TAK.
Kambing pedaging senang jual, apalagi yang jantan. Paling senang jual kambing baka tempatan, saiz sederhana, yang ada warna. Lagi berwarna lagi menarik di mata pembeli. Kalau nampak sihat, tegap, berkilat memang berlumba lumba orang nak membeli.
SEKARANG import kambing lembu dari australia bukan opsyen yang menarik kerana dolar australia yang makin mencanak tinggi. Harga kambing import adalah lebih mahal daripada harga kambing tempatan. Orang berebut cari kambing tempatan.
Sebab itu sekarang ni pasaran kambing pedaging memang cantik bergetah. Sape sape yang membiakkan kambing pedaging tak kisahlah baka apa pun (kacang, kacukan, boer, jamna) sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk menjual kambing sebagai pedaging. Masa ini ialah 'golden period' setelah sekian lama kita terpaksa bersaing dengan lambakan kambing import.
TETAPI pasaran kambing baka buat masa ini sememangnya slow sikit. Sape sape yang nak menceburkan diri ke dalam usaha pembiakan untuk baka (terutamanya boer dan jamna) kena hati hati. Banyak penternak yang tutup kandang kerana kos operasi yang tinggi termasuklah yang modal juta juta. Bila banyak yang tutup kandang maka mengecillah pasaran untuk baka kerana yang nak beli baka ni adalah golongan pembiak. Masa ini adalah 'low point' dalam 'cycle' pasaran baka. Tetapi janganlah risau sangat kerana nanti naik balik kitarannya.
Hmm.. bagi pembiak kambing pedaging yang masih baru, risiko kegagalan memang tinggi walau pun pasaran cantik. Ini perkara biasa dalam mana mana usaha bisnes pun. Sebab?
Yang aku nampak banyak sangat pembiak baru yang syok sendiri, yang merasakan cara dia bela kambing tu dah cukup baik, susah nak pergi kandang orang lain. Bila kurang melawat kandang pembiak lain, network takde, sumber ilmu macam air paip yang selalu dicatu. Perlahan sangat ilmu baru dan betul yang masuk ke dada. Sebab tu tumbang. Dah la ilmu yang ada datang dari importer/trader yang tak membiakkan, baru pula dalam industri. Kalau nak dapatkan ilmu pembiakan yang betul, kena cari pembiak tulen, sekurang kurangnya lebih 4 tahun usaha pembiakannya.
Bila kita jarang lawat kandang pembiak lain, orang pun susah nak datang kandang kita. Exposure tak cukup, reputasi tak naik naik. Ada satu undang undang bisnes yang kita kena tahu. 7 prospek, 1 akan beli. Aku dulu pernah jual teddy bear, buku cerita kat kaki lima, kedai makan, kat mana mana tempat yang banyak orang. Approach 7 orang, biasanya 6 akan reject tetapi 1 pasti beli. Malu memang malu, tapi masa mula mula je. Rasa nak bungkus kepala dalam suratkhabar. Tapi aku belajar satu undang undang bisnes yang sangat penting, yang tak diajar masa ambil degree perniagaan masa kat u. (Sebenarnya sekolah dan universiti mengajar kita bagaimana menjadi pekerja yang baik, bukannya macam mana nak jadi majikan atau usahawan). Bila cerita bab marketing ni yang penting jangan putus asa. Teruskan usaha pasti berhasil.
Bila kita dah ada reputasi barulah semakin mudah nak jual. Dari 7 prospek : 1 pembeli dia jadi 5 prospek : 1 pembeli. Lama lama 2 prospek : 1 pembeli. Kalau dah kuat reputasi, dah berjenama tak payah susah susah cari pembeli. Orang datang cari kita.
Tempoh masa yang biasa untuk jadi 'berjenama' atau stabil?
7 tahun. Mana mana bisnes pun sama. Tak boleh lari dari tempoh ini.
Face to face marketing (berkenalan dengan penternak lain) untuk pembiak macam kita ni (livestock breeder) adalah lebih baik dari promosi di media (suratkhabar, tv, majalah), dari tegakkan iklan sana sini, dari guna internet (blog, facebook) atau mana mana cara lain.
Bagi aku cara lama ni masih sangat relevan sebab ianya membentuk kepercayaan yang lebih kuat antara kita dengan potential customer. Memang lebih banyak masa, tenaga, wang diperlukan tetapi kesannya lebih ketara dan tahan lama.
Sebenarnya bila kita biakkan kambing ni, majoriti customer kita pembiak lain. Tambah tambah bila kambing kita dah banyak. Pernah dengar 'pareto principle'? Dalam bisnes ni 80% jualan datangnya dari 20% pembeli. Yaa.. prinsip pareto ini sangat penting untuk diketahui oleh semua usahawan. Sebahagian besar jualan kita datangnya dari sebilangan kecil pelanggan.
Dan 'business to business market' adalah lebih besar daripada 'business to retail market'. Rakan rakan pembiak nilah yang menjana sebahagian besar income dan reputasi kita. Bukannya menjadi pesaing yang perlu ditakuti.
Lagi banyak kandang orang kita pergi, lagi baik. Aku galakkan setiap pembiak baru pergi sekurang kurangnya 21 kandang. Banyak network, banyak ilmu. Susah la sikit nak terlingkup. Lebih senang nak bawa usaha pembiakan kita ke tahap yang lebih tinggi.
Jadi rakan rakan pembiak sekalian,
Tak susah nak bela dan jual kambing sekiranya kita tahu cara yang betul. Pasaran sentiasa ada. Dan ada lagi beberapa perkara yang dapat membantu pemasaran kita. Tapi aku akan cerita dalam post yang mendatang. Tak larat dah nak menulis ni. Ok.
Salam.