Wednesday, January 21, 2015

DIMANA ALLAH?

Semalam anak perempuan aku yang sulung, umurnya 6 tahun, bertanya kepada umminya - "Ummi, Allah kat mana? Kat langit ke? Kalau pergi langit boleh jumpa Dia?".

Dan Umminya membalas, "Orang dah mati je yang dapat jumpa Allah".

Hmmm.... soalan budak budak memang boleh buat kita yang dewasa termangu mangu untuk memberikan jawapan yang sesuai dengan peringkat umurnya. Dan sebenarnya sampai sekarang aku masih terfikir fikir bagaimana untuk memberikan jawapan yang lebih baik.

Aku tahu Tuhan tidak menampakkan Dirinya atau Zatnya kepada seluruh penghuni alam alam semesta dari bermula ciptaan hinggalah sekarang, melainkan kepada baginda Muhammad SAW semasa Mikraj. Tuhan hanya menampakkan tanda tanda kewujudanNya, dan ini pun hanya sampai kepada mereka mereka yang mahu berfikir. Kepada yang tidak mahu berfikir, sampai bila bila pun gagal nampak tanda tanda kewujudanNya walau tanda tanda itu jelas terang benderang. 

Dan aku tahu kenapa umat manusia berbondong bondong berhempas pulas mendaki gunung tinggi, dan meneroka alam angkasa tanpa henti henti, berbanding meneroka apa yang ada dalam lautan dan perut bumi - kerana di langit sangat menampakkan tanda tanda kewujudanNya, dan telah tercipta dalam sanubari setiap manusia akan keinginan untuk pulang ke syurga asalnya serta kembali kepada pangkuan Tuhannya.

The search for God is built-in in every soul, even for an atheist.

Tapi kita tidak akan berjumpa dengan ZatNya, kita tidak akan tahu dimana SinggahsanaNya, kita tidak akan tahu bagaimana WajahNya. Kita cuma akan nampak dan mengutip semakin banyak tanda tanda kewujudanNya.

Kita rindu dan semakin rindu kepadaNya, kita kutip segala apa yang akan mengurangkan kerinduan tersebut, tetapi rindu kita hanya terubat....

apabila kita menjadi ahli syurga. Dan saat itu nikmat yang terbesar bagi semua ahli syurga ialah melihat zat Tuhannya.

Bagaimana menerangkan hal ini kepada sang budak?

No comments:

Post a Comment