Tuesday, December 31, 2013

RINTANG INOVASI

Perkara aneh tentang industri kambing pedaging di seluruh dunia, dari dulu hingga sekarang, ialah sifatnya yang rintang kepada inovasi. Inovasi bergerak sangat perlahan dalam industri kambing pedaging. Berbeza dengan industri kambing tenusu, lembu pedaging dan lembu tenusu, dan juga bidang pertanian lain yang lebih cepat adaptasi kepada inovasi.

Barangkali kerana industri kambing pedaging sudah sangat matang setelah ribuan tahun bersama manusia, dan menjadi aktiviti pengeluaran makanan pertama ketamadunan sebelum bercucuk tanam. Barangkali juga kerana jalan sunnah para rasul yang semuanya tinggi darjah kebebasan adalah terpelihara, dan menjadikan ia sukar berubah.

Ada kebaikan dan ada kelemahan.

Kesukaran memperkenalkan inovasi menjadikan tiada satu pihak atau entiti atau syarikat atau negara memiliki kelebihan mutlak dalam pengeluaran kambing pedaging.

Dari dulu sampai sekarang, TIADA.

Tiada siapa yang boleh ultra commercialize menjadikan ia multi nasional, tiada siapa yang boleh memonopoli pasaran, tiada siapa yang boleh 'dictate' harga kambing pedaging sesuka hati, dan tiada siapa yang boleh mencuri amaun kebebasan dalam usaha biak kambing pedaging.

Yep. Industri kambing pedaging memang aneh dan memang berbeza berbanding bidang lain.

Dalam masa yang sama, aku ada nampak sedikit ruang untuk inovasi. Bukannya automasi atau mekanisasi atau industrialisasi atau mass production - tetapi 'customisable genetic selection'.

Kita sedang menjengah suatu era baru dimana maklumat gen dalam organisma sudah boleh dibaca. Kalau dulu kita pilih potensi berdasarkan visual inspection, yang tak berapa tepat. Kali ini kita sudah ada DNA reader, yang membolehkan identifikasi lebih tepat.

Sebagai contoh, katakan kita sebagai pembiak memilih trait ketahanan terhadap parasit liverfluke dan tapeworm sebagai ciri utama kambing pembiak. Dan setelah DNA dibaca, didapati gen yang memberikan daya rintang terhadap parasit tersebut dikenalpasti sebagai gen..... kombinasi Pak Kaduk, dan Mak Kaduk, dan Bawang Puting, dan Bawang Merah. Wujud empat empat gen tersebut, baru wujud daya rintang tinggi terhadap tapeworm dan liverfluke.

Kalau dulu hanya bergantung kepada visual inspection (tengok body condition kambing aje), macam mana kita nak tahu kambing mana yang ada kombinasi semua 4 gen tersebut?

Haa.. kalau guna DNA reader, dimana kita ambil sedikit sampel darah kambing, kemudian dibuat proses bacaan atau 'decode' DNA - kita boleh kenalpasti kehadiran gen gen yang kita mahukan. Kaedah sebegini lebih tepat. Jauh lebih tepat berbanding visual inspection semata mata.

Yaa.. ini memudahkan kita memilih dan mengumpul sebanyak mungkin kambing kambing pembiak yang memenuhi kriteria kita. This is what we call customizable genetic selection.

Teknologi ini sangat memudahkan pembiak memiliki kambing kambing yang sesuai untuk dibiakkan berdasarkan ciri ciri sesebuah kawasan. 'Matching'. No more guess work, but accurate selection. Hasilnya, pembiak memiliki kambing kambing yang sangat pantas membiak dan rendah mortalitinya. Atau apa sahaja lah kehendak operasinya.

Ini ruang untuk inovasi yang aku nampak.

Harapnya yang ini tidak termasuk dalam kategori innovation resistant atau innovation proof.


Salam pembiak! 

LEMBU ALADDIN

Untuk melindungi identiti Dato dalam cerita aku kali ini, aku panggil dia Dato Bon. Dato JeBon.

Semalam, wakil Dato Jebon call aku. Nak tawar peluang bisnes. Quick buck. Dia dapat 40 ekor lembu. Takde kandang dan takde tempat nak letak lembu. So nak parking 40 ekor lembu tu dalam ladang kambing aku.

Katanya letak paling lama pun 2 bulan aje. Lepas tu juallah. Ada lah % untuk aku. Upah jaga katanya.

hmmm.... orang politik nak letak 40 ekor lembu dalam ladang kambing aku yang cuma dua ekar ni?......

Lariiiiii.........

Lari jauh jauh....

Nope. I am not interested. Not even REMOTELY interested with this quick buck scheme.

Aku tak minat langsung lah jv jv dengan orang politik ni. Pain in the ass sebenarnya puak puak VIP ni. Aku dah boleh baca dah - mana aku dapat untung. Dapat rugi lagi ada.

Aku pelik juga ye, selalu benar geng yang takde kandang takde kepakaran dapat lembu bantuan atau dapat lembu free. Buahaha memang pandai betul geng geng ni gosok lampu ajaib Aladdin. Sekejap aje poof! muncul lembu 40 ekor.

Well.. sorry man.. kena cari tempat parking yang lainlah. Aku punya tak sesuai dan takde kapasiti. Kambing lagi kuda lagi. Tak naklah pening pening.


Adios!

Monday, December 30, 2013

AKU TAK RASA AKU CUKUP ORGANIK

Prof Diraja Ungku Aziz menggalakkan anak anak yang pergi sekolah agar bersarapan dengan sebiji telur setiap hari. Seboleh bolehnya telur ayam kampung. Nasihat dia memang berlawanan dengan saranan pakar pemakanan yang sibuk bergendang kata maksimum makan telur cuma 3 biji seminggu.

Dan aku sependapat dengan Ungku Aziz. Otak anak anak muda sedang berkembang pesat, dan komposisi otak sebenarnya sarat dengan lemak tepu dan kolesterol. Dan telur yang penuh dengan lemak tepu dan kolesterol adalah sangat membantu dalam fasa perkembangan pantas otak anak anak muda.

Tentera pun dalam modul pembinaan jasmani askar askarnya peruntukkan sekurang kurangnya sebiji telur setiap hari dalam diet. Telur adalah murah dan ianya berkesan dalam membina kekuatan dan stamina.

Dan sebaik baik telur ialah telur daripada ayam yang free range. Ada turun ke tanah, ada kena cahaya matahari, ada dapat rumput dan serangga segar, dan ada eksesais. Telur ayam free range memang cantik nisbah omega 3 : omega 6, dimana ianya terbukti memelihara kesihatan.

Cerita pasal free range, kambing aku pun free range. Lepas ke tanah. Dan kalau ikut takrifan ternakan organik - ada elemen free range. Kalau tak silap aku lah.

Tapikan, aku tak pernah claim aku organik atau alami. Yang aku claim, aku buat low input. Dan kalau operasi biak aku dah masuk kategori medium atau high input, aku tahu aku kena tukar status slogan aku.

Kalau kita buat operasi biak sistem intensif atau sistem makan tanggung, dimana kambing tak lepas atau pembiakan terkurung atau tiada capaian kepada free range - boleh ke kita claim organik atau alami?

Kalau kita buat free range, tapi guna antibiotik bila kambing sakit - boleh juga ke claim kita ni buat kambing organik?

Aku rasa macam tak kena aje.

Apa sebenarnya takrifan kambing organik? Dan siapa yang buat piawaian organik ni? Ada agensi rasmi ke yang dok jaga bab bab ni?


Ada tak mana mana ladang kambing pedaging yang 'certified organic' kat malaysia ni ye?

MANA PERGI LEMBUNYA?

Beberapa hari yang sudah, seorang pelawat first timer merangkap pelanggan first timer ladang aku berkongsi cerita. Untuk melindungi identitinya, aku panggil dia Bond. James Bond.

James Bond cerita 2 tahun yang sudah, seorang pegawai agensi ternakan telah datang melawat dia. Beria beria suruh dia mohon bantuan lembu pawah. 20 ekor. Siap pegawai ni tolong isikan biodata ke dalam borang. James Bond cuma perlu tanda tangan aje.

Biasanya penternak berebut rebut isi borang mohon skim pawah. Jenuh menunggu giliran. Yang James Bond ni takde pula macam tu. Pegawai pula datang ladang tolong isikan borang. Mungkin kerana James Bond dah berbelas tahun bela lembu. Dah ada status 'film star' (ikut gaya sebutan P Ramlee dalam cerita Seniman Bujang Lapok).

James Bond pun tunggulah kedatangan lembu lembu yang boleh dijadikan krew filemnya dengan penuh sabar. Tunggu punya tunggu, lembu tak sampai sampai. Alih alih datang pula audit dari HQ agensi.

Menurut laporan HQ, James Bond telah pun menerima lembu pawah 20 ekor dengan jayanya. Termenung James Bond....

Adapun James Bond sebenarnya baik hati, dan dah lama kenal pegawai agensi. Jadi James Bond cepat cepat improvise, buat skrip segera menyatakan ye sahih James Bond telah menerima lembu pawah 20 ekor dengan jayanya. Padahal bulu hidung lembu pun tak dapat.

Spy punya spy, rupanya nama James Bond dipergunakan. Hikayat sahihnya, pegawai agensi yang dapat lembu 20 ekor tu. Dah selamat jual pun. Untung berkepuk kepuk. Ye lah lembu free.

Hmmm...... pegawai agensi yang sepatutnya mengagihkan lembu pawah dengan adil lagi saksama, jadi pagar letrik makan lembu.

Aduhh parah parah cerita macam ni. Buah masam macam ni yang merosakkan integriti agensi. Sikit je pun bilangannya, tapi dia punya masam.... rosak susu setempayan setong sekilang.

Macam mano nak buat dengan geng buah masam ni yek?

Nak dijadikan EM starter pun tak berapa kena. Nak diblend jadi fruit juice pun tak sodap.

Jeruk? Makin masamlah jawabnya.


Ke kena naikkan gaji sama taraf dengan KP?

Sunday, December 29, 2013

BILA JILI DATANG

Sazili. 29 tahun. Berkahwin. Dari Kelantan.

Bela kambing juga. Dan ada perniagaan sendiri. Kedai dobi.

Aku minta maaf terlebih dulu kepada Jili dan keluarga kerana tak dapat layan sepenuhnya. Ada customer datang beli kambing. Jili pula siap tolong angkat kambing. Pertama kali first time visitor bertukar menjadi farm hand. Thanks man!

Jili dah lama baca blog aku. Kira pembaca setia juga. Hampir semua post dah dibaca. Terima kasih sekali lagi kepada bro Jili. (Dan juga semua pembaca setia blog).

Salah satu soalan yang Jili tanya kat aku ialah umur sesuai anak kambing cerai susu.

Bagi aku tiga bulan umur minimum cerai susu. Tapi kalau body condition macam tak ok, lanjutkan kepada empat bulan. Atau pun kita boleh guna piawaian berat. Berat 15kg adalah berat 'treshold'. Dapat je 15kg boleh terus asingkan untuk penggemukan.

15kg ni dah kira very low risk of death. Dah pandai makan foraj atau pun dedak. Kalau cerai susu, stress tak tinggi. Tapi belum sesuai untuk jual.

Ada segolongan penternak minta aku supply anak anak kambing berat 10-12kg. Yang minta ni biasanya penternak baru. Belum cukup pengalaman. Well.. I don't sell little kids. Bahaya ni. Risiko mati terlalu tinggi.

Dan berdasarkan situasi semasa aku, sebenarnya adalah lebih untung bagi seorang pembiak membesarkan (menggemukkan) sendiri kambingnya untuk jualan. Aku tak jual kambing bawah berat 20kg. Aku prefer jual berat antara 25kg-30kg. Dan lagi prefer jual atas 30kg. Sebab profit aku optimize setelah 3 bulan penggemukan.

Ok. Berat 15kg masa cerai susu. Sebulan proses penggemukan dapat kenaikan berat purata 5kg. Kalau 3 bulan gemukkan aku dapat kenaikan 15kg.

Total fattening cost per head semasa 3 bulan penggemukan = $90. Total gain = 15x20 = $300.

yeah.. feed conversion ratio kambing aku masa penggemukan antara 5:1 ke 7:1. Belum guna molasses, belum guna EM, belum guna garam special, belum suntik growth hormon, belum suntik antibiotik, belum bagi dewormer.

Itu lah kalau sebulan dua penggemukan, aku punya profit tak optimize. Tak cukup syok.

Tapi realitinya, kambing aku cecah 25kg dah terpaksa jual. Susah nak tahan tahan. Kena pula time cuti sekolah. Banyak kenduri kendara. Masa ni banyak lah orang cari kambing.

Dulu dulu aku boleh tunggu sampai kambing 35kg-40kg. Pasal masa tu aku masih takde reputasi. Jualan slow sikit. Sekarang.... kalaulah aku ada mesin VitaRay yang boleh transform Steve Roger jadi Captain America.

Apa pun, aku nak ucap terima kasih kepada Jili dari Kelate, dan keluarganya yang datang melawat. Dan kepada mana mana pelawat yang aku belum cerita dalam blog aku ni, aku minta maaf banyak banyak. Harapnya janganlah berkecil hati. Ada kesempatan, aku akan cerita. In sha Allah.


Salam pembiak!

Saturday, December 28, 2013

ROI : AKU BANYAK SILAP

Sambung cerita Return On Investment Kambing Pedaging. I wish I can restart my campaign.

Bila mengenangkan siri kesilapan demi kesilapan yang aku buat sepanjang menceburkan diri dalam industri ni, nak aje aku reverse clock. Balik ke zaman awal sebelum aku bela kambing. Restart balik kempen aku sebagai pembiak kambing.

Berdasarkan ilmu kambing yang ada sekarang, kalau aku restart balik, memang berbeza dengan apa yang ada sekarang. Capital spending atau capex aku cuma $60,000 bukannya $150,000. Dah cukuplah untuk operasi biak 100 ibu kambing. Aku banyak silap kat kandang, dan buat rumah kayu yang english style tu. Kat situ banyak telan duit.

Ok. Opex atau kos operasi aku sekarang ialah $3250 sebulan untuk 250 ekor kambing.

Excess cost. Tak cukup cekap.

Sistem gembala sepatutnya memiliki kos operasi 30% dan ke bawah daripada revenue. Bagi populasi kambing 300 ekor, sebenarnya seorang pekerja dah mampu jaga. Tapi aku maintain dua orang kerana dua sebab utama - morale booster pekerja, dan aku punya 'peace of mind'. Disamping banyak orang yang datang melawat dan ini menyukarkan aku untuk bertumpu pada produksi kambing.

Sistem gembala juga ada satu kelebihan yang sangat berkuasa - cost can be kept low, and cost can be kept brutally low (with brutal discipline of course).

Kalau kita tak guna pekerja untuk operasi biak 100 ibu kambing, pun boleh. Kita je yang buat semua kerja. Masih viable. Memang banyak betul kita save. Income semua masuk poket kita. Sikit aje keluar untuk garam jilat, ubat dan dedak kambing. Tapi takdelah masa untuk bersosial. Kalau dah kahwin, dah ada anak, rasanya baik guna pekerja jugalah. Ada apa apa hal, senang kita.

Kemudiannya, sistem gembala juga memungkinkan tiada makanan suplemen diberikan. Kalau nak guna pun, sikit dah cukup. Dah mengurangkan banyak kos, justeru meninggikan ROI.

Haaaa.... gembala minimum 4 jam. Ni dah cukup untuk sustain ibu kambing beranak satu, tapi tak cukup untuk anak dua. Gembala 5 jam, boleh sustain kambing beranak dua - tak yah bagi supplementation. Kalau gembala 6 jam hari hari (disiplin kena tinggi, kena ada iron will) - kambing kita jadi world class. Apa dedak pun tak yah bagi.

Macam dulu dulu aku buat. Masa kambing 120 ekor. Jaga sendiri. Tak guna pekerja lagi. Banyak ooo jimat. Kambing pun lagi bulat lagi mantap dari yang ada sekarang.

Kalau buat operasi biak 100 ibu kambing, sendiri jaga, dan hari hari gembala 5-6 jam - opex tak cecah $500 sebulan. Fuhhh.... berapa tinggi ROI tu...

Orang muda atau bujang (dan ada iron discipline) bolehlah buat. Masa macam ni, sekejap aje kumpul duit buat tabung kahwin. (Tapi kalau tak guna pekerja, macam mana nak pergi menikah? hahaha). Oh ye... guna pekerja sementara.

Ok. Dari segi jualan pula, operasi biak 100 ibu kambing yang menggunakan sistem gembala, baka kacukan tempatan, dan patuh kepada SOP , dan pemasaran pun bagus - boleh dapat lebih $100,000 setahun. Antara $120,000 ke $150,000 (kambing hidup hasil biak saja ye, belum campur lain2)

Jangan ikut aku yang tunggang langgang ni. Pemasaran langsung tak buat. SOP tak ikut. Tu yang dapat $100,000 je. Untung memanglah untung, tapi tak maksimumlah. Nasib baik sendiri punya. Kalau ada Lembaga Pengarah - jenuh nak menjawab ni.

Hmmm... macam bro zaki kira, ROI alwigoatfarm 9%... ok jugak kan. Normal range. Tapi tu lah aku banyak sangat buat silap. Dan tak cekap urus kos.

Tapikan.... kapasiti kandang aku 500 ekor, yang aku ada sekarang 250 ekor. Kalau aku 'jack up' production kambing, makin tinggilah ROI aku.

Uh oh ROI ni senang juga dimanipulasi. Banyak variable. Peduli apa ROI ye tak bela kambing ni. Janji untung. Janji bank balance sihat.

Nak buat pinjaman, bank tengok statement akaun semasa 3 bulan terkini, bukannya kertas kerja berkajang kajang penuh formula formula kewangan. Betul tak?

ROI ni bagi orang matematik ajo yang kira kira. Orang slow matematik macam aku ni - terjun ajo lah.


ROI tak ROI - selamat membiak kambing untuk semua! Salam pembiak!

Friday, December 27, 2013

ROI KAMBING PEDAGING

Return On Investment (which I have no idea of what it is exactly)

Suatu ketika dahulu, aku jumpa seorang penternak kambing yang mahsyur. Well.... memang mahsyur seantero Malaysia tetapi bukanlah seorang pembiak. Lebih kepada trading, dan importing. Kambing breeding pun orang lain punya. Dia cuma sediakan kandang. Dan buat pemasaran. Kira partnership lah ni. Modal yang dia keluarkan $500,000. Tak termasuk kambing.

Dan dia bagitau aku,maximum ROI yang dia nampak dengan operasi dia ialah 36% setahun. Maknanya kalau kita keluarkan $1 untuk bisnes, hujung tahun pulangannya $1.36. Bagi aku ini dikira hefty atau exceptional atau sangat tinggi. Dalam masa yang sama, biasalah high return - high risk.

Kemudian aku jumpa seorang tauke besar ladang pembiak kambing pedaging. Modal $5,000,000. Large partnership. Masa tu dia baru habis meeting dengan rakan rakan sekonsortium. Dia kata ROI ialah 18% setahun. Makin sikit berbanding tauke yang pertama tadi, walau pun modal tauke besar ni 10 kali ganda yang pertama. Bagi aku 18% ni dikira acceptable return - acceptable risk, but still on the above normal side.

Dua dua akhirnya tutup operasi. Tauke yang pertama dalam tahun keenam operasi. Tauke kedua masa tahun kelima operasi. Akibat kerugian. Takdak profit langsung. Partner masing masing tarik diri. Mungkin rasa diri dieksploitasi.

Mmmmm.....

Aku sendiri sebenarnya tak tahu macam mana nak calculate ROI. Yang aku tahu spreadsheet yang tolong kirakan. Masa mula mula nak terjun ke bidang kambing pedaging ni, memang aku tak dak buat business study pun. Padahal kat U dulu, belajar business study.

ROI, ROA, IRR, dan ntah apa apa lagi semua aku dah lupa. Dan tak guna pun.

Main terjun aje. Teruk betul aku ni.

Aku cuma kelam kabut bila buat loan proposal yang menggunakan semua terma terma kewangan di atas dulu dulu masa nak pinjam agrobank $30,000. Itu pun lebih ke arah nak kahwin. Bukannya betul betul untuk business pun.

Tak patut. Tak patut.

Apa pun, aku pikir kadar normal untuk pulangan pelaburan ialah 2-8% setahun. 8-12% setahun dah kira excellent. 12-20% dah kira exceptional. Lebih 20% setahun masuk kategori Warren Buffett.

Dan aku perasan, mana mana bisnes yang tinggi ROInya ialah bisnes dimana banyak dana untuk research. Macam high tech punya bisness. Komunikasi, pertahanan, farmaseutikal, tenaga, etc.

Kambing? Low research spending. Kurang peruntukan. Jadi ROI mungkin tak tinggi mana. Agaknya lah.

Jangan tanya aku lebih lebih pasal ROI kambing pedaging ni. Aku pun tak tahu sangat. Tak pernah pun buka balik spreadsheet, dan key in data data terkini. 18%? 36%? No idea.

Yang aku tahu, capital spending selama 8 tahun bela kambing pedaging ni dah cecah $150,000. Jualan setahun $100,000 (kambing hidup sahaja dan dari hasil biak sahaja - tak termasuk lain lain) .

Profit? Ada.

ROI? Nope. I know nothing.

Yeah. I am a dumb ass.


Ada sesapa yang lebih arif? 

Wednesday, December 25, 2013

KENAPA AKU TAK GUNA MOLASSES

Segala kehebatan  kepada Pemilik Rahsia tenaga gelap,  jirim gelap, dan jirim terang alam semesta. Segala kebesaran  kepada Pemilik multi semesta dan sangkakala yang diam menunggu sejak sekian lama.  Dan segala keagungan kepada Pemilik Seluruh Alam yang memberi kemampuan kepada seorang pembiak kambing dalam lapisan pertama alam semesta untuk menulis buah fikirannya.
_______________________________
Isolation mode.

Aku langsung tak peduli. Langsung tak buka emel, facebook, dan blog.

I simply lost interest.

Ni nak warm up balik. Bukan senang nak maintain jadi blogger. Willpower kena tinggi. Disiplin kena tinggi. Kena hari hari paksa diri untuk menulis. Padan muka aku. Sapa suruh jadi blogger. Crazy idiot..
_______________________________
Ada sesetengah pelawat yang perasan aku tak guna molasses (sisa gula tebu dari kilang pemproses gula) untuk kambing. Ada penternak yang syok betul hari hari tambah molasses ke dalam air minum kambing. Kena pula ketika proses penggemukan kambing. Ada juga yang buat garam jilat dalam bentuk blok molasses. Tapi aku tak buat semua tu.

Aku cuma bekalkan air kosong dan garam jilat biasa untuk kambing.

Dan aku berpuas hati dengan prestasi sedia ada.

Aku fikir kalau guna molasses – akan ada serious side effect. Jangka panjang. Jangka pendek takde masalah.

Ada kemungkinan sangat besar penggunaan molasses jangka panjang akan memendekkan umur kambing. Atau memendekkan tempoh breeding vitality kambing. Dengan cara merosakkan organ pankreas yang merembeskan hormon insulin (insulin yang menghadamkan gula dalam makanan). Dan kambing boleh menunjukkan simptom simptom diabetes. Atau pun confirm diabetes.

Sebenarnya gula putih yang kita dok telan hari hari ni dikira baru wujud dalam ketamadunan. Baru 200 tahun dulu diperkenalkan. Sebelum itu nenek moyang kita kalau nak rasa manis cuma ada dua benda boleh buat - makan buah atau makan madu.

Dan dari segi biologinya, kita dan kambing, dan juga mamalia lain, adalah tidak bersedia untuk hadamkan makanan tinggi gula.

Langsung tak bersedia. Poorly equipped. Very ill equipped.

Pankreas kita kecik!!!

Sistem penghadaman kita (manusia adalah monogastrik) lebih adaptasi kepada diet tinggi protein dan lemak. Ruminan pula adaptasi kepada diet tinggi serabut. Begitulah seadanya semenjak spesis kita tercipta di muka bumi ini semenjak ribuan tahun yang sudah.

Kebenarannya : Nenek moyang kita TIDAK PERNAH menghadapi situasi TERLEBIH GULA dalam makanan harian. Sebab payah sangat nak jumpa makanan tinggi gula ringkas. Bukan hari hari jumpa buah masak. Bukan hari hari jumpa madu.

Yang banyaknya, hari hari makan daging. Kemudiannya bijiran yang tinggi karbohidrat (dan juga tinggi serabut yang memperlahankan kadar serapan gula). Kemudiannya sayur mayur. Payah nak makan manis.

Jadi sememangnya biologi manusia dan juga kambing, sangat tidak sedia untuk hadamkan makanan tinggi gula. Macam molasses.

Biaq pi lah tinggi vitamin, tinggi mineral sekali pun molassesnya. Hakikatnya - badan kita dan kambing TIDAK BERSEDIA.

Badan kita tahu bagi respon, atau bagi isyarat bila tahap tenaga (glukosa) dalam badan rendah. Ini dipanggil hypoglysemic reaction. Badan menggigil bagi isyarat kat kita kena makan cepat cepat. Energy level dah rendah.

Tetapi badan kita tak tahu nak buat apa bila tahap glukosa terlebih dalam badan. Hyperglysemic? Takdak reaksi!! Yang dia tahu teruskan pam insulin setinggi yang boleh untuk turunkan balik glukosa kepada keseimbangan.

Pankreas nenek moyang kita tak pernah overworked. Tetapi pankreas generasi kita hyper overworked.

Bila dah asyik kena perah - memang 'jam' lah jawabnya. Bank pun hari hari keluar duit habih juga simpanannya. Tu yang habih rosak pankreas. Gagal keluarkan insulin. Diabetes lah.

Bila kena diabetes, atau pun kalau tak kena diabetes, tapi kadar gula tinggi sangat dalam darah - kesuburan akan menurun, dan banyak organ organ lain underperforming. Tunggu masa nak gagal. Multiple organ failure. Sebagaimana yang biasa dilalui oleh pesakit diabetes.

Betullah kata Ungku Aziz. Gula itu racun. Elakkan makan. Dia sendiri pagi pagi sarapan roti wholemeal dengan full fat spread - mentega. Atau full fat cheese. Minum kopi pahit. Yeah.. and he does seem 'intellectually preserved'..

Pasal itu lah aku tak bagi molasses kat kambing. Aku nak preserve kambing punya breeding vitality. Dan aku juga nak preserve kambing punya intelektualiti :) :) :)

There is no need for molasses!!

Salam!

Saturday, December 21, 2013

TAKEOVER

Looks more like a Push Over to me.

Somebody has taken over a centrepiece goat breeding program in the north.

I hope, like all breeders hope, the breeding program will still form the AGENDA.

Let see what happens in the next few days.

*Funding has been quite dry for current management. I do understand the need for much bigger capital injection to rejuvenate the breeding program. Trouble is.... apex importer who thinks breeding is for losers... got the nod.

7,000 heads by 2017..... I see massive influx of foreign goats.

Local breeders are likely to be left dry again. As usual.

Yeah, whatever.

We better retreat to the mountains, away from all these madness. Just like what the Prophet said.


Wednesday, December 18, 2013

BILA FIRDAUS DATANG ...... DAN BLENDER

Blog ini telah mencapai batu tanda beberapa hari yang sudah. Terima kasih kepada semua pembaca setia.
___________________________

Aku hilang mood nak update blog, facebook, dan check email. Dah beberapa hari. Langsung aku tak buka mana mana media elektronik.

Nenek aku jatuh masa adik aku nak menikah hari jumaat sudah. Mungkin tulangnya retak. Hanya duduk atas katil. Mak abah aku yang jaga dia sekarang. Dan juga sedara mara.

Aku banyak habiskan masa pergi ziarah nenek aku. Hari hari ke teluk intan. Jadi takde masa kat ladang. Dan tak dapat ilham nak tulis apa apa.

Pasai tu blog ni duduk diam aje.

Anyway pagi ni ada mood sikit nak menulis. Cerita pasal lawatan mengejut saudara firdaus ke ladang aku.

Dari kiri : mak Firdaus, ayah Firdaus, baju biru ntah sapa, Firdaus baju hitam, bini Firdaus. Tiada dalam gambar - adik pompuan Firdaus yang jadi tukang amik gambar. Thanks!

Firdaus dari Jitra, Kedah. Umur 29. Engineer. Dah kahwin. Datang dengan familinya. Penuh satu kereta. Petang. Hari apa yek, aku pun tak ingat dah.

Firdaus peminat blog aku. Jenis hardcore ni. Dah lama baca, dan dah habis baca setiap post aku. Dia boleh ingat setiap detail yang aku tulis. Pehhhh bahaya bahaya nih. Aku tak boleh main main silap tulis posting. Ada aje orang yang ingat. (Kepada semua pembaca setia macam saudara firdaus, aku ucapkan berbanyak terima kasih atas kesetiaan tuan puan).

Salah satu pertanyaan yang aku dapat dari saudara firdaus (atau ayahnya) ialah kenapa aku asingkan kambing jantan dari kawanan besar. Soalan yang sering aku dapat dari hampir setiap pelawat.

Well, masa kambing sikit, memang takde asingkan. Meragut sama sama dalam satu shift. Bila dah banyak, terpaksa asingkan dan buat dua shift. Aku nak kambing jantan cepat gemuk cepat besar.

Kalau tak diasingkan, diorang ni asyik nak kahwin aje. Makan tak mahu. Habih kurus jadinya. Terlalu lambat nak besar. Bila diasingkan dari betina betina, baru menjadi program penggemukan.

Kalau dikasi? atau dipotong telurnya? senang boleh campur sama sama dengan betina?

Bagi mana mana penternak yang takde kapasiti atau ruang pengasingan, bolehlah guna program pengkasian jantan. Tapi kalau ada ruang pengasingan, jangan mandulkan. Asingkan. Sebab jantan tulen lagi cepat naik berat badan berbanding jantan potong telur.

Haa... ini memang jawapan standard aku. 'Template' yang dah lama wujud. (Aku rasa aku kena buat template dalam handphone aku lah - senang nak menjawab sms soalan kambing dari sahabat sahabat penternak sekalian, yang mana hari hari aku dapat).

Firdaus ada cadangan nak jadi usahawan ternak di kampungnya di Kedah. Berdasarkan keterangannya, kambing ada capaian kepada kawasan ragut yang berbukit bukau. Excellent! Aku yakin kambing yang dibela dalam kawasan berbukit memiliki daya biak yang lebih baik daripada kawasan tanah rata. Dan kawasan aku ialah tanah landai. Banyak paya. Jadi konsentrasi parasit lebih tinggi dan kambing tak boleh buat senaman eksotik sepertimana senaman senaman kambing bukit bukau.

Sapa sapa yang ada kawasan bukit bukau susah nak bercucuk tanam, elok sangatlah bela kambing. Ekspoitasi kekurangan menjadi kelebihan yang sangat besar.

Haaa jangan anggap kawasan bukit susah nak bela kambing. Memanglah susah kalau bela kambing cara berkurung dalam kawasan bukit. Susah kita tanam rumput. Susah kita harvest rumput.

Tapi kalau cara gembala - fuhhhh mantap mantap kambing kita jadinya dalam kawasan bukit bukau.

Ok. Aku harap Firdaus berjaya merealisasikan harapannya suatu hari nanti. Hmmm... Firdaus ni satu minat dengan aku. Kaki game juga buahaha. Strategy game. Dia pun minat main Pharaoh. Aku pun sama. In fact aku ada lagi cd (bukan dvd - gila ancient) pharaoh dalam simpanan aku. Baik bro, nanti ada masa kita main sama sama hahaha.
__________________________________

Hari yang firdaus datang, aku tengah terpikir nak beli blender atau mesin pengisar. Untuk bini aku. Firdaus balik, aku pun cepat cepat balik nak bawak anak bini pergi beli blender.

Masa aku duduk ladang dulu satu famili - aku guna genset. Petrol. Honda G200. Running cost 1 jam = $2. Ada 3 benda tak boleh guna.

Peti ais. Seterika. Blender.

Tv boleh. Mesin basuh boleh. Periuk nasi boleh (tapi ambik masa 40 minit, bukan 20 minit macam biasa).

Masalahnya peti ais, seterika,dan .... blender adalah idaman dan harapan setiap wanita yang berkeluarga. Aku tak boleh sediakan semua itu. Memang tercabar ego aku bila selalu kena 'sound' dengan bini.

Jadi bila duduk pekan, ada elektrik, aku belikan peti ais. Seterika dah lama ada - hadiah kahwin dulu dulu. Bukak aje bungkusan hadiah setelah sekian lama berhabuk tersimpan.

Tapi blender belum ada. The final piece in the puzzle of truly happy marriage ;) ;) ;) Dah kahwin selama 7 tahun (kot?) aku belum lagi beli blender untuk melengkapkan kegembiraan bini aku.

Tapi akhirnya aku berjaya juga beli blender. Hari yang Firdaus datang. Setelah bertahun tahun kahwin. Cap Panasonic. Hoooray! Mission accomplished! (style red alert).

I am a very happy man. Contented. Setelah beli blender.

That is the secret of a happy marriage. I finally figured that out.

Yep. Aku yakin, sangat yakin mesin blender walau pun tak berapa nak guna - adalah komponen sangat penting untuk kesempurnaan rumah tangga. Orang pompuan rasa 'complete' bila ada suami, anak, rumah, kereta, peti ais, seterika dan ...... blender!


Say yes to blender! 

Wednesday, December 11, 2013

RABU 11HB : ACTIVITY LOG

Terima kasih kepada semua pengkomen dalam blog dan facebook kepada post 'War Against Myth'. Aku tak sangka tulisan aku boleh menyentuh hati. Harapnya lebih ramai rakan penternak turut berkongsi suka duka pengalaman mereka. Aku ternanti nanti post kalian semua.

Ok. Diari. Semalam.

10.45 pagi : Sumbangan harian kepada surau Alhuda dimana aku menjadi kariahnya. Amount : $x.

10.50 pagi : Tak sarapan lagi. Terus beli lunch kat kedai mamak Ajmal. Nak makan masa tengah gembala. Cost : $8.50. On the way ke ladang, ada sebahagian badan 'tingle' sekejap. Sekali. Maknanya ada benda kurang elok akan terjadi hari ini. 

11.15 pagi : Sampai ladang. Aku gembala hari ini. Yanto masih potong buah sawit dengan Alan. Susie termenung tunggu aku. Mesti cakap dalam hati "Mana ini tauke? Lambat sangat datang? Kalau Yanto 9.15 pagi sudah lepas gembala kambing..."

11.30 pagi : Kucing dah kasi makan. Paris Hilton si anjing pun dah kasi makan. Susie kasi makan Diego si kuda. Dedak kambing 4 beg pun dah habis punggah. Garam jilat pun. Aku banyak beli garam jilat. Nak letak kat petak beranak. Ibu beranak dah lama sangat tak cukup access kepada garam jilat. 

11.40 pagi : Gembala kambing! Sasaran masa gembala kurang kurang 4 jam. Maknanya 3.40pm baru balik kandang.

11.50 pagi : Ternampak kelibat orang curi keladi yang ditanam pekerja aku. Aku panggil Amid adik Yanto. Amid bawak parang panjang siap sedia untuk melibas. Keladi selalu sangat dicuri. Hampir setiap hari ada cubaan mencuri. 

Rupanya tiga orang Velu sedang sibuk cabut anak keladi. Arahkan mereka berhenti. Tanya kenapa cabut. Mereka kata tauke mereka suruh.  

Yanto datang. Bawak batu kat tangan. Agresif. Sangat agresif. Aku kena tenangkan Yanto. I don't want any bloodshed today, or any in the future. 

Tahan 3 orang tu. Aku panggil polis. Aku terpaksa tinggalkan diorang. Kambing dah jauh sangat. Kena gembala kembali. Hati aku tak tenang.

3 Velu tu terlepas! Sebaik sahaja tahu polis akan sampai sebentar lagi - terus melilau lari kalah lipas kudung.
Bila polis sampai, tak boleh buat apa. (Tahun ni aku seringkali berjumpa polis atas urusan keselamatan.Padahal tahun tahun sebelum langsung tak pernah jejak balai polis).

12.05 tengahari : Hafizal dari simpang empat taiping tepon aku nak booking pejantan. mmmm... semua bakal pejantan dah fully booked. Kandang dia kat batu 6. Dekat je lah dengan kampung mak aku kat batu 8 bendang siam. Sok ada masa aku pi melawat ladang dia ni.

3.00 petang : Kambing balik awal. Sebab gembala sebelah kandang aje. Kalau bawak jauh sikit, takdelah cepat nak balik kandang.

3.15 petang : Shafiq dan Nizar dari Universiti Malaya datang. Ada research work.  Ukur lilit badan kambing, dan nak ambil darah untuk ujian blood metabolites besok. Kambing dah masuk kandang tapi aku tak masukkan lagi ibu ke dalam petak beranak. Kandang bingit.

Nantilah. Aku mandi dulu. Solat. Tidur. Penat sangat. 

5.00 petang : Kelam kabut bangun terjaga dari tidur teringatkan kambing tak settle lagi. Oh rupanya Shafiq dan Nizar dah pun masukkan ibu kambing ke dalam petak beranak. Thank you!

5.15 petang : Tengah bagi ubat urinary alkalinizer kepada seekor budak jantan yang tak boleh kencing bila Wak Zaini dari Besout datang. Beli kambing. Sales : $550.

7.00 petang : Tak habis habis lagi kerja geng UM ni. Dah gelap. Rupanya tengah asingkan anak kambing cerai susu untuk dipindahkan ke kandang depan. Shafiq kata seksa sungguh nak kejar nak dapatkan anak kambing. Lincah sangat. 

7.30 malam : Lepas solat pergi dinner kat restoran thai depan kampung cina coldstream. Nasi goreng kampung + telur mata dua + kerabu sotong. Cost : $10.70. No sexy amoi on view tonight. 

9.30 malam : Baru sampai rumah. 

Kemas rumah! Kemas rumah! Kemas rumah! Mak mentua nak datang esok. Sekali dengan bini dan anak pompuan aku dua orang.

I miss my wife. I miss my daughters. Seronok rasa bujang sekejap aje. Lebih baik ada anak bini kat sebelah. Rumah terjaga, makan minum aku pun terjaga. Kalau aku bujang, gila tunggang langgang rumah. Kalah sarang tikus.

Tepon ayah aku. Dia nak tak kambing untuk majlis doa selamat Oli nak kahwin besok? Buat kat rumah nenek di Padang Tembak, Teluk Intan. Katanya tak payah. Takut banyak kerja. Jumaat pagi Oli menikah. di seberang perak. Karang sibuk sangat basuh pinggan kemas rumah, terlepas menikah. 

Tapi dia nak kambing untuk kenduri di Bangi nanti. Bulan empat tahun depan. 4 ekor. Ok. 

Main game komputer kejap. Galactic Civilization II. Turn based space strategy game. Penuh dengan statistik. Aku suka statistik!!! Tapi kejap je. 15 minit. Mengantuk ah. Tidur lagi baik.

Activity log ended.

Terima kasih kepada semua pembaca!

Tuesday, December 10, 2013

WAR AGAINST MYTH

Naim. Murshid Agro. Hulu Langat.

40+. Ex Navy. Dengan duit gratuity pencen Navy yang cukup lumayan, buat projek kambing. Jamnapari.

Dah dua kali melawat ladang aku. Kali pertama, bulan 4 yang sudah, hari yang sama dengan kedatangan Bro Adil dari Lalah River Goat Farm. Kali kedua, beberapa bulan sesudah itu.

Pertemuan kali kedua Tuan Naim bercerita panjang, sebab dia seorang saja dan aku pun ada banyak masa. Ada satu saat yang mana aku ingat sampai sekarang di mana Tuan Naim visualkan saat saat dia merenung kegagalan.

Dia sedang mengarit rumput napier untuk kambing jamna dia. Guna motor. Letak rumput yang menimbun atas motor. Motor jatuh. Rumput jatuh.

Geram.

Tegakkan motor. Naikkan rumput yang berat menimbun atas belakang motor sekali lagi. Motor tumbang. Rumput bersepah balik.

Kecewa.

Diam. Menangis dalam hati. Terfikir “adakah betul jalan aku ini? Mungkin sudah sampai masanya aku give up?”

Projek kambing jamnapari belum mendatangkan hasil walhal dia sekian lama berhempas pulas berpenat lelah mengarit rumput setiap hari. Duit yang ada telah banyak dihabiskan tanpa sebarang hasil untuk ditunjukkan. Rakan rakan semuanya kata sudah sudahlah bela kambing. Sudah sudahlah menyusahkan diri berpanas terik berpeluh peluh menitik nitik.

Apa yang Tuan Naim visualkan kepada aku sangat terkesan. Membawa aku kembali kepada saat saat  merenung kegagalan.  

Abject failure. Tiada harapan.

Aku juga lalui pengalaman yang sama. Motor tumbang buat kali kedua. Rumput napier bersepah. Ketika itu hujan.

Aku pula baru kahwin. Tahun pertama. Hujung.

Hidup serba kekurangan. Poket kering memanjang. Duit yang ada semuanya diprioritikan kepada kambing – makanannya, ubatnya, besarkan kandangnya. Bakinya, yang sedikit, baru masuk kepada aku laki bini.

Terpaksa berjimat dalam banyak bab. Utamanya bab makan.

Nak beli ikan pelaling yang harganya $4 sekilo pun pikir banyak kali. Telur dengan ikan masin ok sikit. Sayur cari sendiri kat ladang. Pucuk ubi, pucuk paku, kangkung dan yang sewaktu dengannya.

Pakaian – ahli keluarga dan sedara mara donate. Yang dah tak pakai, yang dah tak muat – aku terima aje. Buat baju kebun. Dan aku memang pakai baju kebun hari hari hatta keluar ke pekan sekali pun. Selamba rock aje pakai but getah berselut masuk dalam supermarket.

Apa pun, memang kekuranganlah hidup aku laki bini masa tu. Jauh berbeza dengan kehidupan di Bandar yang serba lengkap sebelum itu.

Now, aku tahu yang mana bila aku menceburkan diri dalam usaha bisnes, aku akan melalui kesusahan sebelum mengecap kesenangan. Aku tahu aku WAJIB susah dulu sebelum senang. Aku boleh terima.

Tapi bila dah kahwin, duit selalu takde, pasangan pula sedang mengalami culture shock – jadi stress. Sangat stress. Dua dua laki bini.

Kehidupan aku laki bini di ladang selalu dijadikan contoh oleh pasangan baru berkahwin lain (especially sedara mara aku yang dalam usia perkahwinan mencecah setahun) – diorang kata tengok si alwi tu, boleh hidup bahagia bersama dalam ladang yang serba tak cukup, takde gaduh gaduh pun.

Apa yang mereka tak tahu ialah aku on the verge of breakdown.

Aku rasa aku gagal sebagai suami. Aku rasa aku gagal sebagai lelaki.

Aku tak mampu memberi keselesaan yang sewajarnya kepada bini aku. Patutnya makin senang bila dah kahwin. Tapi aku terbalik pula. Makin susah. Makin tak selesa. Makin makan tak cukup.

In fact, banyak kali aku rasa aku kena hantar bini aku balik kepada jagaan kedua orang tuanya. Aku rasa aku tak mampu. Aku rasa aku daif sangat. Aku rasa aku hanya memalukan kedua dua mak ayahnya.

Dan saat saat motor tumbang kali kedua bersama rumput napier MAGNIFY atau mengganda gandakan rasa kegagalan aku. Aku putus asa. Aku fikir aku telah gagal sebagai suami. Gagal memberikan nafkah zahir yang secukupnya.

Dan ego aku sebagai lelaki juga habis berkecai. Down the drain.

Aku menangis di sebelah motor yang tumbang, dengan enjin yang perlahan lahan akhirnya mati. Seolah olah memberi isyarat kepada aku, harapan telah pun mati dan berakhir. Time to give up.

Ada dalam setengah jam aku merintih sendirian. Akhirnya aku mengadu kepada Tuhan. Tunjukkanlah aku jalan yang betul dalam usaha perkambingan ini. Tunjukkanlah kepada aku jalan yang menguntungkan. Tunjukkanlah kepada aku jalan yang akan menyelamatkan perkahwinan aku.

Tunjukkanlah kepada aku jalan keluar daripada segala kesulitan ini.

DIA mendengar.

DIA turunkan ilham kepada aku. Rasul rasul semua bela kambing. Agaknya macam mana para anbiya’ ni bela kambing ye? Betul betul macam mana?

Gembala.

Dan bila aku mula gembala kambing, dan berdisiplin mengenainya – result cepat keluar. Kambing mula pantas membiak, mula mendatangkan hasil, mula UNTUNG. Daripada status selalu tak cukup untuk cover operating expenditure, mula cukup dan akhirnya melebihi opex.

Akhirnya ada keuntungan. Ada duit untuk aku beli baju bini. Ada duit untuk aku beli ikan pelaling, ikan kembung, ikan baung, ikan siakap, ikan kerapu, ikan merah. Ada duit untuk aku ambil pekerja dan membesarkan operasi.

Apa yang aku nampak semasa gembala, dan nampak dengan sangat jelas, wahai tuan puan penternak yang dihormati – kambing tak banyak makan rumput.

Kambing  lebih seronok makan dedaun.

Kambing aku masuk kawasan napier yang cantik cantik muda seksi menggiurkan – buat tak tahu. Menonong aje jalan pegi cari dedaun dan rumpai bawah sawit.

Perangai asas kambing ialah makan dedaun. Makan pucuk. Basic behavior.

Rumput, utamanya rumput napier adalah satu MITOS.

Aku tak tahu siapa yang popularkan mitos rumput sebagai makanan utama kambing, tetapi aku tahu dan aku nampak, mitos ini adalah sebesar besar batu penghalang kepada kepantasan kambing membiak.

Mitos ini membunuh fertility kambing. Kambing jadi slow membiak. Dan mitos ini berjaya menumbangkan usaha demi usaha menaikkan industri kambing. Sekian banyak penternak kambing tumbang akibat beriman kepada mitos ini.

Dan aku melancarkan perang ke atas mitos ini.

It will be war. And it will be a total war.

Tuan puan pembiak kambing,

Sebenarnya kita tak perlukan high tech pun untuk menyelamatkan industry kambing ni. Langsung tak perlu mechanization, automation, atau sebarang jenis high input system atau high capital atau teknologi tinggi.

Simple sangat solusinya. Simple habih.  

Pastikan kambing kita dapat makan dedaun tiap tiap hari.

In sha allah, kita akan unlock potential yang sekian lama tersembunyi. Potensi kambing yang sukar ditandingi oleh mana mana ruminant lain.

Kepantasan membiak.

Dan dedaun adalah kuncinya.

War against myth!

*Aku ucapkan setinggi tinggi tahniah kepada Tuan Naim yang masih bertahan sebagai pembiak kambing. Kini dia buat kambing kacukan, dan guna pakai sistem gembala. Tahniah!

Nanti ada masa, saya akan datang melawat ladang Tuan.