dihargai. Nanti aku belanjalah minum teh o ais ka, nescafe ais ka kat mana manalah. Orait!     

Monday, February 6, 2012

CARA HUBUNGI SAYA

Ya apa khabar tuan tuan,

Kepada sesiapa yang nak menghubungi saya, lebih baik telefon handphone. Kalau e mel atau ikut blog memang lambat saya balas. Pasal rumah saya tiada akses internet. Usah kata internet, elektrik ngan air paip pun takde. Orang Asli lagi canggih dari aku daaa… aku update blog pun kat kafe siber, yang paling dekat nun 15km jauh dari rumah samada kat pekan bidor atau langkap. Lagi peluang nak update blog bila aku balik rumah mak bapak aku kat bangi. Rumah diorang ada unifi. Dah terbalik plak. Patut rumah anak yang canggih manggih, haha…

Walau pun akses internet tak wujud, tapi akses ke kandang kambing memang senang, pasal rumah aku memang sebelah kandang. Istilah traffic jam nak pergi tempat kerja memang tak wujud dalam kamus hidup aku semenjak jadi pembiak kambing nih, hahaha. Tak payah sibuk sibuk nak mandi pagi, pakai minyak rambut, sikat cantik cantik (aku memang takde rambut), pakai minyak wangi, pakai deodoran, pakai tali leher nak pegi ofis. Nak pakai tuala pi kandang? Takdak masalah. Tak pakai apa apa nak ke kandang pun takdak masalah walau pun aku tak buat lagi camni. Bahaya jugak weh aurat kena jaga, karang lain macam je kambing nengok aku dari atas sampai bawah.

Nampak senang hati yek?

Itu dari sudut nak pi tempat kerja. Tapi kalau korang nak tahu, aku punya office hour start 6 pagi. 5.30 pagi dah bangun. Pukul 6 pagi dah masuk kandang. Gelap gelap macam tu dah start keje. Kuli pun tengah syok tidur lagi. Check kambing. Pakai lampu kepala cap eveready yang jenis LED tuh. Pembuat lampu kepala ni kata lampu dia tahan ribu ribu jam tapi bila aku pakai rasa cam kejap aje dah rosak. LEDnya tahan tapi kat dalam dah berkarat. Amende camni, dah la mahal. Nak guna lampu carbide macam orang dulu dulu tapi takut! Ada sesapa tahu mana nak cari lampu kepala jenama yang betul betul lasak?


Sunday, January 15, 2012

DIEGO SI KUDA


Salam tuan tuan pengunjung,

Ni kuda yang aku beli bulan disember 2011. Gambar ni diambil masa dia baru sampai kat tempat aku. Namanya Diego. Kurus je masa aku beli tu. Tak cukup makan. Tak cukup exercise. Tengah stress. Sampai kan makan tahi sendiri. Pehh.. aku ingat arnab je makan tahi sendiri, rupanya si Diego ni pun serupa. 

Tujuan utama aku beli Diego ni bukannya untuk gembala kambing, tapi dijadikan mesin rumput. Mesin rumput? Iye, pasal aku dah tak sanggup guna mesin rumput bermotor. Tiap tiap 2 minggu rumput dah panjang, cepat sangat naik, nak kena mesin rumput. Kambing kambing aku bukannya nak makan sangat rumput sekitar kandang ni. Berlagak betul! Makan sikit sikit lepas tu hilang ntah ke mana. 

Kawasan kandang aku ni 2 ekar yang berpagar. Jenuh la nak mesin rumput 2 ekar setiap 2 minggu. Haa letak si kuda Diego nih, terus dia menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan. Tak payah suruh suruh makan. Memang pendek rumput. Dari situasi 'overgrowth' jadi 'overgrazed' plak.  Masalahnya walaupun rumput pendek tapi tahi kuda bersepah sepah. Alamak aihh... Dah la wangi semacam tahi kuda ni, merata rata plak. padan muka aku. 

So Diego sekarang ni nampak happy dan lebih gemuk. Siap berguling guling atas rumput. Pasal makan cukup, matahari cukup, exercise cukup. Kurap yang dia ada dulu pun dah baik, walau pun aku jarang sangat mandikan dia nih. Kat tempat lama dia dulu, banyak input - dedak, rumput, ubat, berteduh, kena mandikan selalu tapi kurus dan stress gak. Bila sampai tempat aku dah jadi low input - berhujan,  takde mandi, takde ubat, takde vitamin, takde molasses, takde dedak special, rumput pun makan sendiri dan yang bestnya dia bertambah happy dan gemuk. 

Haaa... low input husbandry adalah jalan yang sebenarnya. Jangan manjakan ternakan kita ni, kita nak menternak bukannya nak buat binatang peliharaan/pet. Bagi dia susah sikit, baru jadi lasak dan berdikari. Kita pun senang. Produktiviti tetap sama ataupun lebih baik. 

Ok tuan tuan. Salam.


Saturday, January 14, 2012

CORETAN AWAL 2012

Salam tuan tuan,

Sibuk betul saya sekarang. Tengah upgrade fasiliti kandang. Kandang sekarang tak muat. Dok congak congak setiap 2 tahun kena tambah kandang. Penatlah. Banyak betul guna modal. Memanjang kering je poket, habis untuk capital reinvestment. Walau pun operasi pembiakan dah profitable, tapi kena agihkan pula untuk pelaburan semula. Kandang kali ni lebih tinggi modal dari yang sebelum ini. Anggaran rm25,000 untuk 40x60. So anggaran kos sekaki persegi rm10.50. Mungkin kurang mungkin lebih bila dah betul betul siap. Tapi apa apa pun memang tengah pening. Duit laju sangat keluar macam air paip je.

Anyway, bila membiak kambing berdarah tempatan memang macam ini. Cepat membiak, pasal tu setiap 2 tahun kena besarkan kandang. Kali ni saya ingat nak stop dulu pada kapasiti 600 ekor. Nak ambil ruang untuk bernafas, untuk streamline operasi, untuk mencari ruang meningkatkan kecekapan pembiakan. Bagilah sikit oksigen kat otak aku nih. Aku bukan dapat bantuan kerajaan. Aku bukan millionaire. Aku bukan ada income lain. Full time jadi pembiak kambing nih. Modal tahap kampung je pun. Aku start dulu pun rm10,000 je. Bukannya 2, 3, 4, 5, 6, 30 ataupun 250 juta. Pinjam agrobank  rm30,000 masa mula start operasi pun tak habis bayar lagi. Nasib baik dah nak habih, tinggal rm3,000 lagi baki pinjaman. Biasak lah hutang bayar slow slow hehe..

So sedikit laporan prestasi untuk tahun sudah (2011). Aku dapat 238 anak kambing dari 105 ekor ibu. Maknanya kidding rate aku 2.27 atau 227%. So oklah ni. Jauh lebih baik dari kidding rate boer atau jamnapari atau sebarang jenis kambing bersaiz besar atau berdarah asing.

Yang tak bestnya mortality rate tinggi pula. 24% kematian atau 0.24. Check punya check, baru perasan kambing aku terminum air yang dicemari kuman kencing dan tahi tikus. 8 bulan kambing aku minum air yang tercemar ni, baru aku perasan. Padan lah banyak mati. Tahun 2010 kadar mati 22% pasal coccidia akibat overcrowding. Kandang sesak sangat. Takpe, takpe aku belajar dari pengalaman. Kesilapan yang banyak mengajar kita.

So kadar kelahiran tolak kadar mati dapat kadar pembiakan. (2.27 – 0.24 = 2.03). Maknanya untuk tahun 2011 kadar pembiakan kambing aku ialah 2.03 atau 203%. Oklah tu. Boleh survive lagi. Masih lebih tinggi dari darah asing. Dalam perkiraan aku, kadar pembiakan minima (kadar lahir – kadar mati) bagi seorang pembiak kambing ialah 1.5 atau 150%. Baru boleh cover kos. Selebihnya adalah untung. Lagi tinggi kadar pembiakan lagi bagus untuk seorang pembiak.

Lagi cepat naik berat badan? Itu untuk trader atau penggemuk. Kita pembiak, maka kadar pembiakanlah yang menjadi keutamaan. Alah nak gemukkan/bagi cepat naik berat kambing bukannya susah. Bagi ajelah dedak lebih sikit. Lagi tinggi karbohidrat (bukannya protein ye) dalam dedak lagi cepat naik berat.

OK lah tuan tuan. Setakat ini dulu idea yang ada. Dah kering plak. Tak boleh nak refill.

Salam. 

Wednesday, December 7, 2011

Kambing Betina Dalam Kandang Breeder



Inilah rupa bahagian dalam kandang no 3 saya. Kalau anda perhatikan, jarak lantai 1x2 saya memang besar, 13cm. Memang buat besar, senang tak yah sapu kandang. (memang malas punya toke kambing nih!). Kandang saya tak pernah sapu, jadi itu satu lagi ciri input rendah. Sapu kandang bagi bersih memang banyak makan masa. So kalau nak jimatkan masa, buat je jarak lantai besau besau.

EKSPERIMEN 'X' UNIVERSITI MALAYA (UM)



Gambar gambar di atas menunjukkan sebahagian dari kambing kambing saya yang sedang dijadikan bahan kajian oleh UM. Taufiq dari Institut SkillTech Melaka sedang menimbang kambing dengan penuh bergaya. 

Ada sesiapa yang nak buat modifikasi/kejuruteraan genetik pada kambing saya? Saya terbuka untuk mendengar sebarang jenis tawaran research walau pun yang pelik pelik dan mungkin menakutkan bagi sesetengah pihak.  

Kecik kecik Dah Pasang Tag

Di ladang kambing saya, tag dipasang pada setiap kambing. Dulu masa kambing sikit 80 ekor boleh ingat lagi mana satu anak, mana satu mak. Takde tag pun boleh ingat lagi. Sekarang dah cecah 300 ekor memang tak cukup memori nak ingat kambing kambing nih. (tambah 500GB memori dalam kepala otak aku ni cukup kot? alah tambah 1 million gigabit pun tak guna, banyak sangat sawang hehe)

Saya pasang sendiri tag telinga kambing ni. Tak perlu bantuan orang lain termasuk kuli. Tak perlu panggil orang veterinar walau pun untuk pasang tag pada kambing dewasa. Nasib baik bela kambing saiz sederhana. Kalau kambing besar memang kena panggil stone cold steve austin datang tolong.

No 694 dalam gambar di atas maksudnya kelahiran ke 694 di kandang saya. Saya beli tag kosong kemudian tulis sendiri nombor berdasarkan susunan kelahiran. Begini lebih baik, lebih jelas nombornya, lebih tersusun. Kalau beli yang dah siap nombor, berterabur jadinya. Dah la nombor tak jelas. Tambah serabut memori aku ni, serabut serabut..

Jadi pasang tag masa kambing ni kecik lagi supaya senang nak ingat. Merekod pun senang.

JANGAN GUNA BOTOL SUSU!!!!!!


Salam para penternak,

Kita pasti pernah lihat gambar bilamana pak menteri berkunjung ke ladang kambing, ada sesi bergambar semasa menyusukan anak kambing. Memang kiut tengok

Tapi realitinya penyusuan anak kambing menggunakan botol susu adalah tidak praktikal, terlalu banyak mengambil masa kita sebagai penternak, dan kos yang tinggi (mahal woo susu tepung/milk replacer – 25kg RM200 lebih). Penggunaan botol susu menyebabkan input kita naik mendadak (masa, wang dan tenaga).

Operasi pembiakan kambing pedaging yang CEKAP tidak menggunakan walau sebotol susu pun untuk anak kambing. Langsung tak perlu! Sekiranya kita masih menggunakan botol susu/susu ganti/milk replacer bermakna operasi pembiakan kita perlu dinilai semula.

Perhatikan kenyataan di bawah:

"Kambing boer saya sekali beranak dapat empat ekor" (Memang susah sangat sangat nak jumpa boer beranak banyak kat malaysia ni, tapi memang ada).
"Nubian saya sekali beranak dapat enam ekor"

Kedua dua kenyataan tersebut saya percaya kesahihannya. TETAPI hanya pembiak/penternak baru atau bakal pembiak/penternak yang akan terpesona dan kagum. Bagi penternak berpengalaman, ianya satu mimpi ngeri. Ianya tidak praktikal. Input akan naik serta merta.

Yelah, kambing kan ada 2 tetek je. Sesuai untuk anak kembar. Lebih dari 2 ekor dah tentu kena bagi susu botol. Takkan 4 anak atau 6 anak tersebut kesemuanya nak menetek dengan 1 ibu je. Pengsan mak kambing tu.

Kita nak 2 anak. Kita tak nak 1, 3, 4, 5 dan 6.

Tak nak anak 1? Kenapa?

Sekiranya majoriti induk beranak 1, alamat bungkuslah operasi, tutup kandang. Anak tak cukup banyak sebab kita pembiak memang bergantung kepada anak kambing untuk dijual.

Kalau 3, 4, 5, dan 6 anak kita pula yang pening. Tu yang start keje masuk kandang pukul 5 pagi, habih pukul 11 malam. Kalau disiplin dan semangat kita tinggi macam roket ke bulan, takpelah. Realiti ? Walau semangat kita larat, tapi badan pula tak larat, masa pun takde sebenarnya.

Saya sendiri dah melalui saat saat sebegitu dan tidak mahu mengulanginya lagi. Jadi sekarang polisi ladang saya ialah tidak menggunakan botol susu atau pun susu ganti. Perah susu/kolostrum kambing atau lembu, kemudian masukkan dalam botol bagi kat anak kambing pun saya tak buat. Ladang kambing saya tidak guna walau sebotol susu pun.

Boleh ke survive buat macam tu? Langsung tak guna botol susu atau susu gantian?

Boleh, dengan syarat gunakan darah tempatan, darah pribumi, darah kita sendiri sebagai asas dalam operasi pembiakan. Bila kambing kita ada darah tempatan, nescaya input kita jadi rendah, output jadi tinggi.

Kalau guna darah boer sepenuhnya, memang kita terpaksa guna botol susu atau pun susu ganti. Dan kalau kita bela jamnapari tapi masih gunakan botol susu/susu gantian, memang langsung tidak cekap!

Jamnapari ni kambing susu, bukan kambing pedaging. Sape yang cakap jamnapari ni dwiguna? Realitinya jamnapari tak boleh dijual sebagai kambing pedaging. Orang tak minat nak beli, badannya pipih. Tapi kalau dah kacuk ngan kambing tempatan, adalah isi sikit, barulah orang selera tengok.

Orait, meragam pula perut ni. Kelaparan ni. Karang kembung susah pula, nak kena guna trokar cam kambing. Chow dulu!!

Monday, December 5, 2011

Statistik alwigoatfarm terkini

TEMPOH OPERASI           : 6 TAHUN
LOKASI                                : BIDOR, PERAK
OBJEKTIF                           : PEMBIAK KAMBING PEDAGING
SISTEM                                : SEMI INTENSIF
JENIS PASTURA                : BAWAH SAWIT, LANDAI, BERPAYA
BAKA                                    : KACUKAN TEMPATAN
SAIZ INDUK                        : 25 - 35KG
SAIZ PEJANTAN                : 40 - 60KG
POPULASI SEMASA          : 287 EKOR
BIL SEMASA INDUK         : 103
KELAHIRAN TAHUN INI : 222 EKOR
KELAHIRAN AGGREGAT : 729

Thursday, December 1, 2011

ASAL USUL KAMBING BOER : KENAPA KITA TAK NAMPAK?

 
ASAL USUL KAMBING BOER : KENAPA KITA TAK NAMPAK?

Sebelum saya cerita tajuk di atas, saya nak cerita dulu yang planet bumi secara kasarnya boleh dibahagikan kepada empat zon cuaca.

Zon pertama ialah zon panas dan lembap/tropika/hutan tebal
Zon kedua ialah zon panas dan kering/gurun/padang pasir
Zon ketiga ialah zon empat musim/temperate
Zon keempat ialah zon kutub/sejuk/tundra/artik

Setiap organisma (pokok, haiwan, mikrob) dalam keempat empat zon ini telah mempunyai ciri adaptasi unik yang membolehkan ia hidup membiak dan selesa bagi zon cuaca masing masing. Organisma yang cuba menyeberangi masuk ke dalam zon yang berbeza (macam PATI je nih) dari zon asalnya menyebabkan organisma itu tidak selesa, sakit, kurang membiak, murung atau mati.

Kenyataan ini sangat penting untuk kita semua terutamanya kepada bakal usahawan tani/ternak :

Semakin lama kita dalam bidang pertanian dan penternakan, semakin kita faham betapa pentingnya kesan cuaca kepada hasil usaha pertanian/penternakan kita.

Renunglah sedalam dalamnya kenyataan tersebut.

Ok masuk cerita asal usul kambing boer.

Kambing boer ni asalnya dari afrika selatan, bukannya australia. Negara Afrika Selatan berada dalam zon panas dan kering. Banyak gurun, padang pasir, sangat kurang hujan dan air. Cuaca dan tanah sebegini kurang sesuai untuk pertanian tapi sesuai pula untuk penternakan.

Dah lama usaha nak mencipta baka boer ni, dari tahun 1900 lagi. Lama betul, memang banyak onak dan ranjau yang ditempuhi selama berdekad dekad sebelum dapat wujudkan baka boer ni. Baka boer adalah daripada kacukan baka pribumi kaum Namaqua, Bantu, dan Fooku dengan baka angora serta baka kambing susu eropah. Kaum kaum pribumi ni dan binatang ternakan milik mereka dah lama hidup di situ, dah mempunyai ciri adaptasi unik yang membolehkan mereka hidup selesa dan membiak generasi demi generasi dalam zon panas dan kering (arid).

Saya ulang sekali lagi.

Baka boer adalah daripada kacukan baka pribumi kaum Namaqua, Bantu, dan Fooku dengan baka angora serta baka kambing susu eropah.

Saya ulang sekali lagi.

Baka boer adalah daripada kacukan baka pribumi kaum Namaqua, Bantu, dan Fooku dengan baka angora serta baka kambing susu eropah.

Nampak tak ni?

Baka boer adalah KACUKAN TEMPATAN.

Tak nampak? Ok

Baka boer adalah KA…CU….KAN dengan DARAH TEMPATAN, dengan DARAH PRIBUMI, dengan DARAH KAMPUNG. Kemudian dikacukkan lagi dan lagi sehinggalah kacukan tu stabil (established).

Hmm… kacukan tempatan, kacukan kampung (local cross) rupanya. Kenapa kita tak nampak?

Penternak yang membangunkan baka boer ni adalah penternak eropah dari negeri Belanda/Holland yang menetap di selatan afrika. Mereka ni dipanggil "orang Boer". Sebab tu nama kambing, boer. Masa mula mula bangunkan baka boer ni, mereka nampak, mereka sedar, dan mereka akur yang darah tempatan, darah pribumi, darah kampung mesti diselitkan. Kalau tidak projek pembangunan kambing diorang ni gagal. Memang mereka buat silap awal awal lagi (mereka cuba bangunkan baka kambing susu tulen/fullblood dari eropah semata mata tanpa crossing/kacukan). Tapi bila mereka dah terhantuk mereka segera betulkan kesilapan mereka. Mereka selitkan darah tempatan. Barulah berjaya.

Negara negara eropah ni kan zon empat musim/temperate. Memang pening kambing susu eropah tu nak menyesuaikan diri dengan zon panas dan kering. Banyak sakit, mati, tak jadi membiak. Tetapi bila dikacukkan dengan darah tempatan, barulah jadi syok, barulah nampak hasilnya. Dan orang orang boer ni akhirnya akur dengan kehebatan, keunikan genetik tempatan. Mereka belajar dari kesilapan awal mereka.

Jadi,kenapa kita ambil baka boer sepenuhnya masuk ke negara kita yang berlainan zon cuacanya? Malaysia ni kan zon panas dan lembap, manakala australia pula zon panas dan kering macam afrika selatan? Kenapa kita nak mengulangi kesilapan mereka? Kenapa kita perlekehkan darah tempatan, darah kita sendiri?

Adakah kita tahu penternak kambing di utara australia yang cuacanya adalah subtropik/panas dan lembap juga menghadapi masalah bilamana cuba membiakkan baka boer sepenuhnya?

Semua pembiak/penternak dalam planet bumi ni dari zon cuaca yang berlainan dengan zon asal boer semuanya menghadapi masalah pembiakan. Mereka terpaksa menggunakan input yang sangat tinggi jika berkeras mahu membiakkan baka boer tulen. Fenomena ini bukan sahaja terjadi kepada baka boer, tapi semua jenis organisma (pokok, haiwan, mikrob).

Sebab itu hampir semua pembiak/penternak (bukannya pengimport/trader) baka boer di malaysia kita ni tumbang, tak tahan dengan input tinggi yang diperlukan untuk membiakkan baka boer, walau pun modal berjuta juta. Lain sangat cuacanya, kambing pening, tuan punya kambing pun pening.

Kalau ada pembiak boer yang masih bertahan, diorang buat contract farming (pelabur yang tanggung risiko – bila pelabur sedia ada rugi kemudian tarik diri, cari pelabur baru – memang "bergeliga" buat cara ni), atau agro – pelancongan (agrotourism), atau buat tempat kursus (lumayan nih walaupun banyak menyuapkan maklumat salah dan mengelirukan kepada penternak baru), atau buka restoran, atau buat katering/kambing golek atau pun guna peruntukan kerajaan/duit rakyat.

Rata rata semua pembiak/penternak kambing pedaging yang menggunakan baka boer sepenuhnya (atau baka fullblood bersaiz besar, atau apa apa baka pun dari zon cuaca berlainan)) tidak boleh bergantung kepada jualan kambing hidup (livestock) – kerana masalah pembiakan dan input yang tinggi - terpaksa buat alternatif yang saya sebutkan di atas untuk survive.

"Kambing boer bukan kambing pedaging terbaik dunia tetapi kambing boer adalah kambing pedaging terbaik bagi zon panas dan kering." 

Istilah baka terbaik dunia tidak pernah wujud bagi apa apa organisma pun.

Itulah realitinya. Dan kebenaran ini cuba ditutup atau disorokkan oleh pihak pihak berkepentingan. Yang jadi mangsa? Yang paling banyak rugi? Yang menangis?Penternak/pembiak tempatan yang niatnya ihklas mahu meningkatkan pengeluaran daging kambing tempatan, yang modalnya dikumpul dengan jerih payah tetapi telah dimanipulasi dengan licik oleh pihak pihak yang menutup kebenaran.

Inilah penyebab industri ternakan kita masih tak naik naik. Kerana kita tidak percaya dengan kehebatan dan keunikan darah yang mengalir dalam tubuh sendiri. Kita para pembiak/penternak telah diperdaya dengan begitu licik, kita diasak dengan kehebatan genetik asing yang rupanya tak ke mana, kita telah diperbodohkan. (Selain daripada tidak menyimpan rekod - bila rekod ladang tempatan tiada, senanglah omputih kelentong kita).

Akhirnya kita mengaku kalah. Akhirnya kita sedar, kita akur yang kita tidak boleh maju selagi tidak menggunakan darah kita sendiri, baka pribumi, genetik tempatan sebagai asas dalam apa jua polisi pengeluaran makanan.

(Kepada pembiak/penternak kambing pedaging yang baru berjinak dalam bidang ini, saya tahu semangat anda berkobar kobar, dan seperti kebiasaannya, saya pasti anda memandang rendah/sinis/tidak percaya kenyataan saya ini. Tetapi realiti - pembiakan dan pasaran - akan menjengah sebaik anda memasuki tahun kedua dan ketiga operasi, masa inilah banyak yang mula was was, berpeluh peluh, goyang dan akhirnya tumbang).

Tuan tuan,

Kalau kita ikut jalan seperti mana orang boer afrika selatan ni buat, kita boleh berjaya. Kita ambil pejantan boer kemudian kita kacukkan dengan kambing betina tempatan. Cara ini lebih baik dan pasti berkesan daripada bawak masuk kambing boer jantan dan betina dari australia.

Tapi kalau kita tiru bulat bulat, nanti sama je kejayaannya macam diorang ni. Kita nak lebih berjaya daripada diorang ni. Kita kena berani lalu jalan yang lebih sukar, lebih berisiko. Kita kena berani lalu jalan di mana banyak orang sangsi, perlekeh, hina,gelakkan kita, ketawakan kita bila kita terjatuh.Kita kena berani membangunkan kambing pribumi kita sepenuhnya. Kita kena yakin, mesti percaya yang darah kita tidak akan menghampakan kita.

Darah kita adalah yang terbaik untuk tanah air kita!

*Salah satu cara pembangunan kambing tempatan kita saya ada tulis dalam posting terdahulu (dalam bahasa inggeris) tajuknya "My Buck and The Future". Anda boleh merujuk posting tersebut untuk maklumat lanjut.