Monday, September 23, 2013

"FLOOD THE MARKET"

Lapan tahun yang dulu, setahun setengah setelah aku mula membiakkan kambing, ada seorang rakan penternak datang melawat. Aku pun buat lawatan balas dan aku memang terkejut dengan sumber yang dimiliki rakan ternak aku ini.

Beliau baru beroperasi 6 bulan kemudian dari aku. Beliau ada tanah yang sangat luas hampir 1000 ekar, kandang kapasiti lebih 1000 ekor kambing, dan kapital raksasa. Kambing macam macam jenis ada termasuk biri biri. Majoriti baka import. Biasa terbang ke australia cari kambing eksotik darah tulen.

Aku jadi takjub ternganga melihat kapasitinya, dan aku jadi gusar segusar gusarnya bila dia umumkan hasratnya untuk 'flood the market' - banjirkan pasaran dengan kambing kambingnya pada harga yang murah murah.

Kalkulasinya - dengan upaya yang dia ada, dia akan jadi kuasa dominan dalam pasaran. Dalam masa yang singkat. Sebab itu dia berani umumkan 'kebanjiran'.

Aku balik ke ladang dengan kerisauan yang menggunung, memikirkan aku tidak akan mampu bersaing dengannya, dan akhirnya tenggelam lemas dalam kebankrapan. Aku tak boleh tidur lena. Sentiasa risau.

Hmmm rupanya kerisauan aku tidak berasas. Beliau gagal dalam operasi pembiakannya. Banyak kambing mati. Kemudian beliau tukar taktik. Kecilkan operasi pembiakan dan besarkan operasi import. Macam macam negara. Jadi importer.

Pun gagal. Skala kemusnahan yang lebih besar. Lebih banyak kambing mati dan kerugian. Akhirnya tutup kandang. Rugi yang sangat sangat besar.

Hmmm dan aku yang merangkak bagaikan kura kura, dan tiada hasrat mendominasi pasaran, rupa rupanya hidup lebih lama. Walaupun aku kapital ciput, dan sumber aku kerdil berbanding dirinya.

Sebenarnya aku perhatikan dalam industri ternakan kambing pedaging, tiada pihak akan mampu memiliki kuasa monopoli pasaran. Tiada entiti yang akan mampu mendominasi pasaran sepertimana Google dalam carian internet, atau Microsoft dalam sistem operasi komputer.

Tiada entiti yang akan dominan dalam pasaran tempatan mahu pun pasaran global. Tiada satu pun. Dari dulu hinggalah sekarang. Pasaran kambing pedaging bukan milik syarikat besar, tetapi adalah milik pembiak pembiak yang bebas.

Aku fikir Tuhan melindungi jalan para rasulNya, memelihara kebebasan setiap pengembala kambing di seluruh dunia.

Mereka yang tamak tidak akan berjaya menguasai pasaran. Dan sebaik sahaja mereka melaungkan keinginan mereka untuk mendominasi pasaran - kematian menanti usaha penternakan mereka.

Dan sesungguhnya tuan puan penternak yang aku muliakan, aku telah banyak menyaksikan kematian penternak penternak bermodal raksasa ini tahun demi tahun. Aku dah jadi biasa melihat kematian mereka.

Dan yang jelas bagi aku - semua penternak modal raksasa yang tumbang ini memandang lekeh akan darah sendiri, dan tidak percaya akan jalan para anbiya' yang mengembala kambing.

Mereka tiada kesabaran membiak. Mereka lebih suka main kambing asing atau kambing feral dan sekutunya. Mereka gemarkan darah asing, menyanjung tinggi darah penjajah. Dan mereka suka import sahaja, dari negara mana pun tak kisah. Janji murah walau pun berpenyakit tak cukup syarat protokol pembiak.

Transformasi?

Adakah import kambing besar besaran mampu transformasi bidang ternakan?

Yang aku tahu kekayaan apex importers dan sekutunya akan ditransformasikan menjadi semakin kaya, dan kekayaan bakal penternak dan penternak baru yang terjerat dengan perangkap mereka akan ditransformasi menjadi miskin papa kedana.

Oh wayang kematian dimainkan sekali lagi. Dan lagi dan lagi.... jemunya...


Huarggghhh... mengantuk... zzzz

No comments:

Post a Comment