Tuesday, April 22, 2014

THE PURSUIT FOR IMPERFECTION

Memburu ketidaksempurnaan.



Masa awal awal aku menjadi pembiak kambing, dimana aku jaga semua kambing seorang diri, aku pentingkan kesempurnaan. Aku memburu kesempurnaan.

Aku kelam kabut bilamana ada kambing sakit walau pun sakit tu adalah ringan. Pantas aku bagi ubat. Kandang aku bersih hari hari sapu. Semua tahi kambing yang melekat celah celah lantai aku cungkil bersih. Aku pastikan semua kambing dinyahcacing setiap 3 bulan walaupun kambing nampak segar bugar sihat walafiat. Dan bilamana ada orang nak melawat, aku pastikan suasana ladang dalam keadaan tiptop nampak cantik berseri.

Hasilnya, ladang aku cantik. Kambing aku bulat bulat. Gemuk gemuk. Kilat kilat. Jauh lebih cantik dan sedap betul mata memandang berbanding kambing aku sekarang.

Tetapi... kadar kelahiran maksimum per tahun cuma 1.6 (100 ibu dapat 160 anak per tahun). Tak dapat mencapai prestasi textbook kambing yang biasanya 1.8 per tahun (100 ibu dapat 180 anak per tahun). Dan aku kepenatan. Asyik pantau kambing. Asyik risau kambing.

Kesempurnaan adalah beban yang sangat memberatkan.

Kini aku tidak lagi sibuk sibuk nak nyahcacing setiap 3 bulan. Tidak lagi kelam kabut nak bagi ubat itu ubat ini. Tidak lagi kacau bilau nak sapu kandang bersih bersih hari hari.

Aku membenarkan kekotoran. Aku membenarkan kecacingan. Aku membenarkan kesakitan. Aku membenarkan kematian. Aku membenarkan kambing aku menjadi lebih kurus.

Aku membenarkan... ketidaksempurnaan.

Anehnya prestasi kelahiran, dan keuntungan meningkat. Aku dapat kadar kelahiran 2.3 per tahun secara konsisten setiap tahun. (100 ibu dapat 230 anak per tahun). Melebihi textbook kambing.

Akhirnya aku faham. Sesungguhnya aku bukan Tuhan. Aku bukan Maha Pencipta. Aku bukan Maha Bijaksana. Aku bukan Maha Sempurna.

Aku adalah manusia. Aku hanyalah makhlukNya yang lemah serba serbi. Aku adalah Maha Lemah. Aku adalah Maha Daif. Aku adalah Maha Cacat Cela. Dan sesungguhnya bagi manusia..

Kesempurnaan ialah ketidaksempurnaan.

Perfection is imperfection.

Aku tidak lagi memburu kesempurnaan.

Aku buru... ketidaksempurnaan.


Salam pembiak!

1 comment: